Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2017

24 Julai 2017 hingga 28 Julai 2017 dan 31 Julai 2017 hingga 04 Ogos 2017

83) INDUSTRI TERNAKAN

Tahun: 2017

Sesi: 1

Isu: Industri Asas Tani

Adun: Y.B. Tuan Dr. Idris Bin Ahmad

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah perancangan masa dekat dan panjang Kerajaan Selangor untuk memastikan bekalan daging di Selangor mencukupi?

    Perancangan jangka masa pendek Kerajaan Negeri untuk memastikan bekalan daging mencukupi adalah :

    • Menyewakan plot-plot penternakan sedia ada kepada penternak-penternak lembu, kambing dan bebiri (atau ringkasnya dipanggil – ruminan pedaging).
    • Mengamalkan pembaikbakaan ruminan pedaging melalui permanian beradas supaya ruminan pedaging tempatan mampu menghasilkan daging yang lebih banyak.
    • Meningkatkan kualiti pemakanan ruminan pedaging dengan memberi bantuan homplot, pembikinan silaj dan perkhidmatan analisis kualiti makanan.
    • Mengimport ruminan pedaging dan hasilannya daripada negeri-negeri lain di Malaysia dan dari luar negara.Perancangan jangka masa panjang pula adalah :
    • Menambah kawasan penternakan dengan membuka lebih banyak Taman Kekal Pengeluaran Makanan yang baharu.
    • Meningkatkan daya saing penternak ruminan pedaging sedia ada dengan menggalakkan mereka mengusahakan aktiviti hiliran pula dalam projek sedia ada.
    • Memperkenalkan konsep penternakan baharu yang mengoptimumkan penggunaan tanah seperti penternakan secara Intensif untuk lembu pedaging , kambing dan bebiri.
    • Menggalakkan penternak membuat penambahbaikan genetik ternakan dengan menggunakan baka terpilih dan berkualiti tinggi dengan penggunaan kaedah permanian beradas (artificial insemination atau AI) yang membolehkan penternak meningkatkan pengeluaran sama ada daging atau susu mengikut jenis projek yang diceburi.
  2. Apakah perancangan untuk menggalakkan pekerjaan berserta latihan yang sesuai di bidang ini?

    Rancangan untuk menggalakkan pekerjaan dalam bidang ruminan pedaging adalah :

     

    • Sesi penerangan kepada pelanggan yang datang ke Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Selangor (DVS Selangor) dan semua Pejabat Perkhidmatan Veterinar Daerah.
    • Kempen menceburi bidang penternakan juga dibuat semasa berlangsungnya program jabatan dengan masyarakat dan karnival seperti Selangor Agrofest.
    • Seminar peluang perniagaan dalam bidang penternakan bagi menarik minat generasi baharu seperti Seminar Agrogems.
    • Khidmat nasihat teknikal termasuk kajian kebolehlaksanaan (viability studies) dan lawatan tapak untuk bakal pelabur yang berminat dalam bidang ini.

     

    Latihan yang sesuai dalam bidang penternakan ruminan pedaging adalah :

    • Kursus Asas Penternakan untuk penternak-penternak baharu.
    • Seminar dan     kursus            lanjutan         untuk penternak-penternak yang berpengalaman.
    • Program Pengembangan Veterinar (PPV) yang meliputi latihan berterusan secara “in-situ” (di lapangan)
  3. Apakah perancangan untuk memastikan pembekalan lembu yang sesuai untuk tujuan Korban?

    Realitinya, Negeri Selangor hanya mampu mengeluarkan lebih kurang 10 hingga 20 peratus lembu yang sesuai untuk ibadah korban pada setiap tahun memandangkan negeri ini tidak mempunyai kawasan penternakan yang luas. Namun, Kerajaan Negeri sentiasa memastikan lembu korban mencukupi pada setiap tahun dengan mengimport daripada negeri-negeri lain di Malaysia dan luar negara.  Kerajaan Negeri tidak mempunyai masalah untuk memastikan bekalan mencukupi kerana kuasa beli tertinggi yang dimiliki oleh rakyat negeri ini berbanding rakyat negeri-negeri lain.

Lampiran

Tiada Lampiran.