Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2012

19 November hingga 23 November 2012 dan 26 November hingga 30 November 2012

79) INDUSTRI SARANG BURUNG WALIT

Tahun: 2012

Sesi: 3

Isu: Industri Asas Tani

Adun: Y.B. Tuan Ng Suee Lim

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Sila senaraikan jumlah bilangan pengusaha Sarang Burung walit yang berdaftar dan tidak berdaftar di Negeri Selangor mengikut susunan daerah?

    Pendaftaran pengusaha EBN di Negeri Selangor melibatkan 2 Jabatan iaitu Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV).

    PBT mendaftar pengusaha walit melalui perlesenan premis/rumah burung walet. JPV pula mendaftarkan premis walit atas tujuan pendaftaran premis bagi pengeluaran permit eksport.  Sehingga kini, hasil pendaftaran oleh JPV adalah seperti berikut :

    BIL. DAERAH BILANGAN PREMIS
    1. Sepang 19
    2. Hulu Langat 30
    3. Kuala Langat 43
    4. Klang NA
    5. Hulu Selangor 24
    6. Gombak 31
    7. Kuala Selangor 92
    8. Sabak Bernam 121
    9. Petaling 4
    JUMLAH 364

    Pendaftaran premis walit oleh JPV adalah bersifat sukarela.  Maka itu, ramai pengusaha/pemilik premis burung walet terutamanya yang mengesksport melalui pihak lain, tidak mahu mendaftar.

    Walau bagaimanapun, JPV menganggarkan sebanyak 6,000 premis walet di seluruh negeri Selangor termasuk yang tidak berdaftar.  Ramai pengusaha mempunyai beberapa premis burung walet.  Maka itu, jumlah pengusaha sebenar tidak dapat dianggarkan.

  2. Sila nyatakan apakah langkah drastik yang bakal diambil oleh Kerajaan Negeri bagi membantu meringankan bebanan para pengusaha yang menghadapi kemelesetan harga pasaran sejak mutakhir ini?

    Kemelesetan harga pasaran dikenalpasti berpunca daripada lambakan EBN mentah di pasaran tempatan berikutan Republik Rakyat China (RRC) menghentikan buat sementara pengimportannya atas isu adulterasi EBN menyebabkan kandungan nitrit yang melebihi had dibenarkan (50 ppm) dan produk tidak tulin. Lebih kurang 80% EBN dieksport ke RRC menjadikannya pengimport terbesar EBN tempatan.

    Sebarang langkah bagi menyelesaikan punca kemelesetan harga ini, perlu dilakukan secara (dengan izin) “G to G”. Maka itu, Menteri Pertanian dan Ketua Pengarah JPV telah pergi ke RRC untuk menangani perkara ini. Hasil daripada mesyuarat tersebut, kerajaan Malaysia dan RRC telah mementerai dokumen perjanjian untuk pengeksportan EBN mentah daripada Malaysia ke RRC. Walaupun perjanjian telah ditandatangani, kerajaan Malaysia melalui JPV perlu menyediakan sistem daya jejak (traceability system) bermula dari premis walet, pusat pemprosesan EBN hingga produk tersebut sampai ke negara RRC. Kerajaan China melalui AQSIQ (Administration of Quality Supervision, Inspection and Quarantine) pula akan mendaftar semua rumah burung walet dan pusat pemprosesan EBN yang telah berdaftar dengan JPV. Seterusnya pihak AQSIQ akan datang ke Malaysia dan menjalankan audit premis dan pusat pemprosesan yang telah berdaftar tersebut.

    Satu lagi langkah yang telah dilaksanakan adalah menasihati pengusaha burung walet supaya mengubah pemasaran EBN daripada orientasi ekport semata-mata kepada pasaran tempatan dan pemprosesan EBN kepada produk sedia dimakan/diminum.  Produk EBN sedia dimakan/diminum lebih diterima masyarakat tempatan malah lebih mudah  dieksport ke negara-negara Asia Barat, Eropah, Australia dan sebagainya.

  3. Sila perjelaskan apakah perkembangan terkini garis panduan yang dirangka bagi memantau Industri Burung Walit di Negeri Selangor?

    Bagi memantau pembangunan industri burung walet, JPV dan PBT masih menggunakan Garispanduan Pembangunan Industri Burung Walet atau juga dikenali sebagai 1GP yang telah diterbitkan pada tahun 2010. Bagi memantau dalam aspek kesihatan veterinar terutamanya penyakit zoonotik seperti selesma burung, JPV masih menggunakan Protokol Kawalan Penyakit Spesifik Kebangsaan.

Lampiran

Tiada Lampiran.