Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021

23 Ogos 2021 hingga 27 Ogos 2021, 30 Ogos 2021, 1 September 2021 hingga 3 September 2021 dan 6 September 2021

154) HILANG KERJA

Tahun: 2021

Sesi: 1

Isu: Pekerjaan

Adun: Y.B. Puan Dr. Daroyah Binti Alwi

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Berapakah anggaran jumlah rakyat yang kehilangan pekerjaan akibat PKP?
    Adakah Selangor mempunyai pengkalan data berkenaan isu ini?

    Untuk makluman Yang Berhormat Sementa, Kerajaan Negeri Selangor pada dasarnya tidak mempunyai pangkalan data khusus untuk pekerja-pekerja di dalam Selangor. Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri Selangor senantiasa terbuka dan menjalinkan hubungan rapat dengan jabatan dan agensi yang berkenaan bagi membantu untuk isu-isu yang khusus kepada pekerja. Oleh yang demikian, mengikut data yang dikumpulkan melalui Borang PK (Pemberitahuan Pemberhentian Pekerja) oleh Jabatan Tenaga Kerja Negeri Selangor melalui peruntukan di bawah Akta Kerja 1955 yang mewajibkan setiap majikan yang berhasrat untuk mengambil tindakan memberhentikan pekerja perlu melaporkan kepada jabatan selewat-lewatnya 30 hari sebelum tindakan pemberhentian dijalankan. Berdasarkan rekod Jabatan Tenaga Kerja Negeri Selangor jumlah pekerja tempatan yang telah diberhentikan dalam tempoh Januari hingga Julai 2021 berjumlah 6,495 orang.

  2. Apakah strategi Kerajaan Negeri membantu golongan terkesan?

    Kerajaan Negeri Selangor sedar penularan wabak pandemik COVID-19 yang sedang melanda negara telah mengakibatkan syarikat-syarikat swasta, majikan persendirian mahupun yang bekerja sendiri tidak mampu untuk terus kekal bertahan demi mencari punca pendapatan di dalam tempoh pandemik ini.            Justeru itu, Kerajaan Negeri Selangor sedang dalam rangkaan melaksanakan program-program bantuan berbentuk kursus jangka pendek dan panjang, taklimat serta kursus bagi mengajar dan menerapkan ilmu pengetahuan baharu di dalam bidang pekerjaan serta menggilap bakat kemahiran baharu dan sedia ada bagi membolehkan rakyat terus bersaing dan mencari alternatif punca pendapatan bagi menjamin kesinambungan hidup diri dan keluarga masing-masing.

Lampiran

Tiada Lampiran.