Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020
30 Oktober 2020 - 12 November 2020
26) HUTAN SIMPAN
Tahun: 2020
Sesi: 3
Isu: Tanah & Sumber Alam
Adun: Y.B. Tuan Chua Wei Kiat
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Nyatakan maklumat pemohonan menyahwarta hutan simpan sejak tahun 2008.
Maklumat berkenaan penyahwartaan atau pewartaan keluar HSK sejak tahun 2008 yang direkodkan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Selangor adalah sepertimana berikut:-
Manakala, terdapat beberapa kawasan hutan simpanan kekal yang sedang melalui proses penyahwartaan atau pewartaan keluar sehingga kini iaitu:-
i) Sebahagian HS Ulu Langat, HS Bukit Putih, HS Ulu Gombak, HS Ampang seluas ±106.65ha @ ±263.42 ekar bagi tujuan pembinaan lebuhraya East Klang Valley Expressway (EKVE) oleh AZRB pada tahun 2014.
ii) Sebahagian HS Bukit Sungei Puteh Utara, HS Bukit Sungei Puteh Selatan seluas ±26.0 ha @ ±64.22 ekar bagi tujuan pembinaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) oleh Prolintas pada tahun 2017;
iii) Sebahagian HS Bukit Cherakah seluas ±2.54ha @ ±6.27 ekar bagi tujuan pembinaan Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) oleh Prolintas pada tahun 2017;
iv) Sebahagian HS Bukit Cherakah Tambahan seluas ±4.10ha @ ±10.12 ekar bagi tujuan projek jalanraya B49 Persiaran Mokhtar Dahari oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) pada tahun 2017;
v) Sebahagian HS Bukit Lagong (Kompartmen 19), Mukim Rawang seluas ±28.3ha @±70 ekar bagi tujuan pembangunan oleh PKNS dan Spanland Sdn. Bhd. pada tahun 2019;
vi) Sebahagian HS Kuala Sepang, Mukim Sepang seluas ±1.37 ha @ ±3.39 ekar bagi tujuan Projek Membina Jalan dari Jambatan Sungai Sepang untuk menghubungkan Kampung India, Bukit Pelandok, Port Dickson dengan Bandar Sungai Pelek, Sepang, Selangor oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) pada tahun 2019;dan
vii) Sebahagian HS Kuala Langat Utara, Mukim Tanjung Dua Belas seluas ±931.17 ha @ ±2,300 ekar bagi tujuan pembangunan bercampur oleh Menteri Besar Incrporated (MBI) dan Titian Jutaria Sd. Bhd. pada tahun 2019.
-
Apakah tindakan Kerajaan untuk melindungi hutan simpan?
Kerajaan Negeri Selangor adalah sentiasa komited untuk mengekalkan dan meningkatkan keluasan HSK di negeri Selangor sebanyak tidak kurang 30% daripada keluasan tanah negeri selaras dengan keputusan keputusan MMKN Ke-33/2008 bertarikh 19 November 2008 dan keputusan MMKN Ke-45/2014 bertarikh 19 November 2014. Malahan, beberapa usaha sedang dilaksanakan bagi menambah keluasan HSK di negeri Selangor dengan mengenalpasti dan mewartakan tanah-tanah kerajaan yang berpotensi untuk dijadikan HSK.
Selain itu tiada sebarang aktiviti pembangunan yang boleh dipertimbangkan dalam HSK melainkan ianya telah dikaji dan mempunyai kepentingan nasional seperti bekalan elektrik, jalanraya, bekalan air dan sebagainya.
Pihak Kerajaan Negeri Selangor juga telah menambah baik Seksyen 11 Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negara 1985 pada A23 berdasarkan Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negara (Pindaan) 2011 dengan memasukkan proviso “semua pengeluaran HSK perlu melalui Kaedah Penyiasatan Awam seperti yang ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Negeri”. Di samping itu juga, proses penyahwartaan dan penggantian HSK perlu dilakukan secara serentak dan mengikut panduan Seksyen 12, Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negara 1985.
Bagi memperkemaskan dan memperkasa kaedah ini, Kerajaan Negeri juga telah mengambil tindakan yang proaktif dengan meluluskan pindaan Kaedah Penyiasatan Awam dalam MMKN Ke-26/2020 pada 22 Julai 2020. Antara pindaan yang dibuat adalah menambah bilangan ahli Jawatankuasa Penyiasatan Awam bagi mendapatkan pandangan teknikal yang lebih komprehensif.
Sebagai makluman, negeri Selangor adalah merupakan negeri pertama dan satu-satunya negeri di Malaysia yang telah menguatkuasakan Kaedah Penyiasatan Awam sebagai syarat di dalam proses penyahwartaan HSK.
Kerajaan Negeri Selangor juga melaksanakan aktiviti-aktiviti pemuliharaan dan pemeliharaan di kawasan-kawasan HSK yang mengalami degradasi. Aktiviti-aktiviti ini termasuklah program penanaman pokok, program kesedaran awam, program pencegahan kebakaran hutan, penguatkuasaan hutan dan kerjasama bersama dengan Badan Bukan Kerajaan (NGO) seperti GEC.
-
Apakah proses SOP untuk nyahwarta sebuah tanah hutan simpan?
Merujuk kepada Kaedah-kaedah Penyiasatan Awam (Selangor) 2014, proses penyahwartaan atau pewartaan keluar HSK perlu melalui penyiasatan awam seperti di carta alir berikut: