Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025

18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025

116) INFRASTRUKTUR KAWALAN BANJIR

Tahun: 2025

Sesi: 1

Isu: n/a

Adun: Y.B. Tuan Preakas A/l Sampunathan

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah tindakan kerajaan untuk membina longkang besar di kawasan ADTEC bagi mengurangkan banjir?

    Untuk makluman Yang Berhormat, sistem saliran di kawasan Advance Technology Training Centre (ADTEC) adalah di bawah seliaan pihak Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

     

    Maklum balas MBSA

    Untuk makluman Yang Berhormat, Jabatan Kejuruteraan MBSA telah menjalankan kerja-kerja menaiktaraf longkang di kawasan tersebut pada tahun 2021. Namun masih terdapat beberapa isu timbul di tapak, antaranya adalah outlet bagi sistem perparitan di kawasan tersebut menuju ke parit utama di Jalan Bukit Kemuning yang mana ianya adalah di luar bidang kuasa Majlis.

    Selain itu, tiada struktur longkang yang sempurna dibina oleh Pemilik Kilang Tanpa Kebenaran di Jalan tersebut. Keadaan ini menyebabkan aliran air menjadi tersekat dan apabila hujan lebat, longkang di sepanjang Kilang Union Sangyo Sdn. Bhd. akan menjadi penuh dan air akan  bertakung di jalan tersebut sehingga menyebabkan banjir. Pemilik kilang tanpa kebenaran tersebut perlu memohon kelulusan daripada Majlis dan disyaratkan untuk membina sambungan longkang konkrit di Jalan tersebut supaya air dapat mengalir dengan baik ke longkang outlet di Jalan Utama Bukit Kemuning.

    Pihak Majlis bercadang untuk menaiktaraf saiz longkang di  Jalan Palam 34/18 bagi menampung kapsiti air yang lebih besar. Walau bagaimanapun, hasil semakan kami mendapati longkang yang dibina oleh kilang di kawasan tersebut tiada penyerahan secara rasmi kepada Majlis dan outlet longkang tersebut telah memasuki parit monsun di Persiaran Tun Teja.

    Untuk makluman Yang Berhormat juga, pihak Majlis telah melantik perunding bagi menjalankan kajian sistem saliran di kawasan terbabit. Kajian ini sedang berjalan dan dijangka tamat pada akhir tahun 2025. Pihak Majlis juga sentiasa siapsiaga dari semasa ke semasa bagi memantau keadaan di tapak.

  2. Bilakah longkang JPS di Jalan Bukit Kemuning akan diselenggara sepenuhnya?

    Untuk makluman Yang Berhormat, longkang di sepanjang Jalan Bukit Kemuning adalah di bawah penyelenggaraan Roadcare (M) Sdn. Bhd. yang dipantau oleh Jabatan Kerja Raya (JKR). Walau bagaimanapun, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Daerah Klang mempunyai perancangan untuk menaiktaraf sistem saliran di kawasan Bukit Kemuning di Batu 7 dan Batu 8. Berikut merupakan perincian projek tersebut:-

     

    Bil. Tajuk Skop Kos

    (RM)

    Tarikh Mula

    Tarikh Siap

    Status
    1. Menaiktaraf Sistem Saliran Batu 7 dan Batu 8 Jalan Bukit Kemuning, Daerah Klang Menaiktaraf sistem saliran 34,847,987.56 Peringkat Reka Bentuk Terperinci (Telah Siap)

     

    Penyelarasan bersama pihak utiliti dan proses pengambilan tanah.

     

    Projek Jangka Mula Pada Sukuan Keempat Tahun 2026.

  3. Bilakah pam air di Jalan Batu Bata akan dipercepatkan pelaksanaannya?

    Untuk makluman Yang Berhormat, pembinaan rumah pam di Jalan Batu Bata merupakan salah satu skop di bawah Projek Rancangan Tebatan Banjir Sungai Rasau Fasa 2, Daerah Klang, Selangor. Berikut merupakan perincian projek tersebut:-

     

    Bil. Tajuk Skop Kos

    (RM)

    Tarikh Mula

    Tarikh Siap

    Status
    1. Rancangan Tebatan Banjir Sungai Rasau Fasa 2, Daerah Klang, Selangor Darul Ehsan a)    Pembinaan rumah pam dan pintu air

    b)    Pembinaan TNB Substation dan control room

    c)    Pembinaan kolam takungan

    d)    Kerja-kerja pendalaman sungai

    18,620,367.00

     

    26.5.2023

    21.11.2025

    Dalam Pelaksanaan

     

    Jadual: 46%

    Sebenar: 36%

    (sehingga

    31 Januari 2025)

     

    Kelewatan projek adalah disebabkan oleh isu setinggan dan permohonan permit kebenaran masuk tanah milik Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).

Lampiran

Tiada Lampiran.