Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2022
25 Julai - 29 Julai 2022 dan 01 Ogos - 05 Ogos 2022 (Isnin - Jumaat dan Isnin - Jumaat)
170) HUTANG KERAJAAN NEGERI SELANGOR
Tahun: 2022
Sesi: 2
Isu: Kewangan & Ekonomi
Adun: Y.B. Datuk Rosni Binti Sohar
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Sila nyatakan jumlah keseluruhan hutang terkumpul Kerajaan Negeri Selangor kepada Kerajaan Pusat bagi tempoh 5 tahun yang lalu dan perincikan perbandingan di antara negeri-negeri lain dalam tempoh yang sama?
Jumlah keseluruhan hutang terkumpul Kerajaan Negeri Selangor dengan Kerajaan Pusat bagi tempoh lima (5) tahun yang lalu adalah berdasarkan baki pada tarikh-tarikh penutupan tahun/tempoh kewangan berikut:
Butiran Pinjaman 31/12/2018 (RM)
31/12/2019 (RM)
31/12/2020 (RM)
31/12/2021 (RM)
30/06/2022 (RM)
Bekalan Air 1,072,320,299.45 1,084,756,152.45 1,084,756,152.45 17,314,096.31 17,314,096.31 Amanah Saham Selangor (ASAS) 11,360,276.80 9,466,897.34 7,573,517.88 5,680,138.42 3,786,758.96 Projek Zon Perindustrian Bebas Sg Way PJ 23,718,513.62 18,974,810.89 14,231,108.16 9,487,405.43 4,743,702.70 JUMLAH 1,107,399,089.87 1,113,197,860.68 1,106,560,778.49 32,481,640.16 25,844,557.97 Pada masa ini, baki pinjaman terkini Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Persekutuan adalah diparas yang rendah yang terdiri daripada pinjaman Bekalan Air, ASAS dan Projek Zon Perindustrian Bebas Sg Way yang berjumlah keseluruhan sebanyak RM25,844,557.97.
Seperti mana jadual bayaran balik pinjaman yang berkuat kuasa, pinjaman bagi ASAS dan Projek Perindustrian Bebas Sg Way PJ yang masih berbaki masing-masing sebanyak RM3,786,758.96 dan RM4,743,702.70 akan diselesaikan dalam masa terdekat dan tidak melebihi tempoh tiga (3) tahun. Manakala bagi pinjaman Bekalan Air, masih terdapat baki pinjaman sebanyak RM17,314,096.31 yang direkodkan dan akan dipindahkan kepada Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB). Hal ini adalah selaras dengan ketetapan klausa 7.4 Perjanjian Induk Penstrukturan Industri Air Selangor yang menyatakan bahawa keseluruhan jumlah pinjaman bagi Projek Bekalan Air di bawah Projek Mitigasi I, II (Termasuk Fasa Tambahan) dan Mitigasi III akan dinovasikan daripada Kerajaan Negeri kepada PAAB setelah proses penstrukturan industri air selesai sepenuhnya. Untuk makluman, terdahulu sejumlah RM1,072,320,299.45 hutang pinjaman Bekalan Air Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Pusat telah dipindahkan/dinovasikan kepada PAAB pada tahun 2021. Manakala baki pinjaman sebanyak RM17,314,096.31 kini dalam proses pengambil alihan kali kedua oleh PAAB. Manakala berkenaan dengan maklumat berkaitan rekod pinjaman negeri-negeri lain dengan Kerajaan Pusat, Perbendaharaan Negeri Selangor tidak mempunyai data berkenaan di mana rekod dikawal selia di peringkat Kementerian Kewangan Malaysia.
-
Sila perincikan jadual pembayaran balik hutang Kerajaan Negeri kepada Kerajaan Pusat sejak 5 tahun lalu.
Perincian jadual pembayaran balik hutang Kerajaan Negeri kepada Kerajaan Pusat sejak lima (5) tahun lalu adalah seperti berikut:-
Butiran Pinjaman 2018 (RM)
2019 (RM)
2020 (RM)
2021 (RM)
2022 (RM)
Bekalan Air 16,174,099.65 – – – – Amanah Saham Selangor (ASAS) 1,893,379.46 1,893,379.46 1,893,379.46 1,893,379.46 1,893,379.46 Projek Zon Perindustrian Bebas Sg Way PJ 4,743,702.73 4,743,702.73 4,743,702.73 4,743,702.73 4,743,702.73 JUMLAH 22,811,181.84 6,637,082.19 6,637,082.19 6,637,082.19 6,637,082.19 Rentetan daripada penstrukturan semula air di Negeri Selangor, tiada lagi bayaran yang dibuat oleh Kerajaan Negeri kepada Kerajaan Pusat bermula tahun 2019 ke atas pinjaman Bekalan Air memandangkan kesemua hutang pinjaman ini akan dipindahkan dan dinovasikan kepada PAAB. Manakala, bayaran ke atas pinjaman ASAS dan Projek Zon Perindustrian Bebas Sg Way PJ adalah kekal konsisten mengikut jadual bayaran balik yang ditetapkan.
-
Sila nyatakan sama ada terdapat permohonan pinjaman yang baharu yang dibuat oleh Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Pusat dalam tempoh 5 tahun ini?
Berdasarkan rekod, tiada permohonan pinjaman yang baharu yang dibuat oleh Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Pusat dalam tempoh lima (5) tahun ini.