Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
04 Julai - 05 Julai 2024, 09 Julai - 12 Julai 2024 & 15 Julai - 18 Julai 2024 (Khamis - Jumaat, Selasa - Jumaat & Isnin - Khamis)
90) INFRA KEMUDAHAN SUKAN LUAR BANDAR
Tahun: 2024
Sesi: 2
Isu: Generasi Muda & Sukan
Adun: Y.B. Tuan Wan Dzahanurin Bin Ahmad
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah inisiatif kerajaan untuk meningkatkan kebolehcapaian kemudahan sukan bagi masyarakat luar bandar?
Kerajaan Negeri amat prihatin terhadap keperluan kemudahan sukan di Negeri Selangor sama ada di bandar atau luar bandar dalam usaha untuk meningkatkan penglibatan masyarakat dalam aktiviti kesukanan.
Justeru itu, salah satu inisiatif Kerajaan untuk meningkatkan kebolehcapaian kemudahan sukan bagi masyarakat luar bandar adalah dengan memperuntukan dana melalui Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS) untuk membaikpulih atau menaiktaraf kemudahan sukan sedia ada seperti gelanggang futsal, sepak takraw, bola keranjang, badminton, bola jaring dan kemudahan sukan yang lain,
Kerajaan Negeri melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) juga akan mengkaji dan meneliti semula kemudahan sukan sedia ada dari segi lokasi, laluan keluar masuk dan keselamatan agar kemudahan sukan tersebut dapat dioptimakan penggunaanya.
-
Adakah Kerajaan Negeri mempunyai perancangan untuk membina satu lokasi kemudahan sukan yang lengkap bagi penduduk luar bandar seperti DUN Sungai Kandis? Jika ada, nyatakan lokasi.
Kerajaan Negeri sentiasa melihat keperluan dan kehendak penduduk sama ada yang tinggal di bandar atau pun luar bandar dapat dipenuhi dengan sebaiknya. Kemudahan sukan merupakan satu elemen penting dalam keperluan masyarakat bagi memberi ruang kepada masyarakat untuk melakukan aktiviti sukan dan beriadah serta mengamalkan gaya hidup yang seimbang.
Kemudahan sukan yang lengkap adalah sukar untuk diwujudkan di kawasan luar bandar kerana kemudahan sukan yang dibina tersebut perlu penggunaan yang maksimum dan kos penyelenggaraannya yang tinggi. Justeru itu, Kerajaan Negeri tidak mempunyai perancangan untuk membina kemudahan sukan yang lengkap di Dun Sungai Kandis. Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri melalui Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS) telah menjalankan program membaikpulih, menaiktaraf dan membina baru infrastruktur sukan di kawasan bandar mahupun luar bandar sejak tahun 2021. Melalui program tersebut Kerajaan Negeri telah menjalankan kerja membaikpulih gelanggang serbaguna di Taman Nakhoda DUN Sungai Kandis pada tahun 2021 dengan peruntukan berjumlah RM75,136.40.