Mesyuarat Ketiga Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2018

23 – 30 November 2018 dan 3 – 5 Disember 2018

238) HASIL NEGERI

Tahun: 2018

Sesi: 3

Isu: Kewangan & Ekonomi

Adun: Y.B. Dato' Mohd Shamsudin Bin Lias

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Nyatakan jumlah kutipan hasil negeri yang berjaya di kutip setakat ini.

    Jumlah kutipan hasil negeri yang berjaya dikutip sehingga 31 Oktober 2018 ialah berjumlah RM1,756,617,660.48.

  2. Apakah langkah langkah inisiatif pembaharuan Kerajaan Negeri untuk menambah dan meningkatkan kutipan sumber hasil negeri dengan kebih berkesan lagi?

    Di antara langkah-langkah inisiatif pembaharuan Kerajaan Negeri untuk menambah dan meningkatkan kutipan sumber hasil negeri dengan lebih berkesan lagi adalah :

    1. Cadangan Pelaksanaan Permit Khas

    Cadangan Pelaksanaan Permit Khas sebagai kebenaran penggunaan sementara tanah pertanian yang digunakan selain daripada tujuan  pertanian (Perniagaan / Industri Ringan) di Negeri Selangor. Permit Khas ini akan memberikan kebenaran ke atas aktiviti-aktiviti tertentu yang tiada berkaitan dengan pertanian atau ke atas mana-mana bangunan yang didirikan di atas tanah pertanian tidak terhad kepada menara telekomunikasi dan papan iklan. Kelulusan ini akan membolehkan Kerajaan Negeri memperoleh hasil melalui bayaran Permit Khas.

    1. Pajakan Tanah Rizab Negeri

    Terdapat tanah Kerajaan yang berpotensi untuk dipajak mengikut Seksyen 63, KTN 1965 seperti arahan Mesyuarat Jawatankuasa Tetap Pembangunan Tanah dan Sumber Alam bil. 3/2016. Permohonan ini diangkat untuk kelulusan Pihak Berkuasa Negeri yang membolehkan pemohon mengusahakan tanah tersebut bagi maksud tertentu dalam tempoh maksimum 21 tahun. Kelulusan pajakan ini akan membolehkan Kerajaan Negeri memperoleh hasil melalui bayaran sewaan dan cukai tanah tahunan.

    • Cukai Petak Bangunan Strata

    Pelaksanaan kadar cukai petak dan pengenaan fi cukai petak bagi pembangunan berstrata ke atas kaedah-kaedah hakmilik strata Negeri Selangor selaras dengan pindaan Akta Hakmilik Strata (Pindaaan 2016) (A1518) bagi semua daerah di Negeri Selangor yang berkuatkuasa pada 1 Jun 2018.

    1. Kutipan royalti bagi kayu palma, pokok kelapa, dan kayu getah oleh Jabatan Perhutanan Negeri Selangor.

    Memperkenalkan Caj Fi Bagi Pokok Getah, Kelapa Sawit dan Kelapa di dalam tanah diberimilik dan tanah Kerajaan seperti mana dalam Keputusan Majlis Tanah Negara ke-71. Perkara ini sedang diseragamkan oleh Ibu Pejabat Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia.

    1. Cadangan bagi semakan semula kadar pemberian Persekutuan
    • Cadangan meningkatkan nilai siling yang diterima daripada Kerajaan Persekutuan bagi Pemberian Berdasarkan Tahap Pembangunan Ekonomi, Infrastruktur dan Kesejahteraan Hidup (TAHAP). Ini adalah kerana terdapat pertambahan projek-projek yang dikemukakan oleh jabatan terlibat seperti JKR, JPS, Jabatan Pertanian dan JAIS dari tahun ke tahun tetapi tidak dapat menuntut secara maksimum walaupun terdapat pertambahan projek akibat daripada nilai siling yang ditetapkan;

     

    • Cadangan meningkatkan kadar pampasan tanah bagi pemberian khas kehilangan Wilayah Persekutuan dan Putrajaya mengikut nilaian tanah [Akta Wilayah Persekutuan 1982, Perjanjian Kuala Lumpur 1974, Akta Perbadanan Putrajaya 1995 Pindaan 2002) dan Perjanjian Putrajaya 1995];

     

    1. UPEN sedang dalam proses akhir bagi memuktamadkan pelaksanaan Akta 795 berkaitan Access Benefit Sharing (ABS) yang bertujuan untuk memastikan sumber biodiversity yang diperolehi dipantau dan dikongsi bersama sekiranya hasil R&D dikomersialkan seperti ubat dan barang kosmetik. Kerajaan Negeri akan diberikan kuasa untuk mengeluarkan permit mengikut permohonan.

    Akta ini dijangka berkuatkuasa pada akhir tahun 2018 dan Kerajaan Negeri akan bertindak sebagai Pihak Berkuasa yang mengeluarkan permit sama ada untuk tujuan komersial atau bukan komersial. Sekiranya dilaksanakan, UPEN selaku penyelaras akan mengenakan bayaran permit bagi setiap permohonan yang berkaitan R&D.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.