Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021

23 Ogos 2021 hingga 27 Ogos 2021, 30 Ogos 2021, 1 September 2021 hingga 3 September 2021 dan 6 September 2021

28) HOSPITAL KERAJAAN DI SELANGOR

Tahun: 2021

Sesi: 1

Isu: Kesihatan

Adun: Y.B. Tuan Chua Wei Kiat

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah kekangan dan cabaran yang dihadapi pihak hospital dalam Negeri Selangor menghadapi untuk memberi rawatan kepada pesakit COVID-19?

    Dalam mendepani penularan pandemik COVID-19 terutama di Negeri Selangor, antara pihak yang paling terkesan adalah pihak hospital. Untuk makluman, susulan peningkatan kes COVID-19 yang begitu ketara terutamanya di Selangor, semua hospital di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah diarahkan untuk meningkatkan kesiapsiagaan dengan meningkatkan kapasiti katil kritikal dan bukan kritikal. Permohonan kelengkapan naiktaraf peralatan perubatan, bukan perubatan dan naiktaraf projek bagi pengurusan COVID-19 di setiap hospital telah diberikan kelulusan daripada pihak KKM.

    Walau bagaimanapun, cabaran terbesar dalam melancarkan proses kesiapsiagaan ini adalah kekangan sumber manusia yang sangat mendesak. Penambahan bilangan katil pesakit COVID-19 perlulah seiring dengan penambahan kakitangan kesihatan meliputi Pakar Perubatan, Pegawai Perubatan, Jururawat Terlatih, Penolong Pegawai Perubatan dan kakitangan sokongan klinikal. Ini bagi memastikan patient care tidak dikompromi.

    Untuk makluman, usaha-usaha berikut telah dilakukan untuk menangani isu kekurangan sumber manusia dalam perawatan pesakit COVID-19 :

    1. Mobilisasi dalaman kakitangan kesihatan sedia ada (pelbagai kategori) di peringkat hospital dan JKN. Struktur organisasi di hospital dikurangkan dan sumber manusia ditumpukan kepada pengurusan pesakit COVID-19.
    2. Mobilisasi kakitangan kesihatan (pelbagai kategori) dari luar negeri Selangor yang dijalankan oleh pihak KKM ke fasiliti kesihatan yang menguruskan pesakit COVID-19.
    3. Penugasan semula kakitangan dari Kementerian / Jabatan / Agensi dari luar KKM
  2. Apakah sokongan daripada Negeri Selangor kepada hospital untuk tujuan rawatan COVID-19?

    Kerajaan Negeri menyedari bahawa kerjasama dan bantuan yang berterusan kepada pihak hospital amatlah penting di waktu seperti ini. Walau bagaimanapun, pengurusan hospital awam adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan, selaras dengan Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan. Namun, Kerajaan Negeri sentiasa mengadakan perbincangan bersama agensi berkaitan di peringkat Persekutuan bagi memastikan kebajikan warga Selangor yang menerima rawatan COVID-19 terus terjaga.

Lampiran

Tiada Lampiran.