Mesyuarat Kedua (Bajet) Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021

26 November 2021, 29 November - 30 November 2021, 1 Disember - 3 Disember 2021 dan 6 Disember - 9 Disember 2021

75) INDUSTRI BATIK MALAYSIA

Tahun: 2021

Sesi: 2

Isu: Perindustrian

Adun: Y.B. Tuan Mohd Najwan Bin Halimi

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah usaha Kerajaan Negeri untuk membantu kemajuan industri tekstil Batik Malaysia?

    Dalam usaha untuk memajukan industri Batik Malaysia, Kerajaan Negeri melalui agensi yang bertanggungjawab iaitu Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT) sedang merancang untuk membangunkan Batik Selangor bermotifkan “Bunga Tanjung” dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia cawangan Selangor. Penyediaan reka bentuk dan motif batik ini sedang dalam tindakan oleh pihak Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia cawangan Selangor.

    Bagi tujuan pengiktirafan, rekaan yang sedang dibangunkan ini adakan dijadikan sebagai identiti atau motif batik negeri Selangor dan dicadangkan untuk diisytiharkan sebagai “Batik Selangor”.

    Selanjutnya PADAT akan mengemukakan cadangan kepada Kerajaaan Negeri Selangor bagi pemakaian batik motif bunga tanjung kepada Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan promosi kepada masyarakat awam.

    Selain itu, PADAT juga telah mengadakan perbincangan mengenai batik bunga tanjung bersama dengan pihak Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) Selangor dan Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara (JKKN) Selangor bagi tujuan mempromosikan batik Selangor motif bunga tanjung dan pemakaian batik oleh penjawat awam di Selangor.

    Sebagai usaha mempertingkatkan ekonomi dan pewujudan peluang pekerjaan di Selangor, PADAT menyokong cadangan bagi menjadikan Selangor salah satu hab untuk mempromosikan Batik Selangor, namun satu kerjasama bersepadu diperlukan antara agensi-agensi yang berkaitan bagi memastikan cadangan ini dapat dilaksanakan secara teratur, berkesan dan memberikan impak tinggi terhadap industri pelancongan dan tekstil di Selangor.

  2. Apakah Kerajaan Negeri bercadang untuk menjadikan negeri Selangor sebagai salah satu hab untuk mempromosikan Batik Malaysia?

    Jawapan adalah sama seperti di atas.

Lampiran

Tiada Lampiran.