Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

220) HUTAN SIMPAN SUNGAI KARANG

Tahun: 2024

Sesi: 1

Isu: Tanah & Sumber Alam

Adun: Y.B. Tuan Mohd Razali Bin Saari

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Berapa jumlah hektar Pegangan Permit Penggunaan kepada KOPERASI USAHAWAN BERSATU SELANGOR BERHAD yang telah diserahkan dan akan diserahkan serta projek yang akan dilaksanakan?

    Secara khususnya, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Selangor Darul Ehsan ke-28/2019 yang bersidang pada 2 Oktober 2019 dan melalui Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) telah meluluskan Permit Penggunaan (Borang 4) kepada Koperasi Usahawan Bersatu Selangor Berhad (KUBSB) di Sebahagian Hutan Simpan Sungai Karang, Sabak Bernam, Selangor seluas lebih kurang 1,150 hektar. Keluasan tersebut merupakan keluasan yang telah dimuktamadkan oleh MMKN ke-28/2019 dan tiada lagi tambahan kawasan yang akan diluluskan/diserahkan kepada KUBSB selepas kelulusan pada tahun 2019 tersebut. Antara projek utama yang akan dibangunkan ialah Projek Ladang Perhutanan Tani iaitu yang merangkumi tanaman pokok kelapa, tanaman kontan seperti cili, nenas, pisang dan sayur-sayuran. Selain itu, KUBSB turut akan membangunkan tanaman pokok-pokok hutan untuk membantu menjamin kepelbagaian sumber hutan dan kestabilan alam sekitar.

  2. Bila perjanjian dimeterai dan berapa lama kontrak tersebut serta lampirkan kontraknya secara terperinci dengan Ahli Lembaga Koperasi Usahawan Bersatu Selangor Berhad tersebut?

    Lanjutan kelulusan daripada MMKN Selangor Ke-28/2019 yang diadakan pada 2 Oktober 2019, JPNS telah mengeluarkan surat kelulusan Permit Penggunaan (Borang 4) kepada KUBSB pada 14 November 2019 [PHN.SEL.05/17/3/217(1)]. Tempoh pajakan Permit Penggunaan tersebut adalah selama 15 tahun bermula pada 15 Mac 2020 dan akan tamat pada 14 Mac 2035.

  3. Berapa fasa projek yang akan dilaksanakan dan senaraikan kawasan-kawasan yang terbabit dengan projek tersebut serta sebut jenis-jenis projek yang dilaksanakan?

    Projek berkenaan akan dilaksanakan dalam tiga (3) fasa yang melibatkan projek-projek seperti yang dinyatakan dalam Jadual I di bawah. Kesemua kawasan projek adalah terletak dalam kawasan permit penggunaan yang telah diluluskan iaitu di Kompartmen 1,2,15,16,18,19,22 dan 23 Hutan Simpan Karang, Daerah Hutan Pantai Klang.

    Jadual I :

    Fasa Luas (ha) Jenis Projek
    Fasa 1 477.529 Tanaman tanaman pokok kelapa, tanaman kontan seperti cili, nenas, pisang dan sayur-sayuran
    Fasa 2 331.124 Tanaman pokok-pokok spesies hutan
    Fasa 3 337.654 Pembangunan Semula Kawasan Penerokaan Sedia Ada (Kelapa Sawit)

Lampiran

Tiada Lampiran.