Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2014
7 April - 11 April 2014 dan 14 April - 18 April 2014
155) INFRASTRUKTUR DAN KEMUDAHAN AWAM
Tahun: 2014
Sesi: 1
Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam
Adun: Y.B. Puan Noor Hanim Binti Ismail
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Bagaimanakah agihan peruntukan kepada kontraktor Projek MARRIS di setiap DUN dilakukan?
Bagaimanakah agihan peruntukan kepada kontraktor Projek MARRIS di setiap DUN dilakukan?
- Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Ke 05/2014 pada 05 Februari 2014 bersetuju menimbang dan meluluskan peruntukan sebanyak RM3,000,000.00 diberikan kepada setiap kawasan Dewan Negeri di mana Ahli Dewan Negeri berkenaan hendaklah mencadangkan projek yang hendak dijalankan mengikut keutamaan berdasarkan siling peruntukan yang ditetapkan kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). PBT perlulah menyemak skop kerja berkenaan agar ianya tertakluk di bawah Garis Panduan Tatacara Pengurusan Pemberian Penyenggaraan Jalan Negeri;
- Bagi maksud ini, semua perolehan kepada kontraktor dilaksanakan oleh jabatan/agensi pelaksana melalui perolehan secara terbuka berdasarkan had nilai dan prosedur kewangan semasa yang berkuatkuasa; dan
- Pihak Berkuasa Tempatan akan menyediakan dokumen bayaran berdasarkan kepada sesalinan Surat Setuju Terima tawaran (SST) setelah proses sebut harga dan tender dimuktamadkan. Manakala PBT akan membuat bayaran kepada kontraktor setelah projek di tapak disiapkan sepenuhnya dan memuaskan.
-
Adakah peruntukan banjir yang diserahkan kepada JPS dipantau pelaksanaannya oleh pihak bertanggungjawab?
Kerajaan Negeri komited dalam memastikan setiap peruntukan yang disalurkan kepada jabatan dan agensi kerajaan di Negeri Selangor digunakan untuk pelaksanaan pembangunan yang telah dirancang. Bagi peruntukan banjir yang diberikan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran Selangor (JPS), pemantauan berterusan bagi memastikan semua projek dapat dilaksanakan dengan mengambil kira semua aspek seperti perolehan, kewangan, prestasi dan keberkesanan.
Untuk makluman, bagi tahun 2014, JPS telah diperuntukkan sejumlah RM45 juta bagi pelaksanaan projek-projek berkaitan pengurusan pengairan dan saliran di Negeri Selangor. Daripada peruntukan ini, sejumlah RM27 juta (60%) diperuntukkan untuk pelaksanaan program pengurusan banjir.
Bagi maksud ini, pelbagai medium pemantauan peruntukan banjir dikendalikan oleh Unit Perancang Ekonomi Negeri antaranya melalui Mesyuarat Agensi Teknikal Infrastruktur Negeri Selangor(JPS) yang bersidang dua (2) kali setahun yang dipengerusikan oleh YB Tuan Dr. Ahmad Yunuh Bin Hairi, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan turut dipantau melalui Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Tindakan Negeri (JKTNg) Selangor yang dipengerusikan oleh YB.Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang diadakan pada setiap empat (4) bulan.
Selain itu, prestasi pelaksanaan projek turut dibentangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Perancangan & Pelaksanaan Projek-projek Pembangunan Negeri yang dipengerusikan oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) yang diadakan pada setiap dua (2) bulan serta melalui Laporan Bulanan yang dikemukakan oleh semua jabatan yang diperuntukkan bajet pembangunan.
Selain daripada itu, Kerajaan Negeri juga telah meluluskan Projek Tebatan Banjir Sungai Rasah yang merupakan salah satu projek yang dipantau rapi oleh Unit Perancang Ekonomi Negeri melalui Mesyuarat Penyelarasan bersama pihak Jabatan Pengairan dan Saliran Selangor (JPS), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Pejabat Daerah Klang serta pihak
Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) yang diadakan setiap bulan atau bergantung kepada tahap keperluan semasa. Pemeriksaan Tapak (Healthcheck) juga turut dilaksanakan ke atas projek yang telah dikenal pasti.