Mesyuarat Ketiga (Bajet) Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022
23 - 25 November, 29 - 30 November, 1 - 2 Disember & 5 - 6 Disember 2022
163) INDUSTRI HALAL
Tahun: 2022
Sesi: 3
Isu: Hal Ehwal Islam
Adun: Y.B. Tuan Zakaria Bin Hanafi
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah peluang-peluang yang disediakan bagi syarikat bumiputra untuk lebih maju dalam industri halal di Selangor?
Kerajaan Negeri Selangor sangat menggalakkan perkembangan industri halal di negeri ini terutamanya di kalangan syarikat bumiputera.
Di antara peluang-peluang yang disediakan kepada syarikat bumiputera di negeri Selangor adalah:
- Menganjurkan Selangor International Halal Convention (SELHAC) iaitu program tahunan anjuran Jawatankuasa Tetap Industri Halal. Komponen utama program ini ialah konvensyen yang membincangkan isu-isu semasa berkaitan halal, ia juga menyediakan ruang pameran yang dapat memberi peluang kepada usahawan tempatan terutamanya bumiputera mempromosi keluaran mereka di samping menyertai program padanan perniagaan bagi menembusi pasaran di pasaraya-pasaraya besar serta peluang eksport ke luar negara.
- Menyelaras kemudahan daripada bank-bank untuk mendapat dana modal kepada usahawan bumiputera untuk membangun dan mengembangkan perniagaan mereka pada skala yang lebih besar dalam industri halal,
- Selain itu, Kerajaan Negeri juga prihatin dengan golongan wanita / ibu tunggal. Bagi membantu mereka memulakan perniagaan dan menjana pendapatan, Kerajaan Negeri telah menyediakan geran padanan melalui program Halal Suri. Program ini menyasarkan bantuan kepada 100 orang wanita di kalangan B40. Ini membuktikan Kerajaan Negeri memandang serius potensi industri halal dalam semua lapisan masyarakat.
- Melancarkan aplikasi HalalSel iaitu aplikasi yang menawarkan kemudahan kepada pengguna bagi mendapatkan makanan halal dari premis makanan halal di sekitar Selangor. Secara tidak langsung, aplikasi ini akan mempromosikan premis makanan halal mereka kepada orang ramai. Ini akan menggalakkan premis-premis makan halal terutama kepunyaan syarikat bumiputera berusaha untuk mendapatkan pensijilan halal.