Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2010
12 April 2010 hingga 14 April 2010
19) HASIL BATUAN
Tahun: 2010
Sesi: 1
Isu: Tanah & Sumber Alam
Adun: Y.B. Datuk Haji Johan Bin Abdul Aziz
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Selain hasil pasir biasa dan pasir sungai, negeri Selangor juga ada hasil seperti batu granit, batu kapur dan tanah merah. Adakah kerajaan negeri bercadang untuk mewujudkan syarikat lain yang akan menguruskan hasil-hasil batuan ini?
- Buat masa ini Kerajaan Negeri tidak bercadang untuk mewujudkan syarikat lain yang akan menguruskan hasil-hasil batuan kerana pada ketika ini Kerajaan Negeri memberi tumpuan khusus melalui anak syarikat kerajaan negeri, Kumpulan Semesta Sdn. Bhd. kepada aktiviti perlombongan pasir sebagai sumber dan penyumbang utama hasil bahan batuan kepada Kerajaan Negeri dalam merealisasikan agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES).
-
Sampai bilakah sumber hasil batuan di Selangor dapat bertahan?
- Pada tahun 2008, pengeluaran agregat di negeri Selangor adalah sebanyak 22.2 juta metrik tan. Walau bagaimana pun, jumlah pengeluaran ini hanya mampu menampung 85 peratus (%) daripada keseluruhan permintaan untuk negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya iaitu sebanyak 30 juta tan
Dianggarkan, sehingga akhir tahun 2009, rizab batuan yang masih terdapat di kuari-kuari di negeri Selangor yang boleh di ekstrak adalah sebanyak 350 juta metrik tan. Sekiranya diambil kira kadar pengeluaran tahunan semasa (2008) iaitu 22.2 juta metrik tan, dilihat rizab ini hanya mampu bertahan untuk tempoh 16 tahun akan datang.
Walau bagaimanapun, bergantung pada lokasi dan saiz kuari, dijangkakan bagi kuari batuan granit yang sedang beroperasi di negeri Selangor, jangka hayat mengikut keperluan semasa hanya mampu menampung permintaan industri pembangunan untuk tempoh 20 tahun sahaja lagi. Bagaimanapun jika permintaan meningkat kepada 200% dalam masa 10 tahun akan datang, jangka hayat kuari-kuari seperti di kawasan Hutan Simpan Bukit Lagong hanya mampu bertahan untuk tempoh 10 tahun sahaja. Unjuran ini berdasarkan kepada peningkatan jumlah penduduk, lonjakan permintaan kepada kadar pengeluaran per kapita serta pembangunan pesat di Lembah Kelang dan kini melangkau ke daerah Gombak (Rawang dan Selayang) serta daerah Hulu Langat (Kajang dan Cheras).
Untuk kawasan kuari yang lain, peningkatan permintaan batuan agregat boleh menyebabkan jangka hayat kuari granit adalah dianggarkan kurang dari 15 tahun. (penggunaan semasa agregat batuan negeri Selangor ialah 4.3 tan per kapita, negara ialah 2.9 tan per kapita).