Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2014

7 April - 11 April 2014 dan 14 April - 18 April 2014

124) INFRASTRUKTUR KAWASAN LADANG

Tahun: 2014

Sesi: 1

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Tuan Jakiran Bin Jacomah

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Adakah kerajaan negeri menyediakan peruntukan untuk membina atau baik pulih kemudahan infrastruktur kawasan ladang?

    Kerajaan Negeri Selangor, di bawah portfolio Jawatankuasa Tetap Pekerja Ladang hanya menyediakan peruntukkan membaikpulih Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil di kawasan ladang sahaja dengan menggunakan Tabung Pendidikan Anak -Anak Pekerja Ladang. Sedikit sebanyak dengan bantuan baikpulih yang diberikan oleh Kerajaan Negeri ini dapat membantu dan menjamin keselesaan anak-anak pekerja ladang dalam mendapatkan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif dan menggunakan segala kemudahan yang telah disediakan di dalam sekolah.

    Di samping membaikpulih sekolah-sekolah Jenis Kebangsaan Tamil di kawasan ladang di Negeri Selangor, Jawatankuasa Tetap Pekerja Ladang juga memberi bantuan kepada pembinaan Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) bagi penganut agama Hindu dan Christian. Pembinaan infrastruktur baru dan pembinaan baru tidak sediakan selain daripada yang telah dinyatakan di atas.

  2. Agensi atau pihak manakah yang bertanggungjawab memastikan kemudahan infrastruktur kawasan ladang mencukupi dan di selenggara?

    Agensi dan pihak yang bertanggungjawab bagi memastikan kemudahan infrastruktur kawasan ladang mencukupi dan diselenggara adalah di bawah seliaan dan pemantauan Kementerian Sumber Manusia. Secara amnya, pemilik tanah berkenaan yang terdiri daripada syarikat swasta dan pemilik persendirian bertanggungjawab ke atas infrastruktur yang terdapat di atas tanah mereka. Namun begitu, Jawatankuasa Pekerja Ladang senantiasa menghulurkan bantuan baikpulih terhadap Sekolah – Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil di kawasan ladang. Jawatankuasa ini juga memanjangkan bantuan kepada anak pekerja ladang seperti sumbangan tambang bas sekolah, bantuan pendidikan dan program motivasi kepada pekerja ladang bagi meningkatkan taraf kehidupan mereka. Bantuan ‘Blueprint’ di bawah Jawatankuasa Kemiskinan turut diberikan kepada pekerja ladang sendiri.

    Jawatankuasa Pekerja Ladang sentiasa mencari ruang melalui aduan yang diterima, sesi perbincangan dan juga mesyuarat yang diadakan bagi membantu meningkatkan taraf hidup pekerja ladang demi memastikan kebajikan mereka terjamin walaupun nyata ia adalah dibawah selian dan pemantauan Kementerian Sumber Manusia.

Lampiran

Tiada Lampiran.