Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025

18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025

223) INDUSTRI AEROANGKASA

Tahun: 2025

Sesi: 1

Isu: n/a

Adun: Y.B. Tuan Syed Ahmad Bin Abdul Rahman Alhadad

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah hala tuju kerjasama Kerajaan Negeri bersama agensi-agensi kerajaan lain dalam membangunkan sektor Aeroangkasa?

    Industri aeroangkasa adalah antara sektor strategik yang mampu membawa transformasi ekonomi melalui peningkatan economic complexity dengan cara pembangunan dan pemberdayaan bakat, inovasi teknologi, serta pengukuhan rantaian bekalan. Dengan sumbangan sebanyak 1 bilion atau sekitar USD 4 bilion kepada KDNK negara pada tahun 2023, industri ini memainkan peranan penting dalam mewujudkan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi, dan membina ekosistem teknologi maju selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri melalui Pelan Induk Industri Baharu 2030 (NIMP 2030). Industri ini berpotensi berkembang di Negeri Selangor kerana menyumbang lebih 67% kepada aktiviti aeroangkasa negara.

    Dalam usaha memacu pertumbuhan industri ini, Kerajaan Negeri  Selangor bekerjasama rapat dengan semua pihak berkepentingan untuk merangka strategi pembangunan industri aeroangkasa yang holistik. Inisiatif ini bertujuan untuk:

    • Memperkukuh ekosistem aeroangkasa;
    • Meningkatkan daya saing pemain industri tempatan; dan
    • Menarik lebih banyak pelaburan asing ke Negeri Selangor.

    Antara kerjasama yang dilaksanakan oleh pihak Kerajaan Negeri melalui Invest Selangor adalah seperti;-

    1. Kerjasama bersama National Aerospace Industry Corporation Malaysia (NAICO Malaysia) dan Malaysian Investment Development Authority (MIDA).

    Melalui kerjasama dengan agensi – agensi di peringkat Persekutuan ini, Kerajaan Negeri  akan menumpukan usaha untuk menjalinkan kerjasama strategik dengan negara-negara yang terlibat dalam industri aeroangkasa bagi memastikan kestabilan rantaian bekalan, meningkatkan keterhubungan industri, serta mewujudkan persekitaran perdagangan yang lebih kondusif bagi semua pihak.

    Dalam usaha menyediakan tenaga kerja dalam industri ini Kerajaan Negeri turut merangka program untuk membangunkan tenaga mahir dalam industri aeroangkasa melalui program-program Outreach ke sekolah menengah. Melalui program ini, pelajar tingkatan 4 dan 5 daripada pelbagai aliran akan diberi pendedahan dan pemahaman tentang industri aeroangkasa bagi memupuk minat mereka untuk meneroka peluang keterlibatan dalam industri ini kelak.

    2.Program Keterhubungan Industri (Industry Linkages Program).

    Kerajaan Negeri turut menekankan kepentingan keterhubungan industri dengan menyediakan platform bagi PKS bertemu dengan pemain industri dan pakar. Melalui strategi ini, kita dapat memastikan komuniti aeroangkasa sentiasa peka dengan trend pasaran terkini serta mengurangkan jurang maklumat antara sektor-sektor yang berkaitan. Antara program keterhubungan industri yang telah dilaksanakan seperti;

    1. Sesi Industry Linkages antara pemain industri dengan institusi kewangan seperti MIDF dan MBSB bagi memberi pencerahan mengenai pembiayaan dalam industri aeroangkasa yang ditawarkan.
    2. Sesi Industry Linkages yang menghubungkan pemain industri aeroangkasa dengan agensi seperti TalentCorp dan PERKESO bagi berkongsi inisiatif mengenai rangka kerja dan insentif untuk dikemukakan kepada Kementerian Sumber Manusia demi memperkasa tenaga kerja dalam sektor aeroangkasa.
    3. Sesi dialog bersama Pihak Berkuasa Penerbangan Awam (CAAM) dan pemain industri bagi menangani isu regulasi di dalam negara ini.
    4. Sesi Industry Linkages bersama syarikat perunding infrastruktur dan kejuruteraan seperti PricewaterhouseCoopers (PwC) dan Haskell dengan pemain industri bertujuan memastikan pelaburan dalam infrastruktur diselaraskan secara mampan, berdaya tahan, dan inklusif.

    3. Kerjasama bersama Malaysian Technology Development Corporation (MTDC).

    Dalam memastikan syarikat tempatan terus berkembang, Kerajaan Negeri Selangor melalui Invest Selangor telah menandatangani memorandum kolaborasi bersama MTDC. Kerjasama ini telah dimeterai bagi mengenalpasti PKS yang berpotensi dalam sektor aeroangkasa. Fokus utama adalah membangunkan syarikat di Tier 3 dan Tier 4 agar mereka boleh meningkatkan keupayaan ke Tier 2 dalam rantaian bekalan industri aeroangkasa.

    Melalui usaha ini, kita dapat memastikan PKS di Selangor dapat bersaing di peringkat antarabangsa dan memainkan peranan lebih besar dalam rantaian bekalan global.

     

    4. Kerjasama bersama Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT).

    Setiap tahun, PERHEBAT melahirkan sekitar 5,000 hingga 6,000 bekas anggota tentera berumur antara 29 hingga 47 tahun. Mereka bukan sahaja memiliki tahap disiplin yang tinggi, tetapi juga mempunyai pengalaman yang luas dalam pengendalian pesawat dan jentera berat, menjadikan mereka aset bernilai dalam sektor aeroangkasa.

    Kerjasama yang dijalinkan ini bertujuan memastikan lebih ramai bekas anggota tentera mendapat peluang pekerjaan yang setara dengan kemahiran mereka, sekaligus memperkukuh daya saing tenaga kerja tempatan dalam sektor berteknologi tinggi.

    Syarikat seperti KarbonMRO iaitu syarikat pengendalian MRO pesawat HondaJet telah berjaya memperoleh juruteknik penyelenggaraan pesawat dan enjin (Aircraft Technician) daripada PERHEBAT. Ini adalah contoh bagaimana kerjasama strategik dapat mewujudkan ekosistem pekerjaan yang mampan, memperkasakan tenaga kerja negara, dan menyokong pertumbuhan industri aeroangkasa secara holistik.

    Melalui gabungan kerjasama strategik yang sedia ada serta inisiatif yang baru, Kerajaan Negeri komited untuk memperkukuh ekosistem industri aeroangkasa. Usaha ini bukan sahaja akan meningkatkan daya saing negara di peringkat global, tetapi juga memastikan pembangunan yang berdaya tahan serta berpaksikan nilai inovasi.

Lampiran

Tiada Lampiran.