Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020
30 Oktober 2020 - 12 November 2020
13) Industri Kesenian
Tahun: 2020
Sesi: 3
Isu: Adat Istiadat & Warisan
Adun: Y.B. Tuan Chua Wei Kiat
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Bagaimana MCO menjejaskan pembangunan industri kesenian?
Yang Berhormat Tuan Speaker, akibat dari pandemic covid 19 yang telah melanda negara pada tahun ini dan pengistiharan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) memang telah menjejaskan pembangunan industri kesenian bukan sahaja di negeri Selangor malahan diseluruh dunia.
Pertamanya produk-produk kesenian tak ketara (intangible heritage) seperti program latihan dan pertunjukan kesenian hampir keseluruhannya telah lumpuh. Kumpulan-kumpulan kesenian sepenuh masa merasai beban ini kerana mereka kehilangan pendapatan tetap.
Tambahan lagi dengan penutupan hotel-hotel, tempat-tempat rekreasi, serta larangan acara kenduri kendara dan pertunjukan-pertunjukan kebudayaan menyebabkan aktiviti ini tidak bergerak. Kumpulan-kumpulan kesenian yang biasanya dijemput untuk menjayakan acara-cara kenduri kendara, majlis perasmian dan sebagainya tidak dapat dibenarkan. Malahan tempat-tempat pertunjukan kesenian termasuk studio-studio, pentas-pentas dan teater juga tidak dapat beroperasi.
Disebaliknya industri pembuatan yang berasaskan kraf, lukisan, kesenian dan sebagainya masih berjalan, namun agak sukar untuk mendapatkan bahan-bahan asas. Pasarannya juga terhad kerana hanya melalui perniagaan secara atas talian dan tidak dapat dipamerkan apabila pusat pameran seni ini di tutup untuk lawatan.
Pada tahun 2020 ini, Jawatan Kuasa Tetap Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan telah merangka banyak aktiviti yang berkaitan kebudayaan dan kesenian di bawah agensinya iaitu Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Selangor (PADAT) dan Tourism Selangor. Kesemua program ini terpaksa ditunda atau dibatalkan. Antara program anjuran PADAT ialah seperti:1. Semarak Seni dan Warisan iaitu pertunjukan minggua
2. Simfoni Cempuling
3. Teater Bangsawan
4. Temasya Seni Silat, Muzium Ke Sekolah
5. Rentak Selangor
6. FAM Trip (Famililarization Trip)Keseluruhan program ini sebenarnya melibatkan kebudayaan dari berbagai kaum di negeri Selangor. Misalnya tarian kipas, tarian naga dan singa juga teater dari kumpulan belia-belia kaum cina, seterusnya kumpulan bangra, tarian kolattam dan seni silat silambam dari kaum India. Persembahan kebudayaan ini sebenarnya telah dapat melahirkan ramai golongan muda yang berminat untuk membuat persembahan tidak berorientasikan kaum. Sama ada persembahan kebudayaan Melayu, Cina, India atau sebagainya disertai oleh berbagai kaum.
-
Bagaimana kerajaan membantu industri kesenian untuk mengatasi masalah tersebut?
Yang Berhormat Tuan Speaker, untuk makluman pada masa ini kerajaan negeri masih belum memperuntukan apa-apa bantuan khas kepada pengusaha dan penggiat kesenian. Walaubagaimanapun pihak kerajaan negeri yang baru sahaja dibentuk portfolionya iaitu Jawatan Kuasa Tetap Pembangunan Luar Bandar & Kampung Tradisi, Adat Istiadat Melayu, Kebudayaan & Warisan, sedang merangka idea untuk menangani dan mengatasi kesulitan terhadap mereka yang terjejas pendapatan untuk pulih seperti sedia kala.
Pembentukan jawatankuasa tetap ini amat bertepatan dengan keadaan semasa dimana keseluruhan jentera dalam portfolio ini yang mempunyai tugas teras yang dianggap amat sinonim bagi menangani masalah ini demi kesejahtaraan rakyat negeri Selangor. Pada masa ini kami sedang mengumpulkan maklum balas dari semua penggiat dan pemain utama dalam industri ini, sama ada dari orang perseorangan, kumpulan-kumpulan atau institusi-institusi untuk dianalisa segala permasalahan dan saranan-saranan untuk membantu mereka. Satu kerangka dan perancangan yang dikemaskini akan dibuat bagi menyelaras kegiatan-kegiatan kesenian dan kebudayaan bagi membantu mereka terus aktif dalam membantu merancangkan semula sektor pelancongan di negeri Selangor.