Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2010
08 November hingga 12 November 2010 dan 15 November 2010
186) HARGA RUMAH
Tahun: 2010
Sesi: 3
Isu: Perumahan
Adun: Y.B. Tuan Lau Weng San
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Bagaimanakah kerajaan dapat menetapkan satu dasar untuk membantu rakyat berpendapatan rendah dan sederhana untuk memilik rumah mereka yang pertama memandangkan harga rumah di kawasan seperti Shah Alam, Subang Jaya, Petaling Jaya semakin meningkat?
Kerajaan Negeri sentiasa komited dalam menyediakan keperluan perumahan kepada semua golongan masyarakat di Negeri Selangor khususnya bagi golongan berpendapatan rendah dan sederhana. Untuk itu, Kerajaan Negeri melalui Dasar Pembangunan Tanah telah menetapkan sebarang pembangunan tanah yang melebihi 10 ekar dalam kawasan Lembah Klang akan dikenakan syarat pembinaan 20% Rumah Kos Rendah, 20% Rumah Kos Sederhana Rendah dan 10% Rumah Kos Sederhana manakala kawasan di Luar Lembah Klang pula akan dikenakan syarat pembinaan 20% Rumah Kos Rendah, 10% Rumah Kos Sederhana Rendah dan 10% Rumah Kos Sederhana. Bagi pembangunan yang kurang daripada 10 ekar (2 hingga kurang 10 ekar) pula, syarat penyediaan 30% rumah kos sederhana akan dikenakan bagi kawasan dalam Lembah Klang. Melalui dasar tersebut ia secara tidak langsung bukan sahaja membantu Kerajaan Negeri dalam menyediakan keperluan perumahan untuk golongan berpendapatan rendah dan sederhana tetapi juga bagi golongan belia yang rata-rata masih belum berkemampuan memiliki rumah yang lebih luas dan selesa.