Mesyuarat Kedua (Bajet) Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021

26 November 2021, 29 November - 30 November 2021, 1 Disember - 3 Disember 2021 dan 6 Disember - 9 Disember 2021

276) HILANG KERJA

Tahun: 2021

Sesi: 2

Isu: Pekerjaan

Adun: Y.B. Puan Dr. Daroyah Binti Alwi

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Berapakah anggaran jumlah rakyat yang kehilangan pekerjaan akibat PKP? Adakah Selangor mempunyai pengkalan data berkenaan isu ini?

    Untuk makluman Yang Berhormat Sementa, mengikut data yang dikumpulkan oleh Jabatan Tenaga Kerja Negeri Selangor melalui Borang PK (Pemberitahuan Pemberhentian Pekerja) mengikut peruntukan di bawah Akta Kerja 1955, mewajibkan setiap majikan yang berhasrat untuk mengambil tindakan memberhentikan pekerja perlu melaporkan kepada jabatan selewat-lewatnya 30 hari sebelum tindakan pemberhentian dijalankan. Berdasarkan rekod Jabatan Tenaga Kerja Negeri Selangor jumlah pekerja tempatan yang telah diberhentikan kerja dalam tempoh Januari hingga Oktober 2021 adalah berjumlah 10,509 orang.

    (Sumber jawapan daripada Jabatan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Negeri Selangor)

  2. Apakah strategi Kerajaan Negeri membantu golongan terkesan?

    Menyedari antara punca utama kehilangan pekerjaan dan punca pendapatan ketika ini adalah disebabkan oleh penularan wabak pandemik COVID-19 yang telah menimbulkan ketidakseimbangan sosioekonomi dan kesihatan setempat serta memberi impak besar kepada kehidupan harian dan norma – norma kehidupan secara langsung, Kerajaan Negeri Selangor telah mengambil inisiatif dan pendekatan dengan mewujudkan satu portfolio baharu yang dikenali sebagai Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan Pekerja Negeri Selangor.

     

    Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan Pekerja ini adalah berperanan dalam membantu rakyat di negeri Selangor khususnya yang mempunyai masalah kehilangan pekerjaan dan sumber pendapatan akibat daripada penularan wabak pandemik COVID-19.

     

    Oleh itu, bagi memastikan perjalanan program berjalan lancar dan dapat membantu kumpulan sasaran, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor Darul Ehsan (MMKN) Ke 30 / 2021 pada 8 September 2021, telah menimbang dan meluluskan penubuhan Unit Pemberdayaan Pekerja Selangor (UPPS).

     

    UPPS akan bertindak sebagai salah satu platform/ medium di bawah Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan Pekerja Negeri Selangor sebagai perantara dalam membantu rakyat negeri Selangor khususnya bagi mendapat bimbingan dan latihan dalam sektor  pekerjaan serta menjalinkan usahasama strategik bersama jabatan dan agensi awam dan swasta serta Badan Bukan Kerajaan / Persatuan dan pihak – pihak yang berkaitan bagi membantu kumpulan sasaran.

     

    Di bawah UPPS ini, fokus utama adalah tertumpu kepada golongan B40 yang kehilangan pekerjaan dan sumber pendapatan sahaja. Secara dasarnya, terdapat dua (2) sektor utama di bawah UPPS seperti berikut :

    1. Sektor Pemberdayaan & Hak Pekerja
    2. Sektor Pembangunan

    Kedua –  dua sektor ini adalah dikhususkan untuk merancang, menyelaras dan melaksanakan program-program tahunan di bawah UPPS.

    Memandangkan portfolio ini masih baharu ditubuhkan dan pelantikan kakitangan UPPS secara rasmi adalah pada 1 Oktober 2021, Jawatankuasa Tetap masih merangka dan memperhalusi beberapa cadangan program yang akan dijadikan sebagai program tahunan.

    Walau bagaimanapun, dalam masa yang singkat, UPPS telah  berjaya menjalankan beberapa program serta menjalinkan usahasama strategik bersama pelbagai agensi / persatuan / institusi pengajian yang berkaitan. Antara program-program tersebut adalah seperti berikut:

     

                  I.        Program Sistem Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan dengan usahasama Kolej Kings dengan penyertaan seramai 750 orang peserta dalam kalangan B40
                II.        Program Latihan dan Penempatan Pekerja dengan usahasama Kolej Kings dengan penyertaan seramai 30 orang peserta program dari kalangan B40
               III.        Persidangan secara maya bersama Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melibatkan penyertaan seramai 100 orang peserta
              IV.        Latihan pekerjaan dan penempatan segera dari kalangan B40 bersama usahasama AA Knowledge yang melibatkan penyertaan seramai 30 orang peserta
               V.        Karnival Kerjaya Maya bersama Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) melibatkan penyertaan seramai 100 orang peserta
              VI.        Persidangan bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) melibatkan penyertaan seramai 140 orang peserta
             VII.        Taklimat bersama Jobstreet berkenaan teknik carian kerja untuk golongan B40 melibatkan penyertaan seramai orang 150 peserta

     

    Bagi pemulaan tahun 2022, Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan Pekerja melalui Unit Pemberdayaan Pekerja Selangor (UPPS) akan melaksanakan lebih banyak program-program dengan kerjasama strategik dari pelbagai agensi agar agenda “Selangor Maju Bersama” dan matlamat bagi membantu golongan B40 yang terkesan akibat daripada penularan wabak pandemik COVID-19 khususnya mereka yang kehilangan pekerjaan dan sumber pendapatan dapat dicapai.

     

     

Lampiran

Tiada Lampiran.