Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
15 November 2024, 18-22 November 2024, 25-28 November 2024
118) HUTANG PINJAMAN HIJRAH
Tahun: 2024
Sesi: 3
Isu: n/a
Adun: Y.B. Tuan Muhammad Izuan Bin Ahmad Kasim
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Berapakah jumlah tunggakan peserta Pinjaman Hijrah?
Yayasan Hijrah Selangor (YHS) telah merekodkan Non Performing Loan (NPL) sebanyak RM206 juta atau 84% dari jumlah baki kini pembiayaan sebanyak RM246 juta pada 31 Disember 2023 (NPL ini adalah kegagalan membuat pembayaran balik pinjaman mengikut jadual selepas 90 hari keatas). Pelbagai inisiatif pengurusan hutang telah dilaksanakan pada tahun 2024 dan jumlah NPL kini menurun kepada RM177.2 juta atau 70% daripada baki kini pembiayaan sebanyak RM256.2 juta pada 30 September 2024. Ini menunjukkan kesemua usaha yang dijalankan pada tahun 2024 telah berjaya mengurangkan jumlah NPL sebanyak RM29.6 juta.
Pecahan jumlah NPL yang berjumlah RM 177.2 juta mengikut tempoh tunggakan adalah seperti berikut:
Daripada jumlah keseluruhan baki NPL sehingga September 2024, RM135.1 juta atau 76% adalah hutang lama yang tertunggak dengan tempoh melebihi 1 tahun.
-
Apakah tindakan yang telah diambil oleh kerajaan untuk memulihkan tunggakan tersebut?
YHS melalui Program Pengurusan Hutang (Debt Management Program) telah melaksanakan beberapa tindakan untuk menangani isu tunggakan pembiayaan dengan membahagikannya kepada dua strategi utama iaitu Program Pemulihan Hutang dan Mitigasi Risiko Pinjaman Tidak Berbayar.
Program Pemulihan Hutang
- Penubuhan Pasukan Telecollector: YHS telah menubuhkan pasukan khusus dalaman YHS yang bertanggungjawab untuk menghubungi peminjam yang bertunggak selama 1-2 tahun secara langsung. Tindakan ini bertujuan untuk mengingatkan peminjam mengenai tunggakan dan merundingkan pembayaran terus atau penjadualan semula hutang. Atas usaha ini, dari Januari sehingga September 2024, pasukan telecollector YHS telah berjaya mengutip sebanyak RM7.5 juta atau bersamaan dengan 4% dari jumlah tunggakan NPL pada 31 Disember 2023.
- Pelantikan Agensi Kutipan Hutang: Dengan melantik agensi luar yang berpengalaman dalam kutipan hutang, YHS dapat meningkatkan keberkesanan proses kutipan dan menjangkau peminjam yang bertunggak lebih daripada 3 tahun yang mungkin sukar dihubungi secara langsung. Atas usaha ini, dari Januari sehingga September 2024, pasukan debt collector yang dilantik oleh YHS telah berjaya mengutip sebanyak RM4.9 juta atau bersamaan dengan 2% dari jumlah tunggakan NPL pada 31 Disember 2023.
- Kerjasama dengan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK): YHS juga telah menjalinkan kerjasama dengan AKPK untuk memberikan sokongan kaunseling kepada peminjam dan merundingkan pelan pembayaran balik hutang kepada YHS.
- Pendaftaran dalam Senarai Hitam: Menyenaraikan peminjam yang gagal melunaskan bayaran dalam senarai hitam bertujuan untuk menggalakkan mereka tampil menyelesaikan hutang. Inisiatif ini telah berjaya mendorong lebih ramai peminjam tegar untuk mengambil langkah proaktif dalam menyelesaikan bayaran mereka.
- Pengeluaran Notis Tuntutan (Letter of Demand): YHS dan/atau melalui panel firma guamannya akan mengeluarkan notis tuntutan kepada peminjam-peminjam YHS untuk menuntut pembayaran balik pinjaman yang telah diberikan.
- Tindakan Undang-Undang: Bagi peminjam yang masih enggan dan/atau gagal dan/atau ingkar walaupun notis tuntutan telah dikeluarkan, YHS akan mengambil tindakan lanjut dengan membawa perkara tersebut ke peringkat seterusnya.
Mitigasi Risiko Pinjaman Tidak Berbayar
- Dalam melaksanakan program mitigasi risiko bagi pinjaman yang tidak berbayar ini, YHS dalam masa yang sama masih berpegang kepada komitmen untuk memenuhi aspirasi Kerajaan Negeri Selangor dalam menyediakan pembiayaan mikro kredit bagi memperkasakan golongan yang terpinggir (underserved & unserved communities), serta mempertingkatkan usahawan kelas menengah di negeri Selangor.
- Antara inisiatif YHS dalam proses mitigasi risiko pinjaman tidak berbayar, YHS menjalankan pemantauan yang teliti terhadap Pengurusan Kualiti Aset (Asset Quality Management), termasuk analisis terperinci terhadap prestasi pembiayaan. Dengan cara ini, YHS dapat mengenal pasti peminjam yang berisiko awal dan mengambil langkah-langkah proaktif untuk mencegah kemungkinan pembiayaan tersebut menjadi NPL.
- YHS telah mengenakan syarat tambahan sejak bulan Mac 2024 dan tujuan ini adalah untuk menilai kelulusan permohonan pembiayaan yang lebih berkualiti. Perbandingan syarat pembiayaan dan dokumen yang dikenakan YHS dahulu dengan sekarang adalah seperti berikut:
- Semakan penilaian CTOS bertujuan untuk memastikan peminjam mempunyai rekod kredit yang baik dan berupaya untuk membayar balik pembiayaan yang diberikan oleh YHS.
- Syarat tambahan yang dikenakan oleh YHS ini adalah selari dengan syarat-syarat yang di guna pakai oleh institusi bukan perbankan lain yang memberi pembiayaan mikro kredit kepada usahawan.
- Sejak bulan Mac 2024, YHS juga telah memanjangkan tempoh pembayaran balik pinjaman dari 3 tahun kepada 5 tahun. Ini untuk tidak membebankan usahawan supaya mereka mempunyai kemampuan untuk membuat pembayaran balik pembiayaan bulanan yang lebih rendah dan munasabah.
- YHS juga sentiasa mengambil inisiatif untuk menjalin kolaborasi strategik dengan agensi kerajaan lain, seperti Platform Selangor (PLATS), demi memperluaskan capaian pembiayaan kepada golongan yang memerlukan. Pendekatan proaktif ini mencerminkan usaha holistik YHS untuk membantu golongan kelas menengah dan yang terpinggir (underserved & unserved communities) di Selangor dengan memberikan mereka peluang yang sewajarnya untuk membangun dan memperbaiki kehidupan mereka, serta memastikan tiada siapa yang tercicir dalam arus pembangunan negeri.