Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2015

30 Mac - 3 April 2015 dan 6 April - 9 April 2015

277) HOSPITAL KERAJAAN DI PETALING JAYA

Tahun: 2015

Sesi: 1

Isu: Kesihatan

Adun: Y.B. Tuan Rajiv A/l Rishyakaran

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah rancangan Kerajaan Negeri untuk menyediakan satu tapak untuk pembinaan hospital kerajaan di kawasan Petaling Jaya dan/atau Subang Jaya?

    Berdasarkan Rancangan Tempatan Petaling Jaya 2, telah dicadangkan tapak hospital kerajaan berkeluasan 15 ekar di Blok Perancangan Kecil 2.5, Mukim Bandar Sunway Daerah Petaling Jaya. Lokasinya terletak di dalam tapak Kontena Nasional bersebelahan Lebuh Raya Persekutuan dan Lebuh Raya Damansara – Puchong di mana adalah sangat bersesuaian dan strategik kerana mudah dihubungi oleh semua kawasan di dalam BPK ini. Tapak ini juga terletak berhampiran dengan perumahan berdensiti tinggi dan perumahan kos rendah yang dapat menggunakan kemudahan

    Bagi tujuan ini, pihak UPEN juga telah mengemukakan surat (Bil. (49)dlm.IPK.Sel.04-051/245) kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk memaklumkan tentang cadangan tapak hospital ini. Melalui maklum balas yang diberikan, KKM sememangnya memerlukan tanah di daerah Petaling bagi tujuan pembinaan sebuah hospital awam bagi menampung populasi daerah Petaling yang dianggarkan sebanyak 1.9 juta pada tahun 2014 dan akan terus meningkat tahun berikutnya.

    Tambahan lagi, pembinaan hospital di Petaling Jaya perlu dibangunkan segera untuk menambahkan bilangan katil agar mencapai nisbah 2.5 katil bagi setiap 1000 penduduk menjelang 2030. Di samping itu, ia akan mengurangkan beban kehadiran pesakit ke PPUM manakala Hospital Kuala Lumpur dan Hospital Shah Alam terletak 13km dan 22km masing-masing dari daerah Petaling.

  2. Adakah Kerajaan Negeri akan mendesak Kementerian Kesihatan untuk satu membina hospital kerajaan di Petaling Jaya?

    Langkah proaktif Kerajaan Negeri melalui UPEN telah pun diambil berdasarkan surat yang telah dikemukakan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk melaksanakan cadangan tapak hospital di Petaling Jaya ini. Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengalu-alukan usaha ini dan bersetuju dengan cadangan ini seterusnya meminta supaya tapak ini dikekalkan sebagai tapak hospital bagi menampung keperluan populasi daerah

    Lanjutan daripada itu, urusan pengambilan balik tanah perlu dibuat sama ada oleh Kerajaan Negeri ataupun Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ke atas tapak cadangan ini dan keperluan bajet perlu diperhalusi untuk menampung dua (2) jenis kos utama iaitu kos pengambilan balik tanah dan kos pembinaan di samping lain-lain kos yang berkaitan.

    Bagi mempercepatkan cadangan pembinaan Hospital Petaling Jaya ini, penyelarasan bersama jabatan dan agensi yang terlibat akan dibuat supaya kemajuannya dapat dipantau.

    Kerajaan Negeri akan terus menjalinkan kerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia bagi memastikan keperluan kemudahan kesihatan di Negeri Selangor dapat ditambahbaik dari semasa ke semasa.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.