Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
15 November 2024, 18-22 November 2024, 25-28 November 2024
278) ILTIZAM SELANGOR SIHAT DI KAWASAN BANDAR DAN SUB BANDAR
Tahun: 2024
Sesi: 3
Isu: n/a
Adun: Y.B. Tuan Mohd Shafie Bin Ngah
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah perbezaan sambutan Iltizam Selangor Sihat di antara kawasan bandar dengan sub bandar?
Berdasarkan laporan Program Iltizam Selangor Sihat (ISS) sehingga 31 Oktober 2024, jumlah pendaftaran bagi Program ISS adalah seramai 52,824 orang. Laporan tersebut juga menunjukkan terdapat perbezaan agak ketara daripada aspek bilangan pendaftaran bagi Program ISS di antara bandar dan sub bandar.
Sebagai contoh, jumlah pendaftaran bagi tiga DUN yang mencatatkan jumlah pendaftaran tertinggi adalah daripada kawasan bandar iaitu Subang Jaya, Kinrara dan Teratai yang mana jumlah pendaftaran bagi DUN-DUN tersebut adalah berjumlah 6,161 orang. Sebaliknya, bagi DUN yang berada di kawasan sub bandar mencatatkan jumlah pendaftaran yang rendah seperti Sungai Panjang (68 orang), Jeram (124 orang), Sekincahan (362 orang) dan Hulu Bernam (364 orang).
-
Bagaimanakah strategi pemasarannya bagi kawasan-kawasan tersebut?
Bagi meningkatkan jumlah pendaftaran Program ISS terutamanya di kawasan sub bandar dan seterusnya mencapai sasaran 100,000 orang penerima, beberapa langkah promosi telah dilaksanakan seperti berikut:
- Pembukaan kaunter pendaftaran di setiap Pejabat DUN dan Penyelaras untuk memudahkan akses dan memberikan maklumat secara langsung kepada orang awam;
- Mengintegrasikan program pendaftaran ISS dengan program kerajaan negeri lain seperti Selangor Saring, Jelajah Ehsan Rakyat dan Program Jom Shopping;
- Melibatkan Sukarelawan Kesihatan Komuniti Selangor (SUKA) dan pemimpin komuniti dalam aktiviti turun padang untuk memberi maklumat dan mendaftarkan individu yang layak; dan
- Melancarkan kempen promosi yang meluas di media sosial seperti di Instagram, Facebook dan TikTok di samping hebahan promosi di papan iklan awam.
-
Bagaimanakah bentuk audit terhadap produk ini?
Bagi memastikan Program ISS dilaksanakan dengan berkesan dan mematuhi tatacara yang telah ditetapkan, Selcare Management Sdn. Bhd. akan mengemukakan laporan prestasi bulanan, termasuk prestasi penggunaan peruntukan kepada Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) bagi tujuan pemantauan dan penilaian keberkesanan program. Selain daripada itu, mesyuarat berkala juga akan diadakan di antara Kerajaan Negeri bersama dengan Selcare Management Sdn. Bhd., wakil DUN dan pihak berkaitan untuk membincangkan isu-isu semasa yang timbul semasa pelaksanaan Program ISS.