Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2017

24 Julai 2017 hingga 25 Julai 2017

5) INDUSTRI 4.0

Tahun: 2017

Sesi: 2

Isu: Perindustrian

Adun: Y.B. Tuan Lau Weng San

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah insentif-insentif kerajaan untuk memperkembangkan R&D dan automasi di sektor pembuatan di Selangor berdasarkan konsep dan teknologi Industri 4.0?

    Secara dasarnya Kerajaan Persekutuan melalui Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia atau MIDA telah memperkenalkan beberapa insentif untuk menggalakkan penglibatan syarikat dalam memperkembangkan R&D dan automasi dalam sektor pembuatan di Selangor berdasarkan konsep dan teknologi

    Industri 4.0.

    Akta Penggalakan Pelaburan, 1968 mentakrifkan penyelidikan dan pembangunan (Research & Development atau R&D) sebagai “apa-apa kajian sistematik atau intensif yang dijalankan dalam bidang sains atau teknologi dengan tujuan untuk menggunakan hasil kajian itu untuk pengeluaran atau penambahbaikan bahan, alat, produk, hasil atau proses, tetapi tidak termasuk:

    • kawalan mutu atau pengujian rutin bahan, alat, produk atau hasil;
    • penyelidikan dalam sains sosial atau ilmu kemanusiaan;
    • pemungutan data rutin;
    • kaji selidik kecekapan atau kajian pengurusan; dan
    • penyelidikan pasaran atau promosi jualan.

    Antara insentif – insentif utama yang ditawarkan untuk syarikat yang terlibat dalam  aktiviti penyelidikan dan pembangunan seperti;-

    1. Syarikat R&D Kontrak (Contract R&D)

    1. Taraf Perintis dengan pengecualian cukai sebanyak 100% daripada pendapatan berkanun untuk lima tahun. Elaun modal tidak diserap dan kerugian terkumpul yang ditanggung semasa tempoh perintis boleh dibawa ke hadapan dan ditolak daripada pendapatan pasca perintis syarikat berkenaan; atau
    2. Elaun Cukai Pelaburan 100% ke atas perbelanjaan modal layak yang dilakukan dalam tempoh 10 tahun. Elaun ini boleh ditolak sebanyak 70% daripada pendapatan berkanun bagi setiap tahun taksiran. Sebarang jumlah elaun modal tidak digunakan boleh dibawa ke tahun-tahun berikutnya sehingga digunakan sepenuhnya.

    2. Syarikat R&D (R&D Companies)

    Sebuah syarikat R&D, iaitu sebuah syarikat yang menyediakan perkhidmatan R&D di Malaysia kepada syarikat berkaitannya atau kepada mana-mana syarikat lain, boleh diberikan Elaun Cukai Pelaburan 100% ke atas perbelanjaan modal layak yang dilakukan dalam tempoh 10 tahun. Elaun ini boleh ditolak sebanyak 70% daripada pendapatan berkanun bagi setiap tahun taksiran. Sebarang jumlah elaun modal tidak digunakan boleh dibawa ke tahun-tahun berikutnya sehingga digunakan sepenuhnya.

    Seandainya syarikat R&D itu memilih untuk tidak menggunakan elaun ini, syarikat-syarikat berkaitannya boleh menikmati potongan dua kali ganda bagi bayaran-bayaran yang dilakukan kepada syarikat R&D itu untuk perkhidmatan yang telah diberikan.

    3. Penyelidikan Dalam Syarikat (In-House R&D)

    Sebuah syarikat yang menjalankan R&D dalam syarikat bagi memajukan perniagaannya boleh memohon Elaun Cukai Pelaburan sebanyak 50% ke atas perbelanjaan modal layak yang dilakukan dalam tempoh 10 tahun. Syarikat boleh menggunakan elaun ini untuk ditolak sebanyak 70% daripada pendapatan berkanunnya bagi setiap tahun taksiran. Sebarang jumlah elaun modal tidak digunakan boleh dibawa ke tahun-tahun berikutnya sehingga digunakan sepenuhnya.

    Dalam menggalakkan pihak syarikat memperkembangkan proses automasi di sektor pembuatan berdasarkan konsep dan teknologi Industri 4.0, Kerajaan melalui Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia atau MIDA telah memperkenalkan insentif dalam Bajet 2015 kepada syarikat yang ingin terlibat dalam aktiviti automasi mengikut kategori berikut;-

    • Kategori Pertama, iaitu untuk industri yang mempunyai kebergantungan buruh yang tinggi seperti industri produk getah, plastik, kayu, perabot dan tekstil. Insentif yang ditawarkan adalah elaun modal perbelanjaan automasi sebanyak 200% ke atas 4 juta ringgit perbelanjaan pertama. Insentif ini adalah bagi tempoh 2015 hingga 2017; dan

    Ketegori Kedua, iaitu untuk industri – industri yang lain. Insentif yang ditawarkan adalah elaun modal perbelanjaan automasi sebanyak 200% ke atas 2 juta ringgit perbelanjaan modal pertama. Insentif ini adalah bagi tempoh 2015 hingga 2020.

Lampiran

Tiada Lampiran.