Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
228) HOSPITAL TANJUNG KARANG
Tahun: 2024
Sesi: 1
Isu: Kesihatan
Adun: Y.B. Tuan Mohd Razali Bin Saari
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah tindakan kerajaan negeri kepada pengusaha ayam yang menyebabkan lalat terlalu banyak dan boleh masuk sampai ke dewan bedah hospital?
Pada November tahun 2023, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS Selangor) telah menerima tiga (3) aduan kacauganggu lalat melibatkan Hospital Tanjung Karang. Selanjutnya pada 10 November 2023, Pejabat Perkhidmatan Veterinar Daerah Kuala Selangor (PVD Kuala Selangor) telah menjalankan siasatan dan membuat pemeriksaan ke atas satu (1) ladang ayam yang berada berhampiran hospital tersebut. PVD Kuala Selangor mendapati ladang tersebut telah melakukan kesalahan membenarkan pembiakan lalat di bawah Enakmen Perladangan Unggas (Negeri Selangor) 2007 dan Peraturan-peraturan Perladangan Unggas (Negeri Selangor) 2008. Setelah mendapat kebenaran Timbalan Pendakwa Raya, tiga (3) kompaun berjumlah RM4,300.00 berkaitan kesalahan ini telah dikeluarkan terhadap pemilik ladang pada 29 Disember 2023.
Selain itu, pada 22 November 2023, PVD Kuala Selangor bersama Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuala Selangor telah menjalankan sebuah operasi bersepadu ke atas dua (2) ladang ayam lain berhampiran Hospital Tanjung Karang. Pasukan operasi telah mendapati kedua-dua ladang tersebut melakukan kesalahan membenarkan pembiakan lalat. Justeru, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Selangor telah mengeluarkan empat (4) kompaun kepada kedua-dua ladang ayam dengan jumlah kompaun RM4,600.00. Selain tindakan penguatkuasaan, DVS Selangor juga telah memberi khidmat nasihat teknikal tentang kaedah-kaedah mencegah gejala ini.
-
Berapakah keluasan tanah dan jumlah pengusaha ayam tesebut?
Terdapat 16 buah ladang ayam pedaging yang dilesenkan dalam radius lima (5) kilometer dari Hospital Tanjung Karang di mana kesemua semua ladang ini dianggarkan mempunyai berkeluasan keseluruhan sebanyak 28 hektar.
-
Adakah kerajaan mengambil maklum berkenaan perkara ini yang melibatkan kepentingan awam dan telah mengambil tindakan yang sewajarnya?
Kerajaan Negeri memang mengambil maklum tentang perkara ini dan sedang meneruskan pemantauan bagi menyelesaikan aduan ini. Kerajaan Negeri komited untuk memastikan semua penternak bukan sahaja di Tanjung Karang malah di seluruh negeri agar mematuhi segala peraturan yang termaktub di bawah Enakmen Perladangan Unggas (Negeri Selangor) 2007 dan Peraturan-peraturan Perladang Unggas (Negeri Selangor) 2008. Semua Yang Berhormat dan pemimpin masyarakat lain serta orang ramai dipelawa untuk membuat aduan sekiranya menemui gejala pencemaran dan kacau ganggu berpunca daripada ladang unggas supaya DVS Selangor boleh membuat lawat siasat dan tindakan penguatkuasaan dengan segera.