Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2018
3 September 2018 hingga 7 September 2018
174) HARGA KOMODITI MENDADAK JATUH, SUSAHKAN PEKEBUN KECIL
Tahun: 2018
Sesi: 2
Isu: Industri Asas Tani
Adun: Y.B. Datuk Rizam Bin Ismail
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah langkah Kerajaan Negeri untuk menangani penurunan harga kelapa sawit dan kelapa demi memastikan kebajikan pekebun kecil terbela?
Kerajaan Negeri melalui Jabatan Pertanian menyediakan peruntukan tahunan sebanyak RM1.08 juta untuk membantu meningkatkan hasil kelapa melalui program tanam semula dan pemulihan kebun kelapa yang leibatkan kawasan tanaman kelapa seluas 18,650 hektar dengan jumlah pekebun seramai 9,710 orang. Melalui program ini, pekebun kecil dibantu bagi penyediaan kawasan, bekalan benih kelapa (matag, pandan, Malayan Yellow Dwarf dan Malayan Red Dwarf), baja dan racun makhluk perosak. Selain daripada itu, pekebun kecil kelapa juga digalakkan untuk membuat projek integrasi tanaman kelapa dengan tanaman herba, buah-buahan ataupun ternakan lebah kelulut. Langkah ini dijalankan untuk memastikan pekebun kecil mendapat hasil yang baik bagi menambah pendapatan mereka. Bagi pekebun kelapa sawit, skim bantuan tanaman semula disediakan oleh Lembaga Sawit Malaysia (MPOB).
-
Perlukah Kerajaan Negeri menubuhkan satu organisasi seperti peladang, khusus untuk membantu pekebun kecil untuk memberi bimbingan serta dapat membantu lebih meningkatkan hasil tanaman mereka?
Buat masa ini Kerajaan Negeri tidak perlu menubuhan organisasi baharu seperti Persatuan Peladang Kawasan. Kerajaan Negeri sentiasa bekerjasama dengan agensi persekutuan seperti Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), FAMA dan MARDI bagi memberi bimbingan serta bantuan untuk meningkatkan pendapatan petani. Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri menggalakkan petani menyertai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan menubuhkan koperasi yang terlibat secara terus dalam aktiviti pertanian.