Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2017

24 Julai 2017 hingga 28 Julai 2017 dan 31 Julai 2017 hingga 04 Ogos 2017

236) HIGH SPEED RAIL (HSR) SINGAPORE – KUALA LUMPUR

Tahun: 2017

Sesi: 1

Isu: Pengangkutan

Adun: Y.B. Tuan Ir. Haji Mohd Haslin Bin Hassan

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah peranan kerajaan terhadap cadangan membangun projek HSR oleh kerajaan persekutuan tanah dalam Selangor?

    Kerajaan Negeri mempunyai kepentingan dan peranan terhadap semua cadangan pembangunan yang akan dilaksanakan di Negeri Selangor termasuk projek pengangkutan awam seperti High Speed Rail (HSR). Peranan dan bidang kuasa Kerajaan Negeri adalah melibatkan perkara-perkara berkaitan perihal tanah sama ada gunatanah dan pengambilan di sepanjang kawasan dan jajaran HSR di dalam Negeri Selangor. Selain daripada itu, Kerajaan Negeri akan memastikan pematuhan akta-akta dan peraturan yang telah ditetapkan di peringkat negeri dan juga kerajaan tempatan.

    Selaras dengan itu juga, Kerajaan Negeri melalui Mesyuarat Jawatankuasa Perancang Negeri Selangor Bil.1/2015 yang bersidang pada 12 Februari 2015, telah membuat ketetapan bahawa projek-projek pembangunan infrastruktur seperti lebuhraya, LRT, MRT, Rel Berkelajuan Tinggi, Talian Voltan Tinggi, Janakuasa dan lain-lain projek berskala besar serta melibatkan implikasi kepada alam sekitar serta penduduk perlu melalui proses rundingan dengan Kerajaan Negeri Selangor di bawah Jawatankuasa Perancang Negeri selaras dengan Seksyen 20A Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172).

    Di dalam projek HSR Kuala Lumpur – Singapura, Cadangan projek tersebut telah dibentangkan kepada Kerajaan Negeri pada 23 Jun 2016. Berdasarkan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Ke 22/2016 yang bermesyuarat pada 13 Julai 2016, Kerajaan Negeri telah mengarahkan supaya MyHSR Corporation Sdn. Bhd. mengemukakan permohonan di bawah Seksyen 4, Akta Pengambilan Tanah 1960 bagi membolehkan kajian tapak dibuat. Namun, bagi tujuan pengambilan balik kelak, Kerajaan Negeri akan meneliti terlebih dahulu komponen-komponen yang terlibat sebelum dimuktamadkan.

    Kerajaan Negeri akan memastikan projek yang dilaksanakan dapat memberi manfaat menyeluruh dan memastikan impak atau kesan terhadap sosial, alam sekitar dan ekonomi diambilkira. Oleh itu, projek HSR perlu merangkumi rancangan pembangunan sosio-ekonomi yang boleh dikenalpasti di setiap lokasi dan sepanjang jajaran HSR.

    Pada ketika ini, projek HSR yang melibatkan Negeri Selangor dijangkakan hanya melibatkan jajaran yang melalui kawasan Cyberjaya dan Dengkil (Sepang), Bangi (Kajang) dan juga Serdang (Subang Jaya). Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri telah meminta pihak MyHSR untuk mempertimbangkan permohonan Kerajaan Negeri agar menempatkan sebuah stesen HSR di dalam Negeri Selangor. Dari segi cadangan lokasi, Kerajaan Negeri percaya dengan kepakaran pihak MyHSR untuk mengkaji kesesuaian tapak dan faktor-faktor teknikal bagi laluan rel berkelajuan tinggi sebelum menetapkan kedudukan sesebuah stesen. Berdasarkan perancangan MyHSR, sebarang cadangan untuk penetapan stesen hanya akan dapat dilakukan setelah hasil kajian tersebut diperolehi, yang dijangkakan pada Suku Kedua 2017.

  2. Adakah kerajaan terlibat secara langsung dalam pembangunan projek tersebut?

    Sama seperti di SUB (a)

  3. Selain dari jajaran landasan, adakah kerajaan telah mengenal pasti cadangan salah satu tapak stesen dalam negeri Selangor?

    Sama seperti di SUB (a)

Lampiran

Tiada Lampiran.