Mesyuarat Ketiga (Bajet) Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022
23 - 25 November, 29 - 30 November, 1 - 2 Disember & 5 - 6 Disember 2022
118) ILTIZAM SIHAT SELANGOR (ISS)
Tahun: 2022
Sesi: 3
Isu: Kesihatan
Adun: Y.B. Tuan Hasnul Bin Baharuddin
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Berhubung pekara kuota DUN Morib adalah sebanyak 997 selepas pemutihan penerima. Manakala yang telah diaktifkan sehingga sekarang sebanyak 450 . Pada 30 Ogos pendaftaran untuk ISS DUN Morib diberhentikan. Bagaimana dengan kuota yang masih ada untuk DUN Morib?
Kerajaan Negeri sentiasa cakna akan keperluan rakyat Selangor dalam mendapatkan perkhidmatan kesihatan yang terbaik, terutama bagi golongan yang kurang berkemampuan. Dalam hal ini, Kerajaan Negeri telah menambahbaik Skim Insurans Peduli Sihat (SIPS) kepada Iltizam Selangor Sihat (ISS) termasuk penambahan kuota penerima daripada 85,000 orang kepada 100,000 penerima. Pengagihan kuota kepada DUN adalah berdasarkan jumlah pengundi berdaftar negeri Selangor di DUN tersebut.
Untuk makluman Yang Berhormat Morib, jumlah kuota terkini bagi DUN Morib adalah sebanyak 1,230. Sehingga 31 Oktober 2022, seramai 452 penerima telah diaktifkan dan baki kuota adalah sebanyak 778 kuota. Bagi mencapai sasaran jumlah penerima seramai 100,000 orang, Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam bersetuju agar DUN yang masih mempunyai baki kuota selepas daripada 31 Ogos 2022 akan diberikan kepada DUN yang layak tetapi tiada kekosongan kuota, tertakluk kepada persetujuan YB Exco Kesihatan Awam. Walau bagaimanapun, ini tidak bermakna Yang Berhormat tidak boleh lagi mendaftar individu yang layak selepas tarikh tersebut. Jika masih terdapat individu yang layak di bawah DUN Morib ingin mendaftar ISS selepas tarikh tersebut, pihak Yang Berhormat boleh mengumpulkan senarai nama tersebut dan mengemukakannya kepada pihak Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dan Selcare Management bagi tindakan selanjutnya.