Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor Tahun 2023

13 Mac 2023 - 17 Mac 2023 (Isnin - Jumaat)

216) INDUSTRI PELANCONGAN SELANGOR

Tahun: 2023

Sesi: 1

Isu: Pelancongan

Adun: Y.B. Tuan Chua Wei Kiat

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah strategi dan usaha Kerajaan Negeri bagi menarik pelancong dari China datang ke Selangor?

    Berikut merupakan strategi dan usaha Kerajaan Negeri bagi menarik pelancong dari China datang ke Selangor?

    1. Tourism Selangor sentiasa bekerjasama erat dengan Persatuan Malaysia Inbound Chinese Association (MICA) dan Malaysian Chinese Tourism Association (MCTA) yang merupakan persatuan yang aktif berhubung secara terus dengan agensi-agensi pelancongan dari Negara China dengan menawarkan pakej, FAM trip kepada persatuan-persatuan tersebut.
    2. Kerjasama bersama Pejabat Tourism Malaysia di luar negara seperti Guangzhou China, Hong Kong dan Taiwan yang juga merupakan rakan strategik Tourism Selangor dimana edaran bahan-bahan publisti pelancongan diletakkan di bahan promosi mereka dan pelaksanaan program FAM trip untuk media dan agensi pelancongan daripada pasaran tersebut.
    3. Bekerjasama dengan syarikat-syarikat penerbangan seperti Malaysia Airlines, Cathay Airlines, dan Air Asia yang mempunyai ‘direct flight’ ke pasaran tersebut.
    4. Memperkuat misi promosi bagi pasaran China, Hongkong dan Taiwan. Pelaksanaan kempen ‘Splendid Selangor, Take Me Anywhere!’ dalam bahasa Cina, merupakan salah satu inisiatif bagi mempromosikan produk pelancongan Negeri Selangor kepada pelancong bagi pasaran antarabangsa.
    5. Memperkuat inisiatif promosi secara atas talian dan digital dan menggunapakai akaun-akaun rasmi platform media sosial atas talian khas bagi pasaran China seperti Weibo, Wechat, Baidu, toutiao dan Xiaohongshu bagi menwujudkan keinginan pelancong-pelancong dari negara tersebut melalui pengalaman melancong ke negeri Selangor.
    6. Menyediakan Garispanduan Perjalanan Selamat dengan kerjasama Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia) yang lebih mudah difahami kepada pelancong-pelancong antarabangsa khususnya daripada China yang masih ragu-ragu dengan tahap keselamatan kesihatan pasca pandemic COVID-19.
  2. Berapakah jumlah anggaran pelancong dari China akan melawat Selangor pada tahun 2023?

    Untuk makluman, prestasi kedatangan pelancong dari negara China bagi tahun 2022 adalah sebanyak 203,615 orang pelancong walaupun pada tempoh tersebut Negara China masih lagi melaksanakan sekatan perjalanan ke luar negara kepada warga negaranya namun Malaysia pada amnya dan Negeri Selangor khususnya masih menerima kehadiran pelancong dari negara tersebut yang merupakan “Business Traveler”.

    Untuk makluman pihak ahli dewan undangan negeri juga, purata unjuran peningkatan tahunan kedatangan pelancong (domestik & antarabangsa) ke Negeri Selangor bagi tahun 2023 adalah pada kadar 5%.

    Bagi tahun 2023, merujuk kepada dapatan data kedatangan pelancong daripada unit statistik Tourism Selangor, Kerajaan Negeri Selangor menganggarkan seramai lebih daripada 224,000 iaitu mengunjurkan 10% kenaikan pelancong orang pelancong Negara China akan melancong ke Negeri Selangor berdasarkan kepada perkembangan semasa bahawa Negara China dijangka akan membuka sekatan keluar negara bagi warga negaranya pada bulan Jun 2023.

  3. Bagaimana industri pelancongan membantu dalam pertumbuhan ekonomi Selangor?

    Untuk makluman, industri pelancongan sememangnya turut menyumbang kepada hasil dan perkembangan ekonomi Negeri Selangor namun ianya tidak dapat dinilai secara terus dan terperinci melalui laporan-laporan ekonomi memandangkan kebanyakkan perincian perkhidmatan sektor pelancongan diletakkan dibawah sektor-sektor lain seperti sektor perkhidmatan.

    Secara kasarnya industri pelancongan membantu dalam pertumbuhan ekonomi Selangor melalui beberapa aspek seperti perbelanjaan pelancongan (Tourism Receipt), hasil kutipan cukai perniagaan berkaitan pelancongan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) serta limpahan pendapatan kepada ekonomi setempat melalui produk pelancongan dan aktiviti-aktiviti pelancongan di sesuatu kawasan di Negeri Selangor.

Lampiran

Tiada Lampiran.