Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

18 Mac 2019 - 25 Mac 2019

25) HASIL DAN KUTIPAN CUKAI TANAH

Tahun: 2019

Sesi: 1

Isu: Kewangan & Ekonomi

Adun: Y.B. Tuan Lau Weng San

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Bandingkan prestasi kewangan dan kutipan cukai khususnya kutipan cukai tanah dan premium Kerajaan Selangor, khususnya notis 5A dan 7G pada suku pertama 2019 berbanding dengan tempoh yang sama pada tahun 2018.

    Untuk pengetahuan Yang Berhormat Banting, jumlah kutipan hasil cukai tanah beserta kutipan cukai petak merangkumi kutipan cukai semasa dan tunggakan sehingga 28 Februari 2019 adalah sebanyak RM82,243,329.16. Manakala kutipan bagi tempoh masa yang sama pada tahun 2018 adalah sebanyak RM151,307,171.70. Terdapat penurunan kutipan cukai tanah semasa dan tunggakan sebanyak RM69,063,842.54 sehingga 28 Februari 2019 berbanding dengan tempoh masa sama pada tahun 2018.
    Manakala untuk kutipan premium meliputi Notis 5A dan 7G, sehingga 28 Februari 2019, sebanyak RM189,430,435.82 (17.7%) telah berjaya dikutip. Tempoh masa yang sama pada tahun 2018, jumlah kutipan premium Notis 5A dan 7G yang telah dikutip adalah sebanyak RM97,448,465.92 (6.7%). Ini menunjukkan peningkatan sebanyak 11% dalam tempoh yang sama pada tahun 2018 dan 2019.
    MAKLUMAT TAMBAHAN
    ULASAN PENINGKATAN HASIL PREMIUM TANAH SEHINGGA 28 FEBRUARI 2019
    1. Jumlah kutipan premium terbesar yang diterima sehingga 28 Februari 2019 adalah sebanyak RM73,934,710.15 dari LGB Properties (M) Sdn, Bhd. (PDT Petaling). Manakala sehingga 28 Februari 2018, kutipan premium terbesar adalah sebanyak RM12,863,175 dari Paragon Pinnacle Sdn Bhd. (PDT Kuala Selangor). Antara senarai penyumbang premium terbesar sehingga Februari 2018 dan Februari 2019 adalah seperti di lampiran.
    2. Pelanjutan tempoh bayaran premium (Notis 5A) iaitu daripada 6 bulan kepada 12 bulan dan premium tambahan (Borang 7G) daripada 3+1 bulan kepada 6+1
    bulan seperti Pekeliling PTGS Bil. 1/2016 mengenai Kaedah Pembayaran Premium dan Premium Tambahan ke atas Kelulusan Permohonan Pemberimilikan dan Pembangunan Tanah di Negeri Selangor membantu pemohon atau syarikat bagi menjelaskan bayaran dalam masa yang ditetapkan. Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) ke 38/2018 pada 12 Disember 2018 dan disahkan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) ke 1/2019 pada 16 Januari 2019 telah meluluskan untuk melanjutkan pemakaian pekeliling bagi tempoh 2 tahun lagi mulai 1 Januari 2019 sehingga 31 Disember 2020.
    3. Terdapat banyak notis 5A dan 7G yang akan tamat sebelum bulan Mac 2019 menyebabkan pemohon membuat bayaran premium pada bulan Februari 2019.
    4. Sesi ‘engagement’ yang berterusan oleh pihak PTGS dan PDT dengan pihak pemohon dan syarikat sekiranya terdapat isu atau masalah dalam menjelaskan premium yang dikenakan.
    5. Peningkatan kutipan premium dibantu oleh beberapa inisiatif yang dilaksanakan seperti penubuhan Jawatankuasa Khas Pemantauan Kutipan Hasil Premium Tanah pada tahun 2017. Jawatankuasa ini melaksanakan mesyuarat berkala sebanyak 3 kali setahun yang dipengerusikan oleh YAB Dato’ SUK dengan dihadiri oleh Pegawai Daerah setiap daerah bagi memantau dan membincangkan mengenai prestasi kutipan premium.
    6. Selain itu, terdapat juga inisiatif Pengarah Tanah dan Galian bagi memantau kemajuan kutipan premium. Antara inisiatif yang dilaksanakan ialah:
    – Mesyuarat Pengarah Tanah dan Galian Selangor bersama Pentadbir Tanah Negeri Selangor (4 kali setahun);
    – Mesyuarat Penyelarasan Kutipan Premium bersama KPP Tanah PDT Negeri Selangor yang dipengerusikan oleh KPP Bahagian Pembangunan & Kemajuan Tanah PTGS (4 kali setahun);
    – Laporan kemajuan Prestasi Kutipan Premium Tanah dihantar oleh PDT setiap bulan dan diselaraskan di peringkat PTGS;
    – Pemantauan kutipan mingguan bagi nilaian premium yang tinggi (Borang 5A & 7G) di setiap daerah.

     

     

Lampiran

Tiada Lampiran.