Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor Tahun 2023

13 Mac 2023 - 17 Mac 2023 (Isnin - Jumaat)

230) INFRASTRUKTUR UNTUK KENDERAAN EV DI SELANGOR

Tahun: 2023

Sesi: 1

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Tuan Ean Yong Hian Wah

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Bagi menggalakkan penggunaan kenderaan yang lebih mesra alam, apakah inisiatif atau pelan yang akan dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri?

    Sektor pengangkutan merupakan pemangkin utama bagi pembangunan sosio-ekonomi negara. Kecekapan sistem pengangkutan negara berkait secara langsung dengan pertumbuhan ekonomi dan aktiviti perdagangan. Walau bagaimanapun, pertumbuhan mobiliti yang pesat sejak kebelakangan ini dijangka akan terus meningkat di masa hadapan dan jika tidak dikawal, berpotensi menjejaskan ekonomi dari segi produktiviti dan peningkatan pencemaran.

    Sebahagian besar pelepasan karbon dalam sektor pengangkutan adalah daripada pengangkutan darat, yang mana ianya melibatkan 67% adalah daripada kereta. Berdasarkan kepada Laporan Malaysia – Biennial Update Report 3 (BUR3) United Nations Framework Convention on Climate Change tahun 2020 juga menunjukkan sektor pengangkutan merupakan penyumbang kedua tertinggi dalam pelepasan GHG negara.

    Sejajar dengan matlamat dan strategi Meningkatkan Mobiliti Mesra Alam di bawah Bab 8: Mempercepat Pertumbuhan Hijau untuk Kemampanan dan Daya Tahan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12), Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) dan Kementerian Pengangkutan telah membentangkan Pelan Pembangunan Mobiliti Rendah Karbon (Low Carbon Mobility Blueprint) 2021-2030 (LCMB) yang menyediakan strategi dan pelan tindakan untuk sektor pengangkutan darat seperti mengurangkan penggunaan tenaga dan pelepasan GHG melalui penggunaan mobiliti elektrik, penggunaan bahan api alternatif dan peralihan kepada mod pengangkutan.

    Oleh itu, selaras dengan strategi dasar negara, Kerajaan Negeri Selangor melalui Jawatankuasa Tetap Teknologi Hijau Negeri Selangor telah membangunkan Kerangka Bandar Rendah Karbon atau Low Carbon Cities Framework (LCCF) sebagai panduan ke arah pelaksanaan inisiatif pengurangan pengeluaran karbon di bandar-bandar di mana elemen-elemen keutamaan telah dikenalpasti. Dalam LCCF ini, ianya merangkumi skop, keperluan teknikal, program dan inisiatif yang mensasarkan pelaksanaan melibatkan perkongsian pintar dengan rakan strategik seperti Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC), agensi-agensi yang berkepentingan dan seluruh masyarakat.

    Mengambil kira peranan penting EV dalam mengurangkan pelepasan karbon, Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Tetap Teknologi Hijau Negeri Selangor akan membangunkan garis panduan berkaitan pemasangan sistem pengecaj EV dalam usaha untuk memberi panduan dan menggalakkan Jabatan/Agensi serta PBT menyediakan infrastruktur ini secara meluas. Kerajaan Negeri dengan kerjasama pihak swasta akan melaksanakan pemasangan fasa pertama sebanyak 1,000 unit pengecaj pada tahun 2023 di seluruh negeri Selangor.

    Jawatankuasa Tetap Teknologi Hijau baru-baru ini telah mengenalpasti tiga (3) buah syarikat swasta yang layak sebagai pembekal bagi melaksanakan projek pemasangan sistem pengecaj EV di kawasan-kawasan seperti di bangunan-bangunan kerajaan, komersial, kawasan perumahan, taman-taman rekreasi dan lain-lain lagi. PBT disyorkan untuk memilih mana-mana dari tiga (3) syarikat ini berdasarkan kepada keperluan dan teknologi yang akan digunakan. Bilangan syarikat pembekal ini akan bertambah dari masa ke semasa agar pelaksanaan pemasangan pengecaj EV ini dapat mencapai sasaran yang telah ditetapkan sebanyak 1,000 pada tahun 2023. Pemilihan syarikat-syarikat ini dibuat adalah berdasarkan kepada teknologi yang digunakan, kredibiliti syarikat, kemampuan dalam mengendalikan projek berskala besar, mempunyai prestasi kewangan yang kukuh dan pasukan projek yang berkelayakan.

    Penyediaan infrastruktur bersepadu ini akan menjadikan negeri Selangor sebagai pelopor menggunakan kenderaan elektrik. Dengan adanya garis panduan ini, negeri Selangor akan mempunyai kemudahan sistem pengecaj EV yang mencukupi dan secara tidak langsung industri dan ekosistem teknologi EV ini akan dapat berkembang.

    Untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat,

    PBT juga telah memulakan inisiatif untuk mengaplikasikan penggunaan kenderaan elektrik (EV) secara berperingkat sebagai usaha untuk menjadikan negeri peneraju dalam penggunaan EV. Antara inisiatif yang dilaksanakan oleh PBT bagi menggalakkan masyarakat menggunakan kenderaan mesra alam adalah:

    • Penganjuran Car Free Day;
    • Penyediaan laluan basikal yang efisyen;
    • Smart bus;
    • Menyediakan laluan pejalan kaki yang selamat, ceria dan dilengkapi pengawasan keselamatan yang baik;
    • Memperluaskan liputan perkhidmatan bas awam.

    Dalam jangka masa panjang berdasarkan kepada sasaran-sasaran yang telah ditetapkan, adalah dijangkakan tahap penggunaan kenderaan EV di negeri Selangor akan meningkat dan sekali gus dapat mencapai sasaran pengurangan pelepasan karbon menjelang tahun 2030.

    Terima kasih.

Lampiran

Tiada Lampiran.