Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

04 Julai - 05 Julai 2024, 09 Julai - 12 Julai 2024 & 15 Julai - 18 Julai 2024 (Khamis - Jumaat, Selasa - Jumaat & Isnin - Khamis)

136) INISIATIF KERJAYA SELANGOR

Tahun: 2024

Sesi: 2

Isu: Pekerjaan

Adun: Y.B. Dato' Noorazley Bin Yahya

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Berapakah peratusan peserta yang mendapat pekerjaan selepas menyertai festival kerjaya yang dianjurkan oleh Kerjaya Selangor?

    Untuk makluman Yang Berhormat Bukit Melawati, sehingga 31 Disember 2023, data daripada pihak Menteri Besar Pemerbadanan (MBI) menunjukkan seramai 49,894 orang tenaga kerja telah berdaftar melalui Portal Selangor Kerjaya dengan 20,546 orang peserta telah memanfaatkan kemudahan ujian profiling yang disediakan. Seramai 10,435 orang peserta telah dipadankan dengan peluang pekerjaan yang ditawarkan dengan 6,783 orang bersamaan dengan 65% dalam kalangan peserta telah berjaya ditempatkan pekerjaan yang bersesuaian dengan kelayakan masing-masing.

    Selain daripada itu, Kerajaan Negeri Selangor turut menganjurkan Program Jelajah Jobcare di sembilan (9) daerah yang berkonsepkan pameran kerjaya dengan kumpulan sasaran utama adalah masyarakat tempatan dalam kalangan B40. Program Jelajah Jobcare anjuran Jawatankuasa Tetap Sumber Manusia adalah merupakan usahasama Kerajaan Negeri Selangor dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) khusus untuk membantu rakyat B40 negeri Selangor yang sedang mencari atau kehilangan pekerjaan untuk mendapatkan pekerjaan bagi menampung kehidupan yang serba mencabar.

    Program Jelajah Jobcare ini telah berjaya memberi peluang pekerjaan kepada 228 pengunjung melalui temuduga terbuka di tapak program manakala 1,170 pengunjung telah ditawarkan temuduga kali kedua. Maklumat berkenaan jumlah keseluruhan pengunjung bagi pelaksanaan Program Jelajah Jobcare tahun 2023 adalah seperti berikut :

    Bukan sahaja membantu golongan penganggur, malah pekerja sedia ada juga dapat dipadankan dengan peluang pekerjaan baharu yang bersesuaian dengan kelayakan dimiliki oleh mereka. Untuk makluman, Program Jelajah Jobcare ini akan ditambahbaik pada tahun 2024 agar lebih ramai pencari kerja mendapat manfaat. Antara cadangan penambaikan adalah menyediakan khidmat bimbingan secara percuma kepada pengunjung program jelajah untuk mempelajari asas penyediaan resume mengikut piawaian semasa dan kemahiran menghadiri temuduga yang berkesan. Selain itu, hebahan juga akan dipergiat dengan mempelbagaikan saluran promosi agar mencapai liputan yang lebih luas.

  2. Apakah usaha Kerajaan Negeri dan bentuk promosi yang digunakan untuk memperluaskan lagi promosi berkaitan Inisiatif Kerjaya Selangor ini?

    Pelbagai usaha dan inisiatif telah dilakukan oleh Kerajaan Negeri Selangor dalam usaha membantu rakyat Selangor yang tiada pekerjaan untuk mendapatkan sumber pendapatan. Salah satu daripadanya adalah dengan pengwujudan Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan Pekerja pada tahun 2021 yang berperanan untuk membantu Kerajaan Negeri mengatasi masalah pekerja yang kehilangan pekerjaan khususnya semasa wabak pandemik Covid-19. Di bawah Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan Pekerja, satu unit yang dikenali sebagai Unit Pemberdayaan Pekerja Selangor (UPPS) telah ditubuhkan untuk membantu Unit Perancang Ekonomi Negeri Selangor (UPEN) dalam melaksanakan program-program bagi membantu rakyat Negeri Selangor khususnya pekerja yang telah kehilangan pekerjaan mendapatkan bimbingan dan latihan. Sejak awal penubuhan, UPPS telah berjaya menjalankan beberapa program serta menjalinkan usahasama strategik bersama pelbagai agensi / persatuan/ institusi pengajian yang berkaitan.

    Bagi penggal yang baharu, Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan Pekerja telah dimansuhkan dan digantikan kepada Jawatankuasa Tetap Sumber Manusia. Objektif penubuhan serta peranan Jawatankuasa Tetap ini diperluas dalam pelbagai sudut untuk membangunkan dan melahirkan pekerja yang kompeten, produktif, responsif dan berdaya tahan dalam pasaran buruh negara ke arah meningkatkan kualiti dan produktiviti kerja disamping menyelesaikan permasalahan pekerjaan rakyat Negeri Selangor khususnya individu yang dikategorikan sebagai golongan rentan seperti warga emas, ibu tunggal, OKU dan bekas banduan.

    Dengan peruntukan sebanyak RM500,000.00 setahun sebagai permulaan tahun 2024, saya percaya peruntukan ini akan diselaras semula dari semasa ke semasa kepada Jawatankuasa Tetap memandangkan banyak perancangan program – program yang berimpak tinggi akan dibawa untuk pertimbangan dan kelulusan selanjutnya. Program yang dirancang ini sebahagian besarnya adalah menjurus untuk membantu para pencari kerja sekaligus membuka peluang – peluang pekerjaan kepada mereka dalam pelbagai bidang terutamanya melibatkan industri pembuatan, pembinaan, borong & runcit, perkilangan, pemprosesan makanan, dan sebagainya.

    Kerajaan Negeri sentiasa berusaha mempromosikan Jawatankuasa Tetap Sumber Manusia sebagai satu Jawatankuasa Tetap yang baharu di mana peranan, visi, misi dan objektifnya jelas untuk membantu pekerja di negeri Selangor bagi mendapatkan peluang pekerjaan sekaligus mengurangkan statistik kadar pengangguran di Negeri Selangor.

    Antara bentuk promosi yang digunakan untuk memperluaskan lagi promosi berkaitan Inisiatif Kerjaya di negeri Selangor adalah melalui pengiklanan melalui media massa dan media elektronik selain daripada taklimat oleh UPPS kepada pemimpin – pemimpin negeri Selangor khususnya yang menjadi orang tengah dalam menyampaikan sumber maklumat kepada rakyat.

    Sehubungan itu, di atas keprihatinan Kerajaan Negeri Selangor melalui Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan Pekerja, UPPS juga telah berjaya mewujudkan sebuah laman sesawang rasmi bagi memudahkan pencarian pekerjaan kepada para penganggur dengan lebih efektif. Laman sesawang ini secara rasminya telah dilancarkan pada bulan Oktober 2022 yang dipantau oleh UPEN dan UPPS. Walau bagaimanapun, laman sesawang ini sedang diselenggara buat sementara waktu dan akan mula beroperasi semula dalam tempoh terdekat.

Lampiran

Tiada Lampiran.