Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
04 Julai - 05 Julai 2024, 09 Julai - 12 Julai 2024 & 15 Julai - 18 Julai 2024 (Khamis - Jumaat, Selasa - Jumaat & Isnin - Khamis)
265) INDUSTRI HALAL SELANGOR
Tahun: 2024
Sesi: 2
Isu: Hal Ehwal Islam
Adun: Y.B. Tuan Mu'izzuddeen Bin Mahyuddin
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah usaha Kerajaan Negeri memberi rangsangan kepada usahawan IKS menceburi industri Halal?
Untuk makluman Yang Berhormat, inisiatif-inisiatif Industri Halal diletakkan di bawah Teras Pembangunan Ekonomi dalam Rancangan Selangor Pertama (RS-1) menunjukkan kepentingan Industri Halal dalam menjana ekonomi negeri. Bagi melaksanakan inisiatif ini, Jawatankuasa Tetap Industri Halal telah memperuntukkan RM 3 Juta bagi tahun 2024. Agensi Peneraju bagi Teras Pembangunan Ekonomi Halal tersebut ialah HIS Toyyiba Sdn Bhd yang merupakan sebuah anak syarikat milikan penuh MBI (Menteri Besar Selangor (Incorporated)).
Dalam merangsang usahawan IKS menceburi bidang industri halal, beberapa program dan inisiatif telah dirancang seperti berikut:
- Pembangunan Kapasiti Halal. Program yang dilaksanakan termasuklah program advokasi halal, program latihan halal, program bimbingan Sijil Pengesahan Halal serta program khidmat nasihat berkaitan halal. Program ini akan diadakan dalam beberapa siri yang menerangkan berkenaan kepentingan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM), proses permohonan SPHM serta keperluan bagi mendapatkan SPHM.
- Selangor Halal Supply Chain Solutions yang bertujuan bagi meningkatkan industri halal di Selangor dengan menyediakan solusi secara menyeluruh bagi melengkapkan rantaian bekalan halal dan memastikan pematuhan kepada piawaian halal, dan meningkatkan daya saing produk halal di peringkat global. Antara program di bawah inisiatif ini adalah kajian kebolehkesanan halal yang bertujuan mengkaji keperluan kepada sistem kebolehkesanan halal yang komprehensif bagi memastikan keterjaminan rantaian bekalan halal di dalam ekosistem Halal dalam mengurangkan kerentanan risiko penarikan balik produk, pencemaran silang dan pemalsuan logo halal dari berlaku.
- Certificate Readiness Assessment (CRA). CRA adalah platform atas talian yang pemudah cara bagi usahawan melakukan penilaian kendiri bagi memastikan kesediaan untuk memohon pensijilan halal bagi barangan dan perkhidmatan mereka. Selain itu, memudahkan usahawan yang belum mendapatkan pensijilan halal melakukan penilaian kendiri secara atas talian, sebelum memohon pensijilan halal yang penuh. Dengan ini, usahawan dapat menilai kesediaan serta melakukan perancangan operasi mereka sebelum memohon pensijilan halal.
-
Apakah bantuan dan sokongan yang diberikan Kerajaan Negeri kepada IKS dalam mendapatkan persijilan Halal?
Kerajaan negeri Selangor telah merangka beberapa program yang dapat memberi bantuan dan sokongan kepada IKS dalam mendapatkan pensijilan halal, antaranya:
- Usahawan PLATS (UPLATS) bertujuan memperkasa usahawan PLATS ke peringkat lebih tinggi dan berdaya saing. Usahawan diberikan bimbingan bagi mendapatkan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) yang dipanggil UPLATS Halal. Di bawah UPLATS Halal ini, peserta akan melalui modul-modul yang merangkumi Program Kesedaran Halal, penilaian atas talian tahap kesedian bagi mendapatkan SPHM serta bimbingan sehingga mendapat SPHM.
- Let’s Halal Usahawan Hijrah Selangor, peserta IKS Hijrah diberi pendedahan berkenaan SPHM dan dinilai tahap kesediaan mereka bagi mendapatkan SPHM. Dapatan dari penilaian mereka akan dijadikan sebagai asas dan panduan untuk merangka program dan intervensi bersesuai dalam membantu IKS ke peringkat seterusnya.
- Program Let’s Halal di bawah Inisiatif Kecekapan Proses Pensijilan Halal yang diperkenalkan oleh EXCO Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi. Program Let’s Halal ini merupakan program bimbingan mendapatkan SPHM dan terbuka kepada semua usahawan negeri Selangor yang tidak duduk di bawah PLATS atau HIJRAH.
- Certificate Readiness Assessment (CRA) akan membantu IKS untuk menilai tahap kesediaan dalam mendapatkan SPHM. Sistem ini selari dengan inisiatif meningkatkan Kecekapan Proses Pensijilan Halal di bawah EXCO Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi. Berdasarkan rekod, JAIS menerima sebanyak 5,099 permohonan SPHM pada tahun 2023, dengan kelulusan permohonan SPHM di Selangor pada 2023 adalah berjumlah 3,466 bersamaan 68% permohonan yang berjaya.