Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
15 November 2024, 18-22 November 2024, 25-28 November 2024
55) INDUSTRI HALAL NEGERI SELANGOR
Tahun: 2024
Sesi: 3
Isu: n/a
Adun: Y.B. Tuan Muhammad Hilman Bin Idham
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah usaha Kerajaan Negeri untuk mempromosikan industri Halal di Negeri Selangor?
Inisiatif Promosi Halal Selangor dalam RS-1 bertujuan menjadikan Selangor hab halal utama di peringkat nasional dan global. Melalui strategi ini, kerajaan negeri berusaha mempromosikan produk dan perkhidmatan halal Selangor secara meluas ke pasaran antarabangsa. Antara usaha yang dilaksanakan adalah:
- Persidangan Halal Antarabangsa Selangor (SELHAC)
SELHAC adalah acara tahunan yang menyediakan platform bagi industri halal tempatan dan antarabangsa untuk berinteraksi dan mencari peluang perniagaan. SELHAC 2024 telah dilangsungkan di KLCC dengan tema “Merancakkan Ekosistem Halal,” memfokuskan pematuhan pensijilan, logistik halal, dan inovasi digital. Acara ini menghubungkan syarikat dari pelbagai negara dengan nilai padanan perniagaan melebihi RM60 juta, yang diharapkan akan mencapai RM71 juta sepanjang tahun 2024.
- Penyertaan dalam Pameran dan Ekspo Halal Antarabangsa
Kerajaan Negeri Selangor melalui Halal International Selangor (HIS Toyyiba), menyertai pelbagai pameran halal utama, termasuk Selangor International Business Summit (SIBS), Malaysia International Halal Showcase (MIHAS), dan Penang International Halal Expo (PIHEX), serta program antarabangsa seperti MIHAS@Dubai. Melalui penyertaan ini, Selangor memperkenalkan produk halal negeri dan membuka peluang rangkaian perniagaan global. Melalui pameran dan lawatan ke luar negara, HIS Toyyiba mempromosikan peluang-peluang dalam industri halal Negeri Selangor kepada pemain-pemain antarabangsa.
- Majlis Town Hall bersama Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS)
Program ini bertujuan meningkatkan pensijilan halal dalam kalangan PMKS di sembilan daerah Selangor dengan mengatasi isu-isu yang dihadapi PMKS dalam mendapatkan Sijil Pengesahan Halal Malaysia. Usaha ini dilakukan dengan kerjasama JAIS dan Halal International Selangor (HIS Toyyiba) untuk mempertimbangkan bantuan tambahan yang diperlukan.
Selain itu, antara inisiatif mempromosikan halal negeri Selangor melalui PLATS (Platform Selangor), HIJRAH Selangor, dan Selangor Youth Community (SAY) bagi membantu menyediakan sokongan menyeluruh kepada usahawan tempatan. Inisiatif Promosi Halal Selangor ini memperkukuhkan kedudukan negeri sebagai pusat industri halal global menjelang 2030. Kerajaan Negeri turut menggalakkan PMKS untuk mengambil Inisiatif Segera Pensijilan Halal (ISPHM 2.0) bagi mempercepatkan proses pensijilan halal yang kurang daripada 30 hari. Kerajaan melalui agensi HIS Toyyiba serta Certification Readiness Assessment (CRA) untuk memudahkan pemohon mendapat sijil membuat persediaan sebelum memohon Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM). Usaha-usaha ini juga diharapkan dapat meningkatkan sumbangan ekonomi halal kepada Selangor dan negara secara keseluruhan.