Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019
18 Mac 2019 - 25 Mac 2019
166) INDUSTRI PERTANIAN
Tahun: 2019
Sesi: 1
Isu: Industri Asas Tani
Adun: Y.B. Tuan Chua Wei Kiat
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Bagaimana Kerajaan Negeri untuk menggalakkan anak muda untuk industri pertanian?
- Sektor pertanian adalah merupakan aktiviti ekonomi yang amat penting khususnya bagi memastikan bekalan makanan (food security) sentiasa berada pada tahap yang memuaskan. Sehubungan dengan itu, banyak program-program yang bertunjangkan peningkatan pengeluaran hasil pertanian dan juga pendapatan (sumber ekonomi) golongan petani, penternak dan nelayan terus diberikan keutamaan.
Namun begitu, dengan golongan pengusaha sektor pertanian yang semakin meningkat usia (aging population) Kerajaan Negeri telahpun mengambil langkah-langkah awal bagi memastikan sektor pertanian terus menjadi suatu sektor yang diminati khususnya golongan muda dengan mewujudkan Program Agropreneur Muda Selangor (AMSEL).
Sejak tahun 2015, Kerajaan Negeri telah berjaya memperkasakan seramai 180 agropreneur muda dengan jumlah peruntukan sebanyak RM3,344,842.00 melalui bantuan peralatan dalam pelbagai sektor seperti tanaman, penternakan dan akuakultur untuk tahun-tahun yang mendatang. Begitu dengan pelaksanaan program seminar dan kursus yang berkaitan dengan sektor pertanian telah berjaya kehadiran seramai 1,044 peserta muda dari seluruh Negeri Selangor.
Berdasarkan dari faktor tersebut, Kerajaan Negeri akan terus melaksanakan Program Agropreneur Muda Selangor (AMSEL) dengan pendekatan pemerkasaan agropreneur sedia ada melalui bantuan peralatan, program kesedaran (awareness) berkenaan dengan sektor pertanian melalui seminar dan kursus serta pembukaan kawasan pertanian yang baharu khusus untuk golongan tersebut menimba pengalaman dan seterusnya memulakan projek pertanian mereka
-
Nyatakan dan perbandingan berapa keluasan tahan pertanian yang masih diusaha sejak tahun 2007-2019.
- Jumlah keluasan tanah untuk pertanian pada ketika ini adalah seluas 68,588 hektar dan ianya dijangka akan berkurangan kepada 65,056 pada tahun 2021. Penyusutan keluasan tanah untuk pertanian adalah disebabkan oleh pertembungan guna tanah dengan sektor pembinaan khususnya dengan pembinaan dan pembukaan banyak kawasan-kawasan kediaman dan juga komersial serta tanah-tanah untuk tujuan perindustrian. Ini juga adalah merupakan kesan dari status Negeri Selangor sebagai sebuah Negeri Maju yang menjadi tumpuan rakyat dari seluruh Negera untuk tinggal dan bekerja di Negeri Selangor.
Walau bagaimanapun, langkah-langkah proaktif telah mula diambil oleh Kerajaan Negeri dengan mempromosikan dan menggalakkan projek-projek pertanian yang berteknologi tinggi dan moden di mana ianya boleh mendatangkan hasil dan pendapatan yang tinggi walaupun dengan penggunaan keluasan tanah yang minima sebagai contoh tanaman berkonsepkan system fertigasi.
Dalam masa yang sama juga, pewartaan tanah-tanah untuk tujuan bekalan makanan (food security) di dalam program Taman Kekal Pertanian Makanan (TKPM) telah dijadikan agenda utama bagi memastikan Kawasan-kawasan pertanian akan terus terpelihara. Ini termasuk juga dengan perancangan Kerajaan Negeri untuk membuka lebih banyak tanah-tanah pertanian yang baharu khususnya di Daerah Sabak Bernam dan Kuala Selangor yang termasuk di dalam Kluster Pertanian dengan memberikan penumpuan kepada projek-projek pertanian yang bernilai tinggi IHigh Value Agriculture Products) dengan keluasan yang minima.
-
Apakah tindakan kerajaan untuk menggalakkan kegunaan teknologi dalam sektor pertanian?
- Penggunaan teknologi dalam sektor pertanian adalah selari dengan dasar IR 4.0 (Industrial Revolution 4.0) yang memberi penekanan kepada aspek inovasi teknologi pertanian seperti penggunaan peralatan berteknologi tinggi, sensori, robotik, GPS (Global Positioning System) dan Internet Of Thing (IOT).
Pada ketika ini, telahpun ada golongan agropreneur yang telah menggunakan peralatan moden (gajet) ini atau peranti khas bagi urusan harian untuk kerja-kerja di tapak pertanian seperti penggunaan sistem untuk pengairan (irrigation) serta pembajaan, pengawalan suhu, termasuk juga pengawalan dari segi tahap kemanisan serta kerangupan hasil buah dan juga pengawalan pembajaan dan pengairan secara atas talian.
Program Agrobandar yang telah dirangka untuk dilaksanakan pada tahun 2019 akan memberi penekanan kepada penggunaan teknologi-teknologi moden bagi pengeluaran hasil yang tinggi tetapi dengan penggunaan tanah yang minima dan ianya dijangka boleh menarik minat golongan muda khususnya untuk menceburi sektor pertanian.
Di samping itu juga, satu program khusus iaitu Program Centre Of Excellent (COE) sedang diperingkat penyediaan dan dijangka akan siap dalam tempoh 3 bulan yang terletak di dalam kawasan Jabatan Pertanian Daerah Gombak/Petaling telah disediakan untuk tujuan sebagai tempat latihan serta lawatan oleh masyarakat yang berminat untuk menceburi bidang pertanian. Kawasan tersebut akan dipersiapkan dengan projek-projek pertanian moden termasuk sebuah Plant Factory (PF) di mana tanaman dibuat di dalam bangunan tertutup dengan cahaya lampu sebagai sumber tumbesaran tanaman.