Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2014

16 Jun 2014 hingga 18 Jun 2014

217) IMPLIKASI CATUAN AIR PADA EKONOMI NEGERI

Tahun: 2014

Sesi: 2

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Datuk Mat Nadzari Bin Ahmad Dahlan

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah implikasi akibat catuan air kepada ekonomi negeri baru-baru ini?

    Catuan bekalan air yang melanda Negeri Selangor Peringkat 1 hingga Peringkat 4 mulai 27 Februari 2014 hingga 30 April 2014 adalah disebabkan oleh faktorfaktor berikut:-

    1. Peringkat 1 – Diaktifkan bermula pada 27 Februari 2014 akibat dari peningkatan paras ammonia dalam air mentah di Sungai Langat yang mengakibatkan LRA Cheras Batu 11 dan LRA Bukit Tampoi terpaksa dihenti tugas;
    2. Peringkat 2– Diaktifkan bermula pada 2 Mac 2014 akibat dari pengurangan pelepasan air mentah sebanyak 200 JLH dari empangan Sungai Selangor dan 30 JLH dari Empangan Klang Gates; dan
    3. Peringkat 3 – Diaktifkan bermula pada 10 Mac 2014 akibat dari pengurangan pelepasan air mentah sebanyak 500 JLH dari empangan Sungai Selangor dan 30 JLH dari Empangan Klang Gates. Pengurangan air mentah ini menyebabkan loji SSP 1, SSP 2, SSP 3, LRA Rasa dan LRA Rantau Panjang, LRA Bukit Nanas dan LRA Wangsa Maju mengurangkan pengeluaran air terawat; dan
    4. Peringkat 4 -Diaktifkan bermula pada 18 Mac 2014 akibat dari pengurangan pelepasan air mentah sebanyak 1,000 JLH dari empangan Sungai Selangor berikutan dari paras Empangan Sungai Selangor yang mencapai paras simpanan sebanyak 39% dan 30 JLH dari Empangan Klang Gates. Pengurangan air mentah ini menyebabkan loji SSP 1, SSP 2, SSP 3, LRA Rasa dan LRA Rantau Panjang, LRA Bukit Nanas dan LRA Wangsa Maju mengurangkan pengeluaran air terawat.

    Catuan bekalan air ini dibuat adalah sebagai usaha untuk meningkatkan paras Empangan Sungai Selangor dari terus menurun. Sekiranya paras simpanan air mentah di Empangan Sungai Selangor tidak dapat ditingkatkan, adalah dikhuatiri dengan kedatangan musim kering dan panas disebabkan oleh Monsun Barat Daya dijangka bermula dari bulan Jun hingga Ogos akan datang boleh menyulitkan lagi peningkatan paras empangan tersebut.

    Penurunan paras empangan itu adalah disebabkan oleh keadaan cuaca panas yang luar biasa ditambah dengan pengurangan kadar hujan yang ketara. Keadaan  cuaca tersebut menyebabkan empangan ini menerima hujan yang sedikit sejak dua bulan yang lalu berbanding dengan tahun-tahun yang lepas seperti yang dapat dilihat seperti jadual di bawah:

    TAHUN JUMLAH HUJAN BULANAN      
    JANUARI FEBRUARI MAC OKT NOV DEC
    2007 193.30 46.65 234.45 286.87 372.73 268.65
    2008 165.54 83.99 295.11 272.22 419.77 62.00
    2009 91.0 99.56 325.13 64.00 84.82 50.40
    2010 162 82 208 115.43 392.24 151.84
    2011 190 50 183 251.66 274.80 185.54
    2012 106 217 199 245.78 496.50 223.57
    2013 96 149 107 385.71 210.07 139.19
    2014 102 2 54      

    Dalam keadaan cuaca biasa, Empangan Sungai Selangor memang mencukupi untuk membekalkan air mentah untuk dirawat dan seterusnya diagihkan kepada pengguna.

    Kerajaan Negeri Selangor maklum catuan bekalan air bukanlah suatu kaedah yang akan diterima baik oleh pengguna kerana ia akan menyulitkan dan melibatkan kerugian besar terutamanya kepada pengusaha kilang dan perdagangan.  Namun demikian, sekiranya catuan tersebut tidak dilaksanakan, paras empangan Sungai Selangor akan terus menurun dan akan lebih menyulitkan semua pihak serta pemulihan kepada keadaan tersebut akan mengambil masa yang lebih panjang lagi.

    Pada masa yang sama juga, catuan yang berlaku baru-baru ini adalah satu keadaan luar jangka yang sememangnya tidak dapat dielakkan  dari berlaku.

  2. Bagaimanakah kerajaan mahu meyakinkan pelabur dan pihak industri bahawa masalah bekalan air tidak akan berlaku lagi dan menjejaskan operasi mereka?

    Memastikan sumber air di Selangor sentiasa berterusan dan tidak terganggu untuk digunakan oleh pengguna adalah menjadi tanggungjawab Kerajaan Negeri dan pelbagai usaha telah diambil bagi tujuan tersebut.  Gangguan bekalan air boleh disumbangkan oleh beberapa faktor seperti berikut:-

    • Gangguan yang disebabkan oleh ketidakcukupan air mentah;
    • Gangguan akibat penutupan loji disebabkan oleh penyelenggaraan berjadual;
    • Gangguan akibat penutupan loji disebabkan oleh faktor luar jangka seperti pencemaran sumber air, gangguan bekalan elektrik kerosakan peralatan loji, atau kerosakan paip induk yang disebabkan oleh pihak ketiga.

    Kerajaan Negeri maklum bahawa masalah gangguan bekalan air boleh mendatangkan kesan dan risiko yang besar dari segi sosial, ekonomi dan politik serta imej kerajaan.  Oleh yang demikian, Kerajaan Negeri Selangor sentiasa berusaha untuk memastikan masalah gangguan ini dapat diatasi dan seterusnya dikurangkan.

    Dalam usaha untuk memastikan air mentah sentiasa cukup untuk dirawat oleh 34 Loji Rawatan Air di Negeri Selangor, selain dari memberikan persetujuan kepada pelaksanaan Projek Langat 2, Kerajaan Negeri juga telah bersetuju untuk membangunkan projek yang dinamakan Hybrid of River Augmentation Storage/System (HORAS) di kawasan Kuala Selangor. Melalui pembangunan dua projek ini, Kerajaan Negeri yakin masalah ketidakcukupan air mentah dapat diatasi sepenuhnya.

    Selain dari penambahan sumber air mentah, Kerajaan Negeri juga telah menggariskan dasar bagi memastikan sumber air mentah dari sungai-sungai sedia ada tidak dicemari.  Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan semua agensi yang berkaitan sentiasa berganding bahu memantau supaya semua penyumbang kepada pencemaran sumber air mentah dapat dihukum melalui kuat kuasa undang-undang dan peraturan  sedia ada.

    Masalah gangguan bekalan air juga berkait rapat dengan sistem paip utama dan paip komunikasi yang ada di negeri Selangor. Kebanyakan paip utama dan paip komunikasi di Negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya adalah dari jenis Galvanise Iron (G.I) dan Asbestos Cement (AC).  Paip-paip ini kebanyakannya telah pun mencapai usia 40 tahun dan akibat faktor usia tersebut, pengaratan dalaman paip berlaku menyebabkan saluran paip menjadi sempit dan kecil yang turut menyumbangkan kepada masalah paip bocor dan paip pecah hingga menyebabkan gangguan kepada pengguna.

    Selain dari masalah usia paip, kadar permintaan yang telah meningkat akibat dari pembangunan kawasan baru dan pertambahan populasi penduduk di sesetengah kawasan.  Disebabkan permintaan air yang berbeza mengikut kawasan terutamanya di kawasan yang padat penduduknya, yang mana ada kalanya kadar permintaan itu melebihi tahap pembekalan sedia ada dan secara tidak langsung telah mengakibatkan kekurangan bekalan air berlaku di kawasan tersebut.

    Gangguan bekalan air yang disebabkan oleh penutupan loji atau disebabkan oleh paip pecah adalah merupakan sebahagian dari masalah operasi yang dihadapi oleh operator rawatan air dan operator pengagihan air.  Di Negeri Selangor ini, terdapat empat operator rawatan air iaitu SPLASH, ABASS, Puncak Niaga dan KASB manakala operator agihan air adalah diletakkan di bawah kendalian SYABAS.

    Keadaan industri yang dikendalikan oleh operator swasta tanpa penglibatan Kerajaan Negeri menyulitkan Kerajaan Negeri untuk membuat kawalan dari segi operasi.  Oleh yang demikian, salah satu tujuan Kerajaan Negeri memuktamadkan penstrukturan semula industri perkhidmatan air negeri Selangor adalah untuk memastikan operasi loji rawatan air dan pengagihan air kepada pengguna dapat dikawal secara langsung oleh Kerajaan Negeri.

    Dengan mempunyai kawalan secara langsung ke atas operasi tersebut, Kerajaan Negeri boleh mempunyai kawalan secara langsung di dalam operasi dan seterusnya mengurangkan lagi keadaan gangguan bekalan air kepada pengguna. Model Holistik yang dicadangkan oleh Kerajaan Negeri dalam usaha memuktamadkan penstrukturan semula industri perkhidmatan air Negeri Selangor ini  sememangnya telah terbukti sebagai penyelesaian ke atas semua masalah pengurusan bekalan air secara komprehensif dan dapat menjamin pengurusan air yang mengutamakan tahap kecekapan dan keberkesanan perkhidmatan sebagaimana yang telah dicapai di di Pulau Pinang, Melaka, Negeri Sembilan dan Johor.

    Melalui perancangan pembangunan yang telah dibuat, Kerajaan Negeri Selangor yakin bekalan air kepada pengguna domestik dan pengguna industri adalah mencukupi dan gangguan bekalan ar di masa akan datang dapat diminimakan.

Lampiran

Tiada Lampiran.