Mesyuarat Ketiga (Bajet) Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022

23 - 25 November, 29 - 30 November, 1 - 2 Disember & 5 - 6 Disember 2022

19) HIJRAH SELANGOR

Tahun: 2022

Sesi: 3

Isu: Usahawan

Adun: Y.B. Tuan Harumaini Bin Haji Omar

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Sehingga kini berapakah jumlah bantuan yang telah dikeluarkan dan berapa pula yang telah dapat dikutip?

    Sehingga 30hb September 2022 sebanyak RM 725,180,500 jumlah pembiayaan yang telah dikeluarkan. Manakala jumlah yang telah dikutip sehingga 30hb September 2022 adalah sebanyak RM 634,770,549.13.

  2. Sejauh manakah rekod kejayaan mereka yang menggunakan bantuan ini?

    Berdasarkan kajian yang telah dijalankan oleh Institut Darul Ehsan (IDE), terdapat peningkatan daripada 50% kepada 59.6% bagi kategori Pendapatan Kasar Perniagaan atas RM5,001. Manakala bagi Kajian Pendapatan Peribadi Bulanan atas RM1,000 juga terdapat peningkatan daripada 85.2% kepada 95.4% dan peminjam yang menjana pendapatan RM5,001 ke atas meningkat dari 26.9% kepada 36.9%.

    Selain daripada itu, seramai 1,750 orang peminjam Hijrah Selangor telah membuat sekurang-kurangnya empat (4) kali pinjaman ulangan. Kejayaan mereka dalam  melunaskan bayaran balik pinjaman menunjukkan prestasi perniagaan mereka yang baik dan berkembang maju. Ini juga bermakna pinjaman dana yang diberikan kepada mereka adalah berkesan.

    Dari segi pengembangan perniagaan, terdapat 9 orang peminjam Hijrah Selangor yang dilantik menjadi syarikat peneraju untuk memberi bimbingan, latihan dan pemantauan kepada individu yang berminat untuk memulakan perniagaan. Ini menunjukkan bahawa produk usahawan Hijrah Selangor adalah berkualiti dan dengan wujudnya peserta dibawah syarikat peneraju ini, maka lahirlah usahawan baharu.

    Sehingga kini, seramai 256 orang peminjam telah membuat rakaman dan mereka ini dikategorikan sebagai “Peserta Success Story” oleh Hijrah Selangor yang mana mereka dipilih berdasarkan beberapa kriteria yang diambil antaranya mestilah mempunyai peningkatan jualan tahunan, penambahan bilangan pekerja, peningkatan nilai aset perniagaan, pemilikan rumah & kenderaan dan juga dari segi pemilikan tanah.

Lampiran

Tiada Lampiran.