Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025
18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025
7) ILTIZAM SELANGOR SIHAT
Tahun: 2025
Sesi: 1
Isu: n/a
Adun: Y.B. Datuk Abdul Rashid Bin Asari
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah langkah penambahbaikan yang telah dan akan diambil bagi Skim Peduli Sihat?
Antara penambahbaikan yang telah dan akan dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Selangor untuk program Iltizam Selangor Sihat (ISS) adalah seperti berikut:
- Penambahan Manfaat Hospitalisasi dan Rawatan Dialisis
Pengenalan manfaat hospitalisasi (in-patient) berjumlah sehingga RM10,000 setahun di hospital panel swasta dan kerajaan terpilih bermula pada tahun 2024. Manfaat hospitalisasi ini akan diberikan kepada penerima utama (principal holder) sahaja dan pemohon perlu mendapatkan dokumen pra-rawatan dan surat rujukan terlebih dahulu melalui kaedah seperti berikut:
- Klinik Panel Selcare atau The KL Clinic;
- Telemedicine Selcare menerusi aplikasi Selangkah; atau
- Klinik Kesihatan / Hospital Kerajaan
Bagi tahun 2025, Kerajaan Negeri Selangor sedang memuktamadkan penyelarasan manfaat rawatan dialisis yang sebelum ini di bawah Program Bantuan Sihat Selangor (BSS) untuk diletakkan di bawah Program ISS. Penyelarasan manfaat rawatan dialisis ini akan membantu penerima manfaat rawatan dialisis yang layak menerima bantuan rawatan berjumlah sehingga RM10,000 berbanding RM5,000 yang diterima di bawah Program BSS.
- Program Jelajah Daerah dan DUN
Untuk makluman Yang Berhormat, setakat 10 Februari 2025, jumlah pendaftaran penerima Program ISS adalah berjumlah 67,276 individu, iaitu 67% berbanding kuota keseluruhan penerima program berjumlah 100,000 orang penerima. Justeru itu, bagi meningkatkan jumlah tersebut, Kerajaan Negeri Selangor melalui Selcare Management Sdn. Bhd. selaku Agensi Pelaksana Program ISS akan mengadakan sesi taklimat penerangan berkaitan Program ISS bersama Sukarelawan Kesihatan Komuniti Selangor (SUKA) dan ketua komuniti seperti ketua kampung di seluruh Negeri Selangor.
Tujuan utama program jelajah ini dilaksanakan adalah untuk menyampaikan maklumat berkenaan dengan Program ISS dan pemberian akses bagi pendaftaran dan pengesahan untuk permohonan Program ISS bagi yang layak.
- Pemberian Risalah dan Banting ISS
Kerajaan Negeri juga akan meningkatkan aspek promosi berkaitan manfaat yang terdapat di bawah Program ISS melalui edaran risalah dan bunting di setiap Pusat Khidmat Masyarakat (PKM), klinik dan hospital panel yang berkaitan.
- Pembukaan Kaunter Program ISS
Pihak Selcare Management Sdn. Bhd. juga melaksanakan inisiatif pembukaan kaunter khas bagi sesi penerangan di program-program kesihatan Kerajaan Negeri seperti Program Saring Selangor.
-
Adakah Kerajaan Negeri bercadang untuk menambah nilai yang diberi untuk had kegunaan sekali rawatan (RM70) bagi membantu rakyat yang semakin terkesan dengan kos perubatan yang meningkat?
Buat masa ini, Kerajaan Negeri Selangor tidak merancang untuk menaikkan jumlah had bantuan rawatan asas berjumlah RM70 bagi setiap sesi rawatan. Bagi tujuan pengawalan harga rawatan asas oleh klinik panel, pihak Selcare Management Sdn. Bhd. telah menyelaras perkara tersebut dengan klinik panel melalui perjanjian yang dimeterai untuk memastikan caj rawatan yang dikenakan tidak membebankan kewangan penerima manfaat.