Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
04 Julai - 05 Julai 2024, 09 Julai - 12 Julai 2024 & 15 Julai - 18 Julai 2024 (Khamis - Jumaat, Selasa - Jumaat & Isnin - Khamis)
243) IKAN SPESIES ASING
Tahun: 2024
Sesi: 2
Isu: Industri Asas Tani
Adun: Y.B. Tuan Dr. Afif Bin Bahardin
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Tular di media tentang pencerobohan spesies asing iaitu Hypostomus Plecostomus atau ikan bandaraya di sungai sekitar negeri ini. Apakah usaha Kerajaan Negeri mengatasi masalah ini?
Ikan bandaraya merupakan spesies ikan asing yang berasal dari kawasan Amerika Tengah dan Amerika Selatan. lanya dibawa masuk ke Malaysia untuk tujuan dipelihara sebagai ikan hiasan. Namun terdapat segelintir individu yang melepaskan ikan ini ke perairan umum apabila ia mencapai saiz yang besar dan tidak sesuai dipelihara di dalam akuarium. Ikan ini merupakan ikan invasif yang mampu merosakkan ekosistem sumber perikanan darat di Negeri Selangor.
Ikan ini mempunyai tabiat mendapatkan makanan secara menyedut pada permukaan yang menyebabkan telur ikan lain khususnya telur ikan dari spesies asli dimakan bersama. Keadaan ini akan menyebabkan spesies ikan tempatan tidak dapat membiak dengan baik. Selain itu juga ikan ini mempunyai ketahanan yang tinggi terhadap keadaan alam sekitar di mana anya boleh hidup di dalam air yang tercemar.
Jabatan Perikanan Negeri Selangor dengan kerjasama Komuniti Pemburu Ikan Bandaraya telah menjalankan Program Pemuliharaan Sumber Perikanan Darat – Memburu Ikan Asing di Denai Sungai Kebangsaan, Sungai Langat bertarikh 9 Jun 2024. Program ini telah berjaya mendaratkan sebanyak 737.3 Kilogram Ikan Bandaraya dalam tempoh masa setengah hari. Jumlah ini menunjukan populasi ikan ini besar dan perlu dikeluarkan secara berkala.
Bagi mengatasi isu ini dengan lebih berkesan, Kerajaan Negeri Selangor akan menyalurkan peruntukan awal berjumlah RM50,000.00 sebagai usaha menangani masalah ikan bandaraya di negeri ini. Peruntukan tersebut akan digunakan untuk perolehan peralatan menangkap ikan seperti jala dan lain-lain peralatan yg dirasakan menjadi keperluan bagi mencapai objektif menghapuskan ikan bandaraya di perairan umum. Program ini akan turut dilaksanakan dengan melibatkan pelbagai jabatan dan agensi kerajaan yang berkaitan serta institusi pendidikan seperti Universiti Selangor (UNISEL) dan lain-lain pertubuhan bukan kerajaan yang telah menjalankan pelbagai usaha untuk menangkap ikan bandaraya tersebut.
Kerajaan Negeri juga turut mempertimbangkan untuk menyediakan ganjaran bagi setiap ikan bandaraya yang ditangkap, walau bagaimanapun, peruntukan akan dimaklumkan semula dalam masa terdekat.
Kerajaan Negeri Selangor juga bersama-sama Jabatan Perikanan Negeri Selangor sedang dalam usaha untuk mengawal kemasukan ikan asing ke negeri ini dengan menyemak semula dan menambahbaik semula peraturan sedia ada. Pada masa kini, Kerajaan negeri bersama-sama Jabatan Perikanan Negeri Selangor dan Kamar Undang-undang Negeri sedang mengemaskini deraf Kaedah-kaedah Perikanan (Perairan Sungai) yang telah diluluskan secara dasar di Mesyuarat Majlis Kerajaan melalui kertas MMK. No.48/25/2022 yang bertarikh 12 Oktober 2022. Melalui penguatkuasaan Kaedah ini, kerajaan negeri akan dapat mengawal pelepasan ikan asing ke perairan sungai dan seterusya dapat menjaga ekosistem sungai di negeri ini.
Selain itu, Jabatan Perikanan Negeri Selangor sentiasa menjalankan program hebahan dan kempen kesedaran berhubung impak negatif spesies-spesies asing ini dari masa ke semasa kepada semua pihak termasuk nelayan, para pelajar serta masyarakat umum. Jabatan juga mengambil inisiatif untuk melepaskan ikan-ikan asli ke perairan umum untuk memastikan sungai-sungai di Selangor dapat dipulihkan kepada ekosistem asal.