Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2010
12 April 2010 hingga 14 April 2010
49) HASIL BALAK
Tahun: 2010
Sesi: 1
Isu: Tanah & Sumber Alam
Adun: Y.B. Tuan Wong Koon Mun
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Adakah Selangor masih mempunyai kawasan balak daripada hutan dara yang boleh menghasilkan pendapatan untuk negeri?
- Berdasarkan Inventori Hutan Nasional ke Empat yang dilaksanakan oleh Jabatan Perhutanan negeri Selangor, di negeri Selangor masih mempunyai seluas 8,944 hektar hutan dara dalam kawasan Hutan Simpanan Kekal. Walau bagaimanapun keseluruhan kawasan ini adalah hutan perlindungan dan tidak bertujuan untuk penghasilan kayu
-
Adakah Taman Warisan Negeri terpelihara daripada aktiviti pembalakan haram dan apakah langkah-langkah yang telah dilaksanakan untuk mengelakkan aktiviti pembalakan haram?
- Sejak diwartakan pada tahun 2007, tiada kes aktiviti pembalakan haram dikesan berlaku di kawasan Taman Warisan atau Taman Negeri Selangor. Langkah-langkah yang telah diambil untuk mengelakkan aktiviti pembalakan haram berlaku ialah seperti berikut:-
- Meletakkan papan-papan tanda larangan memasuki atau menjalankan aktiviti tanpa kebenaran daripada Pengarah Perhutanan Negeri di lokasi-lokasi strategik sepanjang sempadan kawasan Taman Negeri Selangor serta papan tanda besar berhubung penalti, hukuman dan denda berhubung kesalahan hutan mengikut Akta Perhutanan Negara (Pindaan)
- Menjalankan pemantauan dan rondaan secara berkala termasuk menggunakan helikopter, menjalankan penguatkuasaan secara bersepadu melibatkan pelbagai agensi termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis dan sebagainya dan bertindak segera ke atas setiap aduan awam
- Menjalankan aktiviti pengembangan dan kesedaran mengenai kepentingan dan peranan Taman Negeri Selangor untuk kesejahteraan hidup rakyat negeri Selangor serta mengenai hukuman, penalti dan denda berkaitan kesalahan hutan secara hebahan melalui media-massa dan program-program seperti pameran, penanaman pokok dan pendidikan melibatkan agensi kerajaan, agensi bukan kerajaan, masyarakat setempat dan pelajar-pelajar dari semua peringkat
-
Apakah perkembangan terkini mengenai pembalakan haram yang dikenal pasti di kawasan hutan di Hulu Selangor?
- Pembalakan Haram di Hulu Selangor telah dikesan Jabatan Perhutanan Negeri Selangor dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Hasil daripada kerjasama tersebut dua orang operator telah berjaya ditahan kerana cuba menawarkan rasuah kepada pegawai awam. Di samping itu tindakan juga akan diambil di bawah Akta Perhutanan Negara 1984 kerana mengambil hasil hutan dari tanah kerajaan tanpa lesen. Untuk rekod tiada kawasan hutan simpan atau taman Negeri (Warisan) yang terlibat dalam kejadian pembalakan haram tersebut dan hanya melibatkan tanah kerajaan dan tanah milik sahaja. Bagi kayu-kayu terbabit tanah milik , Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) telah membuat tuntutan dan telah mengadakan sebut harga ke atas kayu tersebut dan bagi tanah kerajaan Jabatan Perhutanan Negeri Selangor membuat lelongan awam terhadap kayu-kayu sitaan tersebut selepas siasatan selesai