Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2012
19 Mac - 23 Mac 2012 dan 26 Mac - 27 Mac 2012
64) INDUSTRI PELANCONGAN DI KAWASAN BATANG KALI APAKAH RANCANGAN MASA DEPAN
Tahun: 2012
Sesi: 1
Isu: Pelancongan
Adun: Y.B. Datuk Mohd Isa Bin Abu Kasim
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Industri pelancongan di kawasan Batang Kali begitu pesat membangun. Pelbagai tempat-tempat pelancongan yang ada seperti Kawasan Perkelahan Sungai Sendat, Kolam Air Panas Sungai Tamu dan sebagainya. Apakah Rancangan masa depan Industri berkenaan ?
Hulu Selangor merupakan antara daerah luar bandar yang dilihat telah mula berkembang sebagai salah satu destinasi percutian dan pelancongan yang sangat berpotensi. Menyedari tentang potensi besar ini, telah banyak usahausaha dilakukan supaya daerah ini akan terus menjadi tumpuan pelancong dan seterusnya memberikan impak yang positif kepada pembangunan pelancongan khususnya bagi jangka masa panjang. Dalam hal ini, perancangan pembangunan pelancongan dibuat secara menyeluruh bagi daerah Hulu Selangor dan tidak hanya tertumpu di sesetengah kawasan sahaja.
Batang Kali yang juga merupakan sebahagian lokasi penting di dalam daerah Hulu Selangor turut diberi peluang yang sama. Beberapa produk pelancongan seperti Kolam Air Panas Hulu Tamu, Kawasan Perkelahan dan Rekreasi Sungai Sendat dan Restoran & Spa Cholo-Cholo telah bertapak kukuh dan menjadi antara destinasi utama pilihan pelancong ke daerah Hulu Selangor. Dalam hal ini, Kerajaan Negeri Selangor melalui Tourism Selangor dan Majlis Daerah Hulu Selangor ( MDHS ), sentiasa memainkan peranan dalam mempromosikan destinasi-destinasi berkenaan kepada pelancong dalam dan luar negara melalui penyertaan-penyertaan dalam siri promosi dalam dan luar negara. Program ini dilaksanakan secara berterusan di samping saluran-saluran promosi lain seperti risalah, laman web, Billboard, pengiklanan di majalah, coffee table book, program kembara media dan beberapa program yang lain.
Menyedari potensi besar daerah Hulu Selangor, pendekatan dan pembangunan secara in-situ juga diberikan tumpuan. Untuk makluman, mulai tahun 2012 ini, program Daerah Fokus akan diperkenalkan dengan Sabak Bernam, Hulu Selangor, Kuala Selangor dan Kuala Langat menjadi daerah di bawah pelaksanaan program tersebut. Perancangan ke arah melaksanakan program berkenaan meliputi pembangunan produk-produk pelancongan, promosi yang berterusan, penambahbaikan kemudahan sedia ada dan program-program sokongan lain seperti kerjasama bersama media dan bloggers dalam membekalkan maklumat tentang produk-produk berkenaan. Dalam hal ini, Batang Kali tidak terkecuali.
-
Adakah kawasan ini dipromosikan atau diiklankan supaya dapat menarik lagi pengunjung dan pelancong datang ke kawasan Batang Kali ?
Batang Kali yang menjadi sebahagian antara lokasi produk pelancongan di daerah Hulu Selangor akan terus dipromosikan. Melalui kerjasama dengan Pihak Berkuasa Tempatan, Majlis Daerah Hulu Selangor ( MDHS ), Kerajaan Negeri melalui TSSB telah melaksanakan pelbagai program berkaitan. Namun, seperti yang dinyatakan sebelum ini, program-program yang dilaksanakan adalah bersifat menyeluruh.
Mulai tahun 2011, TSSB dengan kerjasama semua PBT di negeri Selangor telah menerbitkan brosure bagi semua daerah-daerah di negeri Selangor termasuklah Hulu Selangor. Brosure ini merupakan antara penerbitan yang paling penting khususnya dalam mempromosikan destinasi dan produk-produk pelancongan di semua daerah di negeri ini. Bagi daerah Hulu Selangor, produk-produk pelancongan dari kawasan Batang Kali turut dimuatkan.
Selain itu, promosi bagi produk-produk pelancongan khususnya di Hulu Selangor turut meliputi penerbitan Coffe Table Book “Spectacular Selangor”, Selangor Breakaway, Directory of Selangor dan pelbagai bahan promosi lain. Malah, pihak TSSB dan MDHS telah banyak memainkan peranan penting dalam mempromosikan Hulu Selangor termasuk Batang Kali di dalam siri penyertaan program promosi dalam dan luar negara khususnya dalam rangka promosi program Selangor Shines yang bersifat berterusan.
Untuk makluman, melalui inisiatif pihak MDHS, mulai tahun 2012, pakej-pakej khas pelancongan bagi Hulu Selangor telah diwujudkan bagi memberi pilihan kepada para pelancong dan memperkenalkan Hulu Selangor sebagai antara destinasi percutian yang menarik. Usaha ini adalah sebahagian daripada rangka pelaksanaan Kempen Selangor Shines dan Daerah Fokus yang mensasarkan peningkatan keupayaan dan pembangunan pelancongan berterusan di Hulu Selangor.