Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2017

3 November 2017, 06 November hingga 10 November 2017 dan 13 November hingga 16 November 2017

178) IBU TUNGGAL

Tahun: 2017

Sesi: 3

Isu: Wanita & Keluarga

Adun: Y.B. Datuk Rosni Binti Sohar

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Berapa jumlah ibu tunggal yang berjaya dibantu dengan pendekatan memberi peluang pekerjaan atau perniagaan untuk menyara kehidupan mereka?

    Kerajaan Negeri sentiasa prihatin akan kebajikan dan keperluan wanita keseluruhannya termasuk golongan ibu tunggal. Pelbagai program telah disediakan oleh Kerajaan Negeri untuk dilaksanakan bagi tujuan menggalakkan aktiviti keusahawanan dan perniagaan sekaligus memberi ruang dan peluang pekerjaan kepada golongan wanita.

    Antaranya program pendekatan yang memberi peluang pekerjaan atau perniagaan untuk menyara kehidupan golongan wanita ini adalah Program Skim Mikro Kredit Hijrah dengan penyertaan seramai 2,864 orang ibu tunggal telah dibantu dan menerima manfaat sehingga kini dengan jumlah nilai pinjaman perniagaan sebanyak RM19,066,500.00. Bidang perniagaan makanan, pembekalan, pemprosesan, penternakan, perkhidmatan dan pertanian adalah antara bidang perniagaan yang diceburi.

     

    Selain daripada itu, melalui aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh Kerajaan Negeri melalui Pusat Wanita Berdaya (PWB), seramai 12 orang ibu tunggal telah berjaya dilahirkan menjadi usahawan kecil yang memperoleh pendapatan daripada aktiviti keusahawanan yang dipelajari. Bidang pembuatan makanan, jahitan dan seni kraftangan adalah antara bidang perniagaan yang dilaksanakan. Berdasarkan rekod, terdapat usahawan kecil PWB ini berjaya menjana pendapatan sehingga RM6,000.00 sebulan.

  2. Apakah mekanisme yang digunakan oleh Kerajaan Negeri untuk memastikan setiap bantuan yang disalurkan sampai kepada ibu tunggal?

    Kerajaan Negeri Selangor telah menyediakan pelbagai ruang dan peluang dengan menyediakan pelbagai inisiatif peduli rakyat untuk dimanfaatkan sepenuhnya oleh rakyat di Selangor. Inisiatif-inisiatif yang disediakan ini layak untuk dipohon oleh individu secara terus dengan syarat mematuhi kriteria-kriteria yang digariskan. Sehubungan itu, setiap permohonan bantuan tersebut akan disalur dan diterima secara langsung kepada pemohon yang berkaitan.

    Manakala program-program pemberdayaan wanita melalui PWB turut dijalankan secara percuma dan secara terus agar ianya dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh komuniti di setiap kawasan DUN seluruh Selangor.

  3. Bagaimana cara Kerajaan Negeri mengenal pasti status ibu tunggal jika ada yang tidak mendaftar atau melaporkan status semasa mereka?

    Status seseorang ibu tunggal dapat dikenalpasti melalui borang penilaian keberkesanan program dalam program-program di bawah anjuran Pusat Wanita Berdaya (PWB). Namun begitu, status tersebut bukan menjadi syarat untuk membolehkan penyertaan mereka dalam program-program yang disediakan oleh Kerajaan Negeri. Kerajaan Negeri berharap agar program-program pemberdayaan wanita dan inisiatif-inisiatif bantuan yang disediakan ini akan dapat dimanfaatkan dan sampai secara terus kepada seluruh golongan wanita di Selangor tanpa mengira latar belakang dan status mereka.

     

     

     

Lampiran

Tiada Lampiran.