Mesyuarat Kedua (Bajet) Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021
26 November 2021, 29 November - 30 November 2021, 1 Disember - 3 Disember 2021 dan 6 Disember - 9 Disember 2021
36) INDUSTRI KECIL SEDERHANA (IKS)
Tahun: 2021
Sesi: 2
Isu: Usahawan
Adun: Y.B. Tuan Muhammad Hilman Bin Idham
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah usaha Kerajaan Negeri untuk meningkatkan produktiviti dan taraf Industri Kecil Sederhana (IKS) supaya mereka dapat bersaing di peringkat serantau dan global selaras dengan keterlibatan Malaysia dalam Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) ?
Dalam usaha membantu usahawan Industri Kecil dan Sederhana untuk bersaing dan meluaskan pasaran ke peringkat serantau dan global, Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Tetap Pelaburan dan Perdagangan telah menganjurkan Sidang Kemuncak Selangor International Business Summit pada setiap tahun. Penganjuran Sidang Kemuncak ini bertujuan untuk menyediakan satu platform perbincangan dan perkongsian maklumat kepada para usahawan IKS agar dapat bersaing diperingkat antarabangsa.
Di samping itu, penyertaan para IKS didalam Sidang Kemuncak ini juga memberikan peluang kepada mereka bertemu pembeli-pembeli perdagangan dari dalam dan luar negara, terutamanya dari negara-negara dari Asia Tenggara. Pengalaman berjumpa, berbincang dan menjual barangan mereka kepada para pembeli luar negara ini akan memberikan pengetahuan berkenaan kesediaan barangan mereka untuk membantu mereka menembusi pasaran antarabangsa terutamanya pasaran negara-negara yang menyertai Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP).
Pada Sidang Kemuncak Selangor International Business Summit 2021 yang telah dianjurkan secara hybrid, pada 18-21 November baru-baru ini, seramai 152 pembeli perniagaan yang mengunjungi para peserta pameran secara virtual dan seramai 20 orang pembeli perniagaan dari dalam dan luar negara telah berjumpa para pempamer IKS ini secara fizikal di ruang pameran di Kuala Lumpur Convention Centre.
Kerajaan Negeri berharap agar semua perbincangan diantara pempamer dan pembeli ini dapat mencapai persetujuan dan membantu mengembangkan pasaran mereka samada di dalam negara mahupun di luar Negara.
Selain menyediakan peluang pemasaran, Kerajaan Negeri melalui Selangor Information Technology and Digital Economy Corporation (SIDEC) menyediakan pelbagai program bagi meningkatkan produktiviti dan taraf industri IKS dari segi perniagaan secara atas talian (online). Antaranya ialah melalui Kelas E-Dagang Sidec, Masterclass (Kelas Lanjutan SIDEC), Selangor Online 100 & Brands 100 serta yang terbaharu Geran Padanan Digitalisasi PKS Selangor.
Kelas E-Dagang SIDEC (EC Class) merupakan pemberian kemahiran (skilling), pelaksanaan peningkatan kemahiran (Upskilling) dan latihan semula (Reskilling) untuk para peniaga yang menceburi bidang e-dagang buat pertama kali.
Bagi tahun 2021, 3 modul melalui 15 kelas telah berjaya dilaksanakan sepanjang sesi Kelas E-Dagang. Untuk menjaga SOP kesihatan dalam pencegahan wabak COVID-19, Kelas E-Dagang dijalankan secara atas talian sepenuhnya dan tiada penganjuran kelas secara fizikal mengikut kebiasaan sebelum ini.
Walaubagaimanapun, Kelas E-Dagang tetap mendapat sambutan yang memberangsangkan. Sebanyak 4,292 peserta telah mengambil bahagian dalam kesemua lima belas kelas tersebut, menjangkaui sasaran awal sebanyak 48% iaitu 3,000 peserta.
Kelas Masterclass E-Dagang Sidec (EC Masterclass) pula merupakan program latihan lanjutan untuk program kelas e-dagang dengan mensasarkan usahawan atau PKS yang sudah mempunyai perniagaan dalam e-dagang untuk meningkatkan lagi kemahiran dan perniagaan mereka.
Program ini bertujuan untuk memberikan kemahiran teknikal (hands-on) melalui latihan intensif secara langsung. Modul latihan lebih menumpukan kepada topik pemasaran digital sebagai salah satu inisiatif Sidec untuk melahirkan usahawan berimpak tinggi di Selangor.
8 topik telah diperkenalkan untuk sesi EC Masterclass pada tahun 2021 dengan 4 topik dijalankan dalam Bahasa Malaysia dan 4 topik di dalam Bahasa Inggeris. Setakat 31 Oktober, sebanyak 4 kelas sudah dijalankan. Jumlah peserta setakat ini adalah 149, menjangkaui sasaran awal iaitu sebanyak 120 peserta.
Program Selangor Online 100 & Brands 100 pula merupakan inisiatif Sidec yang membekalkan solusi penuh e-dagang dan sokongan kepada PKS untuk mengadaptasi dan penyertaan (adoption dan onboarding) dalam digitalisasi dan e-dagang serta meningkatkan penjenamaan perniagaan di atas talian melalui penyediaan kedai di laman perniagaan atas talian sedia ada (Webstore) dan pembangunan laman web e-dagang (Website) yang lengkap dengan domain, cloud, hosting, shopping cart, dan payment gateway.
Program percuma ini hanya terbuka kepada 100 PKS atau usahawan Selangor dengan syarat kelayakan iaitu 51% pegangan saham syarikat rakyat Malaysia, syarikat yang beralamat di Selangor, mempunyai pendaftaran SSM dan telah mempunyai produk fizikal. Disebabkan gejala COVID-19, pendaftaran program ini telah dibuka bermula dari 1 Julai hingga 30 November 2021.
Setakat 31 Oktober 2021, sebanyak 80 permohonan PKS telah diluluskan dan 75 PKS telah berjaya mendapatkan dan memulakan perniagaan mereka secara atas talian melalui platform webstore (Shopee, Lazada dan Youbeli) dan laman web e-dagang sendiri yang lengkap dengan shopping cart, payment gateway dan website hosting diatas jenama atau perniagaan mereka sendiri. Selain program-program tersebut, untuk membantu PKS Selangor mendigitalisasikan perniagaan mereka, kerajaan Negeri Selangor telah melancarkan Geran Padanan Digitalisasi PKS Selangor yang bernilai RM5 juta pada April 2021.
Setakat 30 Oktober 2021, 1,372 permohonan telah diterima. Walaubagaimanapun, sebanyak 793 permohonan yang layak telah diluluskan berjumlah RM3.8 juta. Kelulusan Geran Padanan adalah dijalankan oleh jawatankuasa khas yang diketuai oleh bekas Ketua Pegawai Operasi MDEC, Dato’ Ng Wan Peng dan Dato’ Syed Haizam Jamalullail, Pengarah Urusan The Hive Southeast Asia yang merupakan salah satu daripada lapan VC pilihan Dana Penjana Kapital.
Antara 5 bidang digitalisasi, permohonan yang paling banyak diterima adalah Pemasaran Digital (40.7%), diikuti oleh Sistem Perakaunan (20.9%), Sumber Manusia dan Payroll System (16.6%), E-Dagang (10.7%) dan E-PoS System (11.2%).
Setakat ini, pelbagai kisah kejayaan telah dicatatkan melalui contoh-contoh seperti berikut. Restoran Mohd Chan Kopitiam melalui bidang digitalisasi e-dagang telah menerima pertanyaan sebanyak 5 setiap hari berbanding dengan tiada pertanyaan sebelum mereka mendigitalisasikan perniagaan mereka.
Selain itu, Faz Food Enterprise yang mendigitalisasikan perniagaan mereka dengan menggunakan sistem e-PoS boleh menyemak pangkalan data pelanggan yang telah mendaftar sebagai ahli serta melakukan transaksi pembayaran e-dompet bersepadu dengan sistem e-PoS.