Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
04 Julai - 05 Julai 2024, 09 Julai - 12 Julai 2024 & 15 Julai - 18 Julai 2024 (Khamis - Jumaat, Selasa - Jumaat & Isnin - Khamis)
347) HOSPITAL DAN KLINIK KESIHATAN
Tahun: 2024
Sesi: 2
Isu: Kesihatan
Adun: Y.B. Tuan Dr. Afif Bin Bahardin
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Hospital-hospital di Selangor berhadapan dengan situasi kekurangan doktor latihan siswazah yang kronik, apa perancangan Kerajaan Negeri dan Jabatan Kesihatan untuk atasi masalah ini?
Peranan utama Pegawai Perubatan Siswazah (PPS) adalah untuk menjalani latihan klinikal supaya Pegawai Perubatan Siswazah (PPS) lebih bersedia untuk menjalankan tugas sebagai pengamal perubatan berdaftar yang selamat kelak dan bukan sebagai “extra pair of hands”. Sehubungan itu, sekiranya terdapat pengurangan PPS di sesebuah fasiliti, pihak hospital/ jabatan yang terlibat perlu menyelaras semula skop tugasan klinikal Pegawai Perubatan dan Paramedik sedia ada agar penyampaian perkhidmatan di sesebuah hospital tidak terjejas. Justeru itu, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) telah mengadakan satu perbincangan khusus dengan semua Pengarah Hospital Latihan Siswazah yang terlibat pada 16 April 2024 bagi membincangkan pelan kontigensi susulan penurunan trend lantikan PPS tersebut. JKNS telah memohon kerjasama semua Pengarah Hospital yang terlibat untuk melaksanakan langkah-langkah yang diyakini dapat memastikan penyampaian perkhidmatan rawatan kesihatan sedia ada tidak akan terjejas. Langkah-langkah tersebut adalah seperti berikut:
- Ketua Jabatan perlu menerapkan semangat kerja berpasukan dan sentiasa bersedia untuk berkerjasama kepada semua kakitangan pelbagai kategori jawatan dalam menghadapi pelbagai isu yang akan datang.
- Pihak hospital mengemukakan bilangan tambahan Pegawai Perubatan yang diperlukan apabila tiada lagi PPS di hospital kepada pihak JKNS.
- Pihak hospital membuat perincian berkenaan bidang tugas yang akan diambil alih oleh kakitangan kesihatan yang lain merangkumi jawatan Pembantu Perawatan Kesihatan (PPK), Jururawat, Penolong Pegawai Perubatan (PPP), Pegawai Perubatan dan Pakar Perubatan.
- Pihak hospital membuat perancangan dan pemetaan semula serta menempatkan Pegawai Perubatan dari unit/ jabatan yang kurang kritikal terutamanya dari Jabatan Pengurusan ke unit/ jabatan yang lebih kritikal.
- Pihak hospital mengkaji semula proses kerja rujukan pesakit antara jabatan serta sistem pegawai atas panggilan (on-call system). Bilangan Pegawai Perubatan yang perlu bertugas atas panggilan sehari perlu ditambah mengikut kesesuaian di jabatan.
- Pihak hospital memperkasa dan mempromosi sistem sokongan sedia ada bagi menangani isu burnout dalam kalangan petugas kesihatan.
- Pihak hospital membuat penggabungan wad/ zon klinikal bagi mengoptimakan penggunaan sumber manusia sedia ada.
- Pihak hospital melaksanakan Sistem Porter yang dianggotai oleh PPK bagi tujuan pergerakan pesakit.
- Pihak hospital mewujudkan pasukan phelobotomy (mobile) yang terdiri daripada paramedik bagi tujuan pengambilan darah pesakit di wad-wad.
- Penolong Pegawai Perubatan dijadualkan untuk membantu pengambilan darah pesakit yang tidak urgent di wad pada hujung minggu (dengan bayaran kerja lebih masa).
Selain itu, pihak JKNS juga sentiasa berhubungan rapat dengan pihak KKM memohon supaya penyaluran sumber manusia terutamanya bagi jawatan Pegawai Perubatan dan Paramedik diutamakan penempatan ke Negeri Selangor kerana selain faktor bilangan penduduk merupakan antara yang tertinggi serta kepelbagaian kompleksiti kes, hospital-hospital di Negeri Selangor juga adalah merupakan pusat rujukan pelbagai subkepakaran untuk pesakit dari luar Negeri Selangor.
-
Senaraikan jumlah doktor dan kakitangan yang terisi mengikut penjawatan disediakan KKM di semua Hospital Kerajaan dan Klinik Kesihatan Negeri Selangor.
Sehingga 31 Mei 2024, perjawatan di semua fasiliti kesihatan di Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) adalah sebanyak 35,910 yang merangkumi semua kumpulan perkhidmatan iaitu Kumpulan Pengurusan Tertinggi, Kumpulan Pengurusan & Profesional dan juga Kumpulan Pelaksana. Daripada jumlah tersebut, pengisian perjawatan adalah sebanyak 31,391. Ringkasan adalah seperti berikut:
KUMPULAN JAWATAN ISI KOSONG % PENGISIAN Pengurusan Tertinggi 184 149 35 81.0% Pengurusan & Professional 8835 8,038 797 91.0% Sokongan 1 21,859 19,042 2,817 87.1% Sokongan 2 5,032 4,162 870 82.7% JUMLAH 35,910 31,391 4,519 87.4% Manakala bagi perjawatan di fasiliti kesihatan. Jumlah perjawatan di 13 hospital di seluruh negeri Selangor adalah sebanyak 25,032 dan pengisian perjawatan adalah sebanyak 21,370. Seterusnya jumlah perjawatan di 11 Pejabat Kesihatan Daerah termasuk 2 pintu masuk antarabangsa adalah sebanyak 8,901 dan pengisian adalah sebanyak 8,159. Selain daripada itu, perjawatan di 9 Pejabat Kesihatan Pergigian Daerah di Selangor adalah sebanyak 1,371 dengan pengisian sebanyak 1,274. Maklumat ringkas adalah seperti berikut:
FASILITI KESIHATAN JAWATAN ISI KOSONG % PENGISIAN JKNS 606 588 18 97.0% Hospital 25,032 21,370 3,662 85.4% Pejabat Kesihatan Daerah 8,901 8,159 742 91.7% Pergigian dan Pejabat Pergigian Daerah 1,371 1,274 97 92.9% JUMLAH 35,910 31,391 4,519 87.4% Daripada jumlah tersebut, perjawatan dan pengisian pegawai perubatan di bawah program perubatan dan hospital adalah 3,007 dan pengisian adalah sebanyak 2,778. Manakala perjawatan bagi pegawai perubatan di bawah program Kesihatan Awam dan juga Pejabat Kesihatan Daerah adalah sebanyak 1,396 dan pengisian adalah sebanyak 1,328. Ringkasan maklumat adalah seperti berikut:
FASILITI KESIHATAN PEGAWAI PERUBATAN (JAWATAN TETAP) JAWATAN ISI KOSONG % PENGISIAN Perubatan & Hospital 3,007 2,778 229 92.4% Kesihatan Awam & Pejabat Kesihatan Daerah 1,396 1,328 68 95.1% JUMLAH 4,403 4,106 297 93.3% Selain daripada skim Pegawai Perubatan, antara skim yang terbesar di fasiliti kesihatan di negeri Selangor adalah skim perkhidmatan Jururawat dan Penolong Pegawai Perubatan.
Bagi keseluruhan perjawatan Jururawat daripada pelbagai gred di keseluruhan fasiliti kesihatan di Selangor adalah seperti berikut:
Perjawatan : 11, 042
Pengisian : 9, 412
Kekosongan : 1,630
Peratus Pengisian : 85.2%
Manakala bagi keseluruhan perjawatan Penolong Pegawai Perubatan daripada pelbagai gred di keseluruhan fasiliti kesihatan di Selangor adalah seperti berikut:
Perjawatan : 2,088
Pengisian : 1,883
Kekosongan : 205
Peratus Pengisian : 90.2%