Mesyuarat Ketiga Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2018

23 – 30 November 2018 dan 3 – 5 Disember 2018

1) HUTAN SIMPAN DI SELANGOR

Tahun: 2018

Sesi: 3

Isu: Tanah & Sumber Alam

Adun: Y.B. Puan Elizabeth Wong Keat Ping

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Berapa keluasan kawasan baru yang digazet sebagai hutan simpan kekal di Negeri Selangor pada tahun 2018?

    Jumlah keseluruhan keluasan Hutan Simpanan Kekal yang telah digazetkan telah meningkat daripada 250,129 ha kepada 250,209 ha iaitu pertambahan dua (2) kawasan tanah kerajaan yang telah dijadikan HSK iaitu di Hutan Simpan Bukit Lagong (40.0 ha) dan Hutan Simpan Ulu Gombak Tambahan III (60.0 ha). Pewartaan HS Ulu Gombak Tambahan III adalah bagi kawasan penggantian ke atas pemansuhan HSK di HS Gombak bagi kegunaan tanah perkuburan. Pada masa kini, pihak JPNS sedang giat dalam proses untuk mewartakan Tanah Kerajaan Taman Alam di Kuala Selangor seluas 292.18 ha untuk dijadikan HSK. Sebelum akhir tahun 2018, jumlah keluasan HSK di Negeri Selangor akan meningkat kepada 250,501.18 ha.

  2. Sila nyatakan jenis pokok hutan yang endemik di Negeri Selangor dan apa langkah-langkah yang dirancangkan untuk memeliharanya?

    Sejumlah hanya 19 spesies pokok (tree) sahaja yang endemik di Negeri Selangor. Selain itu, jenis pokok shrub ada 24 spesies, 29 spesies pokok herba, pepanjat (5) spesies, epipfit (4) spesies dan 1 spesies pakis (Turner, 1995). Manakala bagi berdasarkan kepada status Taksa Terancam bagi spesies pokok dipterokarp di negeri Selangor dikategori kepada tiga (3) sahaja iaitu Critically Endangered (CR), Endangered (EN) dan Vulnerable (VU). Critically Endangered adalah merujuk kepada status spesies yang Sangat Terancam, Endangered adalah pada tahap status Terancam dan Vulnerable (VU) adalah berstatus terdedah kepada ancaman.

    Bagi Negeri Selangor hanya terdapat tiga (3) spesies Dipterokarp berstatus Critically Endangered iaitu Hopea subalata (Merawan kanching), Shorea teysmanniana (Meranti bunga) dan Vatica yeechongii. Ada terdapat enam (6) spesies berstatus Endangered dan 25 spesies berstatus Vulnerable. Kesemua senarai spesies mengikut kategori taksa adalah seperti di Jadual I.

    Pihak JPNS dengan kerjasama pihak Ibupejabat Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) dan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) telah berjaya menyenaraikan kedudukan dirian atau kehadiran setiap individu pokok tersebut sebagaimana yang terkandung di dalam Buku Dipterokarpa Terancam di Semenanjung Malaysia. Dengan adanya data sebegini, akan dapat membantu pihak JPNS di dalam membuat tinjauan dan kerja-kerja dilapangan serta melaksanakan kerja-kerja aspek-aspek pemuliharaan dan pemeliharaan bagi setiap speseis pokok tersebut. Antara langkah-langkah pemuliharaan yang boleh dilaksanakan adalah seperti berikut :

    • Mewujudkan kawasan HCVF
    • Menubuhkan kawasan Protected Area (PAs) berserta dengan rangkakerja polisi dan perundangannya
    • Penyelenggaraan kemandirian pokok tersebut dan pemuliharaan genetik samada melalui pemeliharaan in-situ dan ex-situ.
    • Menjadikan pokok tersebut sebagai pokok growth plot atau pokok ibu (kutipan anak benih atau buah)
    • Operasi pemuliharaan dan pemeliharaan habitat dan pengurusan secara komprhensif, bersistematik dan bersepadu
    • Mewujudkan rangkaian hubungan di antara pemilik tanah atau pihak berkepentingan untuk bersama-sama mengambil bahagian di dalam pemuliharaan ini.

     

    Sehingga pada masa kini, pihak JPNS telah menubuhkan tiga (3) kawasan Hutan Tinggi Nilai Pemuliharaannya (High Conservation Value Forest atau HCVF) iaitu di Kompartmen 2 dan 14 di HS Kanching untuk spesies pokok Merawan kanching dan spesies pokok Meranti Bukit di Kompartmen 5, HS Semangko. Keluasan kawasan hutan berstatus HCVF adalah berjumlah 34.5 hektar. Selain itu, pihak JPNS juga telah menubuhkan 13 kawasan Hutan Simpanan Dara (VJR) dengan keluasan keseluruhan hutan berjumlah 2,278 hektar, pihak JPNS telah menjadikan sebahagian pokok yang disenaraikan (di atas) sebagai pokok ibu dan petak growth plot.

    Pada tahun 2019, pihak JPNS telah merancangkan untuk mewujudkan dua (2) kawasan HCVF dan kedua-duanya terletak berhampiran Bukit Fraser iaitu bagi memelihara kawasan habitat dan dirian spesies pokok Damar minyak (Agathis borneensis) dan kawasan persinggahan burung. Seterusnya, setiap satu kawasan berkenaan akan diwujudkan Rancangan Pengusannya secara komprehensif dan bersepadu serta melibatkan agensi-agensi berkepentingan yang lain.

    Pihak JPNS juga akan mewujudkan peta kedudukan bagi setiap pokok yang telah disenaraikan dan akan menyebarkan maklumat ini kepada semua pihak berkepentingan untuk bersama-sama di dalam mewujudkan pelan pengurusan kawasan dipersekitaran dan pembangunan yang akan dijalankan sekiranya melibatkan pokok-pokok tersebut.

Lampiran

Tiada Lampiran.