Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023
10 November 2023, 14 November - 17 November 2023 & 20 November – 24 November 2023 (Jumaat, Selasa – Jumaat & Isnin - Jumaat)
278) IKATAN AMANAH/ LOT LIDI
Tahun: 2023
Sesi: 2
Isu: Tanah & Sumber Alam
Adun: Y.B. Tuan Rosnizan Bin Ahmad
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah tindakan jalan penyelesaian bagi isu ikatan amanah ataupun 'lot lidi' di Selangor?
Mesyuarat Penyelarasan Pentadbiran Tanah/Daerah dan Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Selangor (MPPTDPBTNS) Bil. 1/2018 yang dipengerusikan oleh YB Dato’ Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor pada 16 Julai 2018 telah bersetuju untuk menolak semua permohonan Pendaftaran Surat Ikatan Amanah atas semua sebab bagi kesemua lot-lot kecil tanah pertanian di negeri Selangor. Sehubungan itu, langkah penyelesaian yang dicadangkan bagi mengatasi isu lot lidi adalah pemohon dicadangkan membuat permohonan tukar syarat dari ‘pertanian’ kepada ‘bangunan’ dan permohonan pecah sempadan di Pejabat Daerah dan Tanah (PDT).
-
Apakah tindakan yang dikenakan kepada pemaju dan pembeli 'lot lidi' yang melanggar syarat pembinaan dan pembangunan?
Untuk makluman Yang Berhormat, pembangunan lot lidi untuk tujuan kediaman dibuat di atas tanah kategori pertanian tanpa kelulusan Pihak Berkuasa Negeri. Selaras dengan Seksyen 127 Kanun Tanah Negara Pihak Berkuasa Negeri boleh melaksanakan tindakan penguatkuasaan kepada pemilik tanah kerana berlakunya pelanggaran syarat sehingga tanah miliknya boleh di lucut hak.
-
Adakah Kerajaan Negeri merancang untuk menjalankan pemutihan bagi 'lot lidi' ini?
Kerajaan Negeri mengambil maklum pembangunan lot lidi terutamanya di kawasan pinggir bandar yang mendapat permintaan tinggi dari pembeli. Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor sedang melaksanakan kajian untuk program pemutihan ke atas pembangunan lot lidi untuk pertimbangan Kerajaan Negeri selanjutnya.