Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

18 Mac 2019 - 25 Mac 2019

44) INDUSTRI KESENIAN SELANGOR

Tahun: 2019

Sesi: 1

Isu: Adat Istiadat & Warisan

Adun: Y.B. Puan Lim Yi Wei

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah rancangan Kerajaan Negeri untuk meningkatkan industri kesenian Negeri Selangor?

    Maksud atau pengertian “kesenian” adalah merujuk kepada perkara berkaitan seni sama ada tampak (ketara) atau tidak tampak (tak ketara). “Seni tampak” merujuk kepada apa-apa juga kerja seni atau kerja tangan seperti ukiran, pembuatan arca, lukisan senibina, tekstil, alat muzik, senjata dan sebagainya. “Seni tak tampak” adalah apa-apa juga yang dihasilkan dari gerak badan, suara atau bunyi termasuk dari alat-alat muziuk atau seumpamanya. Kesenian ini terdapat 4 bahagian iaitu “seni suara”, seni gerak”, “seni rupa” dan “permainan tradisional”.
    Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT) adalah diberi tanggungjawab dalam melestari dan mengembangkan kesenian Selangor. PADAT telah merangka dan melaksanakan pelbagai program dan insentif dalam melestarikan warisan kesenian Selangor, antaranya:
    1. PADAT telah mengetengah dan memartabatkan seni muzik cempuleng ethnik Jawa untuk diiktiraf sebagai permainan muzik Selangor. Program untuk merakyatkan muzik ini telah bermula dengan menubuhkan kumpulan cempuling di tiga belas (13) buah sekolah terpilih dari seluruh daerah dengan membekalkan set cempuling berserta dengan tenaga pengajarnya. Walau bagaimana pun sehingga kini terdapat seramai 26 kumpulan cempuling yang didaftar di bawah PADAT. Bagi memastikan kesinambungannya, insentif telah laksanakan terutama kepada kumpulan cempuling sedia ada dengan menganjurkan persembahan-persembahan dan pertandingan. PADAT juga sedang mengatur satu program gala iaitu mengadakan simponi cempuleng yang dijangkakan akan menampilkan 300 orang pemain cempuleng yang akan diadakan di Teater Shah Alam. Tarikhnya akan bergantung kepada kesediaan pelapis-pelapis muda tadi mampu untuk mengadakan persembahan ini. Antara kejayaan program cempuleng ini ialah
    mencatat “Malaysia Book of Record” dengan bermain cempuling selama 25 jam tanpa henti.

    2. PADAT juga telah berjaya mengadakan bengkel pembuatan alat-alat muzik tradisional pada tahun 2018 yang lalu dan telah dapat melatih seramai 35 orang peserta. Sebahagian pelatih ini diharapkan akan dapat bergiat dalam pembuatan alat-alat muzik tradisional yang semakin pupus, bagi tujuan kegunaan permainan muzik atau untuk dijual sebagai cederamata pelancong.
    3. Bagi skala yang lebih besar PADAT sedang dalam rangka

    menubuhkan Muzium Tekstil Selangor di Bangunan Anggerik Shah Alam dimana muzium ini bukan sahaja mempamirkan hasil seni halus tekstil tetapi juga menjadi pusat pengembangan dan pembuatan seni tenun berbagai-bagai jenis tekstil diantaranya tekat gubah, membatik, songket, kelingkan, telepok dan sebagainya. Program ini adalah dalam rangka membangunkan semula industri kraf untuk tujuan komesial terutama yang berunsurkan warisan Selangor.

    4. Pihak PADAT sentiasa bekerjasama dengan Jabatan Pelajaran Negeri Selangor dalam menganjurkan Ekspresi Tari Selangor setiap tahun. Program ini bertujuan menghimpunkan pelajar sekolah dalam pertandingan tarian bagi katergori Sekolah Rendah, Sekolah Menengah dan Terbuka. Kaedah ini adalah cara berkesan untuk mendedahkan dan menanam minat kepada generasi muda terhadap seni tari dan muzik tradisional.

    5. “Semarak Warisan” merupakan program kesenian yang dilaksanakan pada hari Ahad minggu kedua setiap bulan. Program ini diadakan di lobi dan perkarangan muzium Sultan Alam Shah, Shah Alam. Antara aktiviti yang di laksakan adalah berbagai-bagai permainan tradisional, konservasi artifak, mari bermain muzik tradisional, cara berbusana, dan mengenali tarian kita.

    6. “Semarak Seni dan Budaya” (SENADA), merupakan program yang akan dimulakan pada bulan April, setiap malam minggu, mulai jam 9.00 malam hingga jam 11 malam di pentas utama di Dataran Shah Alam. Program anjuran bersama dengan Majlis Bandaraya Shah Alam, Majlis Kebudayaan Negeri Selangor dan Jabatan Kebudayaan Selangor. Program ini akan menampilkan kebudayaan pelbagai kaum di negeri Selangor seperti Cina, India, Sikh, Orang Asal dan etnik Melayu. Tujuan utama program ini adalah untuk mengenegahkan kebudayaan warisan tempatan Selangor di samping menjadi wadah penduduk tempatan dan juga pelancong-pelancong yang tinggal di hotel-hotel persekitaran Lembah Klang

    7. Pameran khas “Orang Asli” akan diadakan bagi mengenengahkan kesenian dan warisan kraf orang asli pada bulan Julai akan datang. Ianya diadakan dengan kerjasama dengan Jabatan Kemajuan Halehwal Orang Asli.

    8. “Teater Bangsawan Salang Ur” Teater Bangsawan, produksi kerjasama PADAT dengan Persatuan Teater dan Seni Selangor dan Majlis Kebudayaan Negeri Selangor pada bulan November 2019 di Teater Shah Alam.

    9. “Temasya Seni Silat Melayu” merupakan program dwi tahunan anjuran PADAT berkonsepkan pertandingan seni silat tradisional. Kebiasaannya akan disertai lebih dari 30 buah pertubuhan seni silat dari seluruh negeri Selangor. Pertandingan ini akan di adakan di Kuala Selangor pada akhir bulan Oktober 2019. Program ini akan diadakan bersempena cuti penggal persekolahan diharapkan akan dapat menarik ramai pengunjung termasuk akan diadakan promosi untuk pelancong luar.

    10. Lepak Seni merupakan program anjuran MBSA dan PADAT terlibat secara lansung dalam program ini. Pengisiannya adalah persembahan kebudayaan dan permainan tradisional. Program ini juga wadah untuk mempromosikan Shah Alam sebagai kota seni kepada para pelancong.

Lampiran

Tiada Lampiran.