Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2015

30 Mac - 3 April 2015 dan 6 April - 9 April 2015

133) HALA TUJU PEMBANGUNAN EKONOMI SELANGOR

Tahun: 2015

Sesi: 1

Isu: Kewangan & Ekonomi

Adun: Y.B. Tan Sri Dato' Seri Abdul Khalid Bin Ibrahim

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Sektor dan industri yang telah dikenalpasti sebagai penjana pendapatan dan pemangkin pertumbuhan ekonomi utama Selangor untuk tiga hingga lima tahun akan datang serta pelan strategik bagi memastikan kejayaan mencapai hasil seperti yang diunjurkan.

    Data daripada Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan prestasi ekonomi Negeri Selangor pada tahun 2013 telah mencatat pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 5.8% dengan nilai RM186,548 juta. Negeri Selangor telah menyumbangkan 23.7% KDNK iaitu sumbangan hampir satu perempat KDNK Negara.

    Prestasi pertumbuhan ekonomi tersebut diukur berdasarkan prestasi enam (6)  sektor utama iaitu perkhidmatan, pembuatan, pembinaan, import duti, perlombongan dan kuari serta pertanian. Sektor perkhidmatan merupakan penyumbang terbesar ekonomi Negeri Selangor sebanyak 58.8% dengan nilai RM109,673 juta diikuti sektor pembuatan 30.8% dengan nilai RM57,388 juta, pembinaan 5.4% berjumlah RM10,144 juta, import duti 3.4% sebanyak RM6,295 juta, pertanian 1.5% berjumlah RM2,874 juta manakala perlombongan dan kuari memberi sumbangan 0.1% dengan jumlah RM174 juta.

    • Meningkatkan pertumbuhan sektor perkhidmatan dan pembuatan

    Bagi mengekalkan prestasi dan memacu ekonomi Negeri Selangor, Kerajaan Negeri akan terus merangka pelbagai aktiviti ekonomi yang akan menjana pendapatan dan pertumbuhan ekonomi Negeri Selangor.

    Secara dasarnya, fokus Kerajaan Negeri untuk terus memperkukuhkan sektor perkhidmatan dengan meningkatkan usaha bagi menarik pelabur domestik dan luar negara melalui pelbagai kerjasama dan kolaborasi dengan pihak swasta bagi meningkatkan pelaburan asing ke Negeri Selangor.

    Bagi tujuan tersebut, Kerajaan Negeri Selangor telah memperkukuhkan infrastruktur asas dan prasarana maju dan canggih melalui pembinaan ruang-ruang perniagaan baru, melengkapkan Negeri Selangor dengan aksesibiliti internet tanpa wayar, melengkapkan jalinan perhubungan, memperkasa perkhidmatan pengangkutan awam dan pembangunan bandar yang moden dan lengkap. Kerajaan Negeri yakin kestabilan pertumbuhan ekonomi dan politik serta penyediaan infrastruktur asas yang moden dan canggih akan dapat meningkatkan penjanaan pendapatan dan meningkatkan pertumbuhan ekonomi negeri.

    Selain itu juga, tumpuan turut diberikan kepada sektor pembuatan melalui penciptaan kekayaan berdasarkan sektor-sektor industri berteknologi tinggi yang memberi impak kepada sektor pembuatan. Penerokaan industri aeroangkasa akan memberi nilai tambah terhadap pertumbuhan ekonomi Negeri Selangor. Kemunculan teknologi-teknologi terkini berkaitan industri maklumat, ICT, big data serta perkakasan juga akan menjadi tarikan kepada pelabur luar untuk menyertai pasaran ekonomi Negeri Selangor.

    Penglibatan Malaysia sebagai tuan rumah Asean Economic Community (AEC) 2015 membuka ruang yang besar kepada Negeri Selangor bagi merebut peluang-peluang ekonomi serantau dan global.

    Bagi mempersiapkan Negeri Selangor terhadap perkembangan ekonomi tersebut, Kerajaan Negeri Selangor telah merangka pelan bagi memperkasa modal insan dengan membina takungan bakat (pool of talent) dan kemahiran untuk merebut peluang-peluang pekerjaan daripada perkembangan industri-industri tersebut. Modal yang besar terhadap pelaburan modal insan dibuat oleh Kerajaan Negeri melalui pemberian insentif kepada individu dan institusi pengajian tinggi Negeri Selangor untuk melahirkan tenaga-tenaga mahir yang berdaya saing.

    • Memperkasa sektor pertanian

    Sektor pertanian merupakan salah satu sektor utama yang menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Negeri Selangor. Pada tahun 2013, sektor pertanian menyumbangkan 1.5% kepada KDNK negeri Selangor.

    Walaupun nilai sektor ini adalah sedikit berbanding sektor lain, namun peranannya tidak dapat dinafikan memandangkan sektor pertanian turut menyumbangkan peluang pekerjaan terutama kepada penduduk luar bandar.

    Sehubungan itu, kerajaan akan terus meningkatkan keupayaan industri pertanian terutama kepada dua daerah utama negeri Selangor iaitu Daerah Sabak Bernam dan Kuala Selangor ke arah industri berasakan pertanian. Penggunaan teknologi baru dan inovasi pertanian dipergiatkan bagi pengeluaran hasil pertanian secara besar-besaran. Peningkatan sektor pertanian secara tidak langsung akan meningkatkan pendapatan penduduk di kawasan luar bandar.

Lampiran

Tiada Lampiran.