Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2013

28 Jun 2013, 01 Julai - 05 Julai 2013 dan 08 Julai 2013

30) IBU TUNGGAL

Tahun: 2013

Sesi: 2

Isu: Wanita & Keluarga

Adun: Y.B. Puan Haniza Binti Mohamed Talha

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah status perlaksanaan Bantuan Sokongan Keluarga untuk biaya nafkah anak bagi pasangan Islam yang bercerai?

    Pembiayaan nafkah anak bagi pasangan Islam yang bercerai oleh Bahagian Sokongan Keluarga adalah merupakan suatu pendahuluan nafkah yang diberikan bagi meringankan bebanan yang ditanggung oleh ibu-ibu tunggal ketika proses penguatkuasaan dan pelaksanaan perintah nafkah dilakukan di Mahkamah Syariah. Penerima-penerima yang telah dikenal pasti sebagai layak akan menerima bantuan pendahuluan nafkah mengikut jumlah nafkah yang diperintahkan oleh Mahkamah selama tempoh 6 bulan atau sehingga suatu tempoh lanjutan yang diluluskan oleh jawatankuasa yang dilantik khas.

    Pembayaran pendahuluan nafkah yang dibayar oleh Bahagian Sokongan Keluarga ini bukanlah suatu bantuan mutlak, tetapi ia merupakan suatu pendahuluan nafkah yang akan dikutip semula oleh Bahagian Sokongan Keluarga daripada pihak bekas suami atau bapa yang telah ingkar melaksanakan perintah nafkah selepas kes penguatkuasaan dan pelaksanaan perintah yang dilakukan di Mahkamah Syariah selesai. Dengan kata lain, pembayaran nafkah oleh Bahagian Sokongan Keluarga ini bukanlah dengan matlamat untuk mengambil alih tanggungjawab bekas suami atau bapa dalam melaksanakan tanggungjawab agama dan undang-undang.  Sebaliknya ia bertujuan untuk membantu meringankan bebanan ibu dan anak-anak serta membantu memastikan perintah Mahkamah Syariah dikuatkuasakan terhadap mereka yang bertanggungjawab.

    Sehingga kini, Bahagian Sokongan Keluarga Jabatan Kehakiman Syariah Selangor telah meluluskan seramai 56 orang penerima pendahuluan nafkah yang melibatkan perbelanjaan sebanyak RM186,650.00. Sumber kewangan pembayaran pendahuluan nafkah tersebut adalah daripada dana Akaun Amanah Seksyen Bahagian Sokongan Keluarga Jabatan Kehakiman Syariah Selangor yang disumbangkan oleh Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia dan Lembaga Zakat Selangor. Pada masa ini, Bahagian Sokongan Keluarga masih membuat bayaran pendahuluan nafkah bulanan mengikut perintah Mahkamah kepada 32 orang ibu tunggal yang sedang dalam proses untuk menguatkuasakan perintah nafkah yang telah dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah.

  2. Apakah status 2019 orang ibu tunggal yang menyaman kerajaan negeri tetapi ditolak oleh mahkamah?

    Pada 13 mei 2013 lalu, Mahkamah Rayuan telah membatalkan kes saman Murtini binti Kasman dan 2019 ibu tunggal yang lain terhadap Kerajaan Negeri Selangor. Murtini dan 2019 ibu tunggal tersebut telah diberi oleh mahkamah jangka masa sehingga 12 jun 2013 untuk memfail rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan tersebut.   Sehingga kini tiada notis rayuan difailkan, dengan itu kes ini telah selesai.

    Dalam kenyataan-kenyataan semasa menerima memorandum dari mereka yang berdemonstrasi berhampiran perkarangan Dewan negeri ini, ketika selepas saman dibuat, ketika kes didengar dan keputusan ditetapkan serta akhir sekali apabila Mahkamah Rayuan menolak kes saman tersebut, Kerajaan Selangor sentiasa berhasrat untuk memelihara kepentingan golongan ibu tunggal sebaik mungkin dan menyeru kesemua 2020 ibu tunggal terbabit untuk segera mendaftar jika belum dan akan diproses pendaftaran mereka sewajarnya. Mereka yang telah mendaftar dan layak akan diberi skim-skim dan perkhidmatan yang boleh dimanfaatkan.

Lampiran

Tiada Lampiran.