Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

04 Julai - 05 Julai 2024, 09 Julai - 12 Julai 2024 & 15 Julai - 18 Julai 2024 (Khamis - Jumaat, Selasa - Jumaat & Isnin - Khamis)

37) INDUSTRI PENERBANGAN DI SELANGOR

Tahun: 2024

Sesi: 2

Isu: Perindustrian

Adun: Y.B. Tuan Dr. Quah Perng Fei

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Berapakah jumlah pelaburan kerajaan dapat daripada industri penerbangan dari tahun 2023 sehingga kini?

    Pembangunan negeri Selangor sebagai hab utama bagi aktiviti perindustrian di serantau Asia Tenggara khususnya aeroangkasa adalah matlamat Kerajaan Negeri Selangor. Usaha dan strategi pembangunan industri aeroangkasa negeri ini dipacu oleh Pelan Tindakan Aeroangkasa Negeri Selangor 2020-2030.

    Secara global, industri aeroangkasa dijangka berkembang sebanyak RM2.6 trilion menjelang 2030, dengan kadar pertumbuhan 5.9% setiap tahun. Perkara ini dapat dicapai dalam rangka pertumbuhan trafik penumpang yang dijangka meningkat sebanyak 6.1% dan penambahan aset kapal terbang syarikat-syarikat penerbangan sebanyak 3.5%

    Selangor merekodkan jumlah pelaburan sebanyak RM55.3 bilion pada tahun 2023 yang melebihi sasaran RM45 bilion yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Negeri.

    Merujuk kepada rekod kelulusan projek – projek pelaburan yang diluluskan oleh MIDA, projek perkilangan atau sektor pembuatan mencatatkan peningkatan tahun ke tahun iaitu RM19.3 bilion tahun lalu berbanding RM12.2 bilion pada tahun 2022. Sebahagian daripada nilai ini merangkumi pelaburan industri aeroangkasa.

    Antara projek-projek yang telah dilangsungkan dan sedang dilangsungkan adalah pembangunan untuk pengembangan aktiviti aeroangkasa bagi syarikat seperti Dassault Aviation, Collins Aerospace, Smartlink Engineering, Singapore Airlines Engineering (SIAEC) dan Malaysia Airlines Engineering (MABES).

  2. Berapakah jumlah tenaga mahir diperlukan untuk menampung industri penerbangan?

    Dengan adanya projek infrastruktur seperti Selangor Aero Park (SAP) yang merupakan antara projek berimpak tinggi di dalam Rancangan Selangor Pertama (RS-1), ianya dapat menampung permintaan industri melalui infrastruktur yang bakal dibina, sekaligus menyediakan persekitaran yang kondusif untuk penyelidikan, pembangunan, dan inovasi.

    Selain itu, Kerajaan Negeri juga sedang memperhalusi insentif-insentif terkait industri aeroangkasa untuk pemain-pemain industri yang bakal berada di dalam ekosistem SAP. Hal ini penting, supaya pemain-pemain industri kekal komited untuk menyertai SAP, sejurus mewujudkan peluang pekerjaan yang berkualiti untuk rakyat tempatan.

    Merujuk Rancangan Malaysia Ke-dua Belas (RMK-12) dan juga Malaysia Aerospace Industry Blueprint 2030 (MAIB 2030), jumlah tenaga mahir yang perlu dijana adalah sebanyak 32,000 menjelang tahun 2030 bagi memenuhi permintaan-permintaan dalam industri penerbangan dan aeroangkasa di Malaysia.

    Sebagai contohnya, syarikat seperti Singapore Airlines Engineering (SIAEC) memerlukan seramai 600 pekerja untuk fasiliti baru yang sedang dibangunkan di Subang dan Malaysia Airlines Engineering (MABES) juga memerlukan sebanyak 300 pekerja untuk tahun ini sahaja.

    Permintaan ini menunjukkan trajektori yang baik untuk ekonomi aeroangkasa ini Malaysia dan negeri khususnya. Kerajaan Negeri akan mengambil langkah – langkah yang lebih proaktif dalam usaha membekalkan tenaga mahir dan mempromosikan dan menyediakan insentif kepada belia tempatan untuk melibatkan diri dalam industri ini.

  3. Apakah langkah-langkah kerajaan ambil supaya tenaga mahir yang dilatih kekal di Selangor?

    Antara inisiatif Kerajaan Negeri melalui Invest Selangor supaya tenaga mahir yang dilatih kekal di Selangor adalah dengan bekerjasama dengan syarikat-syarikat aeroangkasa untuk memastikan projek-projek atau work packages berimpak tinggi dan berkualiti diusahakan di dalam negeri Selangor.

    Antara contoh usaha ini adalah sesi-sesi perbincangan, dan libat urus bersama syarikat-syarikat berkaitan, untuk membawa rantaian bekalan yang berimpak tinggi seperti pembuatan helikopter jenama terkemuka dari Turkiye ke negeri Selangor.

    Hasil kajian dan sesi libat urus yang telah dilaksanakan, didapati Malaysia adalah hot favourite bagi pelabur-pelabur asing untuk melabur di rantau Asia Tenggara oleh kerana kefasihan tenaga mahir tempatan dalam pelbagai bahasa terutamanya bahasa Inggeris.

    Melalui program Selangor Aerospace Apprenticeship Program (SAAP), Kerajaan Negeri memberi peluang kepada tenaga mahir terutamanya belia untuk meningkatkan kemahiran diri melalui latihan-latihan yang disediakan melalui program ini. Kita juga mengekalkan tenaga mahir di negeri Selangor dengan insentif pembiayaan yang diberikan untuk program ini.

    Program Rumah Selangorku juga membantu tenaga mahir Malaysia yang tinggal di Selangor untuk memiliki rumah mampu milik. SAP juga akan ada komponen lifestyle dengan penyediaan rumah dan hostel untuk pekerja-pekerja syarikat aeroangkasa di SAP.

    Perkara ini mendorong tenaga mahir yang hadir dari setiap pelusuk Malaysia untuk membina kehidupan mereka di Selangor, seraya mengekalkan keberadaan mereka di Selangor.

    Namun begitu, walaupun kita berusaha untuk mengekalkan tenaga mahir di Selangor, kita juga tidak menghalang mereka untuk mencari rezeki dan peluang di negeri lain ataupun di rantau ini. Apa yang kita dapat lihat adalah trend tenaga mahir yang bekerja di overseas akan balik ke tanah air dan ke Selangor jua oleh faktor peribadi, keluarga dan kerana Malaysia merupakan tanah air mereka.

Lampiran

Tiada Lampiran.