Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2010

12 Julai 2010 hingga 15 Julai 2010

234) HUTAN SIMPANAN KUALA LANGAT SELATAN

Tahun: 2010

Sesi: 2

Isu: Tanah & Sumber Alam

Adun: Y.B. Tuan Phillip Tan Choon Swee

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Hutan simpanan di Kuala Langat Simpanan telah diterokai secara berleluasa. Akan tetapi, pihak berkuasa gagal mengambil sebarang tindakan terhadap peneroka-peneroka haram ini. Apakah pandangan Kerajaan Negeri terhadap perkara ini?

    Hutan Simpan Kuala Langat Selatan adalah seluas 6907.84 hektar. Menurut rekod
    seluas + 1800 hektar hutan simpan ini telah diteroka secara haram dengan aktiviti
    pertanian. Seluas 1300 hektar kawasan hutan simpan ini pernah dikeluarkan permit
    penggunaan kepada 115 peneroka bagi tujuan pertanian bagi menangani masalah
    penerokaan haram dalam hutan simpan kekal. Akibat pembukaan hutan secara
    berleluasa dengan aktiviti pertanian menyebabkan keadaan gambut yang semakin
    mengering di Hutan Simpan Kuala Langat Selatan bukan sahaja telah merosakkan
    ekosistem paya gambut malah telah meningkatkan risiko kebakaran di Hutan Simpan
    Kuala Langat Selatan. Merurut rekod Jabatan, kawasan ini semakin kerap terbakar
    akibat cubaan kumpulan individu membakar hutan simpan ini untuk memulakan
    tanaman kontan di kawasan ini. Walaubagaimanapun pada tahun 2009 Kerajaan
    Negeri telah membuat keputusan untuk membatalkan permit penggunaan dalam
    hutan simpan kekal di Hutan Simpan Kuala Langat Selatan dan meminta Jabatan
    Perhutanan Negeri Selangor mengambil tindakan penguatkuasaan dan seterusnya
    memulihkan kembali kawasan ini dengan tanaman hutan. Kerajaan Negeri
    memandang serius pencerobohan hutan yang berlaku setelah Laporan Ketua Audit
    Negara 2008 telah turut melaporkan isu penerokaan haram dalam hutan simpan di
    Negeri Selangor.

  2. Apakah langkah-langkah yang akan diambil oleh Kerajaan Negeri untuk menghenti dan mengelak penerokaan hutan simpanan secara haram terus berlaku?

    Bagi kawasan penerokaan haram/ pendudukan tanpa kebenaran, Jabatan
    Perhutanan Negeri Selangor mengambil tindakan penguatkuasaan dengan
    melaksanakan Operasi Bersepadu Hutan Simpan Kuala Langat Selatan di antaranya
    dengan;
     Memusnahkan tanaman.
     Merobohkan binaan dan infrastruktur.
     Menahan jentera, kenderaan dan peralatan kerja.
     Merobohkan infrastruktur pertanian antaranya kolam, kandang/reban ternakan.
     Menangkap individu yang menduduki hutan simpan tanpa kebenaran, dan
     Mengkompaun atau mendakwa di mahkamah individu terbabit mengikut jenis
    kesalahan hutan yang dilakukan.
     Membuat kajian bagi mengembalikan kawasan terokaan kepada habitat asal
    dengan menggunakan modus operasi yang sama dalam Operasi Besepadu
    Membanteras Penerokaan Tanpa Kebenaran di Hutan Simpan Raja Musa.

Lampiran

Tiada Lampiran.